Showing posts with label kisah sekolah. Show all posts
Showing posts with label kisah sekolah. Show all posts

29 September 2014

Mengajar dan belajar

  7 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalendar persekolahan menjelang penghujung tahun ni dah tentu dipenuhi dengan tarikh-tarikh peperiksaan. Guru-guru yang berdedikasi mesti tengah pulun bagi ulangkaji kat anak-anak murid. 

Calon-calon UPSR 2014 pulak ada yang bermuram durja akibat kes kebocoran soalan-soalan peperiksaan UPSR 2014 lantas terpaksa menduduki semula peperiksaan.

Masuk penghujung tahun ni jugak lambakan kerja di pejabat sekolah semakin menimbun. Menguruskan rekod pelajar yang bakal naik ke tahun seterusnya. Menguruskan penyata kewangan tahunan.


Sejak aku mengambil alih tugasan pejabat kat sekolah ni, banyak jugak perkara yang perlu aku tumpukan. Pagi menguruskan tugasan pejabat, petang pulak menguruskan tugasan mengajar.

Jangan pelik pulak sebab aku bertugas di Sekolah Rendah Agama Rakyat. Disebabkan aku hanya mengajar disesi petang, dan kebetulan ustaz yang menguruskan hal-hal pentadbiran pejabat sekolah sebelum ini telah berhenti maka pengurusan sekolah meminta aku untuk mengisi kekosongan yang ada.

Memang banyak jugak yang perlu aku 'belajar' pasal pentadbiran sekolah ni. Buat masa ni alhamdulillah tak de masalah lagi la. Dan ada beberapa perancangan untuk penambahbaikkan yang sudah aku rancangkan.

Minggu depan umat Islam sedunia akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, dan lepas habis cuti tu kalendar sekolah aku ni penuh dengan minggu-minggu peperiksaan. 

Apa pun, kepada adik-adik dan anak-anak yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan tu diharap dapat menghadapinya dengan tenang dan beroleh kejayaan yang cemerlang.



29 April 2014

Minda terpengaruh

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Suatu hari ketika sesi rehat baru bermula aku dihampiri seorang pelajar lelaki yang duduk di meja paling belakang di dalam kelas.

"Cikgu, betul ke kalau selalu kena pukul nanti badan jadi berketul-ketul ?", tanya murid tersebut.

"Kalau nak badan berketul-ketul kena selalu bersenam. Siapa yang cakap macam tu ?", soal aku kembali.

"Kawan yang bagitau". Jelasnya ringkas lalu terus berlari keluar dari kelas.


Aku terkesima seketika. Memikirkan perkara yang bermain di dalam minda anak murid aku tu. Baru berusia 10 tahun tetapi sudah mula mudah dipengaruhi dengan telahan rakan sebaya.

Mungkin juga pengaruh dari filem-filem masakini yang penuh dengan lambakan aksi-aksi bergaduh, bergasak, bertumbuk, berterajang membuatkan minda-minda muda diracuni dengan fahaman hidup ini perlu menjadi orang yang kuat untuk berkuasa.

Dan dari pemerhatian aku terhadap anak-anak murid aku, bila diberikan pilihan memilih karakter, semestinya karakter yang kuat dan berkuasa menjadi pilihan utama.

Dari sudut positifnya bagus la sebab ada usaha untuk menjadi yang terhebat. Namun dari sudut negatifnya, takut  keterbawaan sikap dan sifat karakter idola tersebut tertanam di dalam jiwa hingga membawa ke alam kehidupan.

Dengan cabaran media yang meluas masakini, ibu bapa juga perlu mengambil sikap ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak. Jangan kita terlalu sibuk menyediakan kehidupan yang sempurna dengan menyediakan setiap keperluan fizikal ahli keluarga hingga kita terlupa untuk menyempurnakan keperluan rohani mereka.





17 May 2013

Berani kerana benar

  
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan rahmat dari ALLAH dalam apa jua amal kebajikan yang kita kerjakan.

Pagi ni aku telah menjadi 'pengganas' yang telah menawan beberapa orang tawanan dalam kelas 1B. Kesemua 'tawanan' tersebut aku tahan sebab melanggar beberapa peraturan yang aku dah tetapkan ketika aku mengajar.

Sebagai seorang guru, aku sangat pantang kalau ada anak didik yang tidak menyiapkan kerja yang aku berikan. Kalau setakat bermain dalam kelas dan sebagainya tu aku boleh sabar lagi tapi bila tak siapkan kerja, memang aku akan pastikan mereka siapkan jugak biarpun sampai menangis air mata darah.


Beberapa orang 'tawanan' yang terkial-kial menyelesaikan kerja yang aku bagi tu aku tidak benarkan pulang walaupun waktu sesi persekolahan telah berakhir. Tiada sebarang alasan yang aku boleh terima disebabkan murid lain mampu menyiapkan kerja tetapi beberapa orang 'tawanan' ni tak menyiapkan kerja pulak.

"Ala, diorang kan budak-budak kecik lagi, berlembut la sikit cikgu".

Itu adalah salah satu ayat yang keluar dari seorang bapa kepada salah seorang dari orang 'tawanan' aku pagi ni. 

"Saya minta maaf encik, tetapi anak encik gagal untuk menyiapkan kerja yang saya berikan dalam tempoh satu jam sedangkan murid lain mampu menyiapkan kerja hanya dalam masa setengah jam"

Aku cuba untuk berdiplomasi dengan bapa murid tersebut yang kelihatan tidak berapa berpuas hati dengan tindakan yang aku kenakan terhadap anaknya.

"Tapi masalahnya sekarang kan dah habis waktu sekolah, sampai bila awak nak tahan budak-budak ni semua ?"

Hilang sudah panggilan 'cikgu' dan digantikan dengan 'awak' untuk membahasakan diri aku sebagai pendidik anaknya. Nampaknya mungkin api kemarahan sudah sedikit menyala.

"Saya hanya akan membenarkan mereka pulang apabila mereka sudah menyiapkan kerja yang saya berikan".

Aku memberikan jawapan muktamad dan rasanya dengan bahasa yang paling sopan sekali.

"Saya ada urusan lain lagi lepas ni, takkan nak tunggu jugak kot ?. Mana cikgu kelas ni ? Awak guru ganti je kan ?"

Bertubi-tubi soalan yang diajukan kat aku sambil tangannya dari berada dalam poket seluar kini dicekakkan dipinggan bagaikan lagak seorang samseng gayanya.

"Sekali lagi saya minta maaf encik, memang saya hanya guru ganti kerana guru kelas ni masih bercuti. Walaupun saya guru ganti, tapi saya ada beberapa peraturan yang perlu setiap anak-anak murid saya patuhi. Jadi selagi anak encik tidak menyiapkan kerja, encik terpaksa tunggu jugalah".

Kalau ikutkan nak jugak aku meninggi suara. Ingat aku gerun sangat la dengan lagak samseng macam tu. Tapi aku sabar je.

"Awak tu cuma guru ganti, jadi tak perlu la nak tegas sangat dengan budak-budak ni. Saya kenal dengan pengarah pendidikan tau, jangan sampai saya buat laporan".

Eh, marah betul rupanya bila anak dia terhegeh-hegeh nak siapkan kerja sampai kena tahan tak dibenarkan balik. Siap ugut aku pulak tu. 

"Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai pendidik. Kalau encik rasa tindakan saya salah, sila buat laporan tapi sebelum tu saya nak tanya encik sikit, encik pernah tak pesan pada anak encik agar menghormati guru ? Encik pernah tak pesan pada anak encik supaya menumpukan perhatian ketika dalam kelas ? Encik pernah tak pesan pada anak encik agar belajar dengan bersungguh-sungguh ?

"Untuk pengetahuan encik, ini bukan pertama kali anak encik saya denda kerana tidak menyiapkan kerja yang saya bagi. Untuk pengetahuan encik juga, anak encik ni jugak la yang paling kuat bermain ketika saya mengajar dan tidak pernah mendengar teguran saya".

"Encik pernah memeriksa buku latihan anak encik ? Anak encik pernah mengadu dirumah tentang saya memarahi dia di sekolah ? Dan kalau niat encik menghantar anak encik di sekolah ni supaya anak encik mendapat ilmu, itulah yang saya lakukan sekarang ni".

Panjang lebar aku memulangkan paku buah keras sampai terdiam beberapa ketika bapa murid tu. Aku tunggu jugak kot-kot dia nak membalas 'ceramah' percuma aku tadi tu.

"Along, cepat siapkan kerja cikgu bagi tu. Lain kali kalau kamu buat lagi macam ni, balik sendiri jalan kaki".

Jadi di pagi jumaat yang mulia ni, kami bersalam-salaman memohon maaf atas kesukaran yang terpaksa kami hadapi bersama. Aku tahu, tak semua ibubapa yang berfikiran macam tu. Ada ibubapa yang faham tindakan yang diambil oleh guru tehadap anak-anak didik mereka. Cuma sedikit sahaja yang mungkin terlalu mementingkan diri sendiri dan terlupa matlamat dan niat sebenar apabila menghantar anak-anak mereka ke pusat pendidikan.

Berani kerana benar. Bukan aku tak fikir hal orang lain. Aku sendiri pun kalau boleh nak balik awal je. Tapi demi memastikan anak-anak didik aku memahami betapa pentingnya displin dalam belajar, biarlah sedikit perit yang terpaksa aku telan asalkan di masa hadapan mereka akan sedar keputusan yang aku ambil itu adalah untuk kebaikan mereka juga.







16 May 2013

Hargailah guru kita

  
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar pendidik tak kira walau dimana juga anda berada.


Masa aku bergelar pelajar dulu memang jarang-jarang sangat aku fikir pasal menyambut hari guru ni. Asyik fikir bila nak cuti sekolah je. Dan aku tak mengerti pun kepentingan sambutan hari guru ni.

Sekarang ni baru terfikir semua tu. Bukan sebab aku kini telah bergelar warga pendidik tapi perlunya kita untuk menghargai jasa-jasa guru yang mendidik kita walau diperingkat mana pun.

Sejak aku bergelar warga pendidik ni cuma satu keutamaan yang sering aku fikirkan bila berhadapan dengan anak-anak yang diamanahkan oleh ibubapa. Menyediakan anak-anak itu dengan pengisian rohani dan ilmu yang bermanfaat untuk mereka berhadapan dengan masa hadapan.

Ada ibubapa yang meletakkan seluruh tanggungjawab mendidik kepada guru hingga anak-anak merasakan kehadirannya ke sekolah hanyalah sekadar memenuhi kehendak ibubapa mereka sahaja.


Aku yakin tiada seorang pun guru yang sanggup untuk mengabaikan anak-anak didik mereka. Biarpun degil atau nakal macam mana pun, pasti ada sekelumit perasaan untuk melihat anak didiknya berjaya.

Kejayaan anak-anak didik itulah yang menjadi peniup semangat kepada seorang yang bergelar guru untuk meneruskan usaha mendidik generasi mendatang.

Kegagalan anak-anak didik jugalah menjadi penguat usaha seorang guru untuk memastikan kesilapan dan kesalahan dalam mendidik dapat diperbaiki dimasa akan datang.

Hargailah guru yang telah mendidik kita menjadi kita sekarang ni. Walaupun mungkin peristiwa didenda masih utuh terkesan dalam minda dan memori, jangan kita lupakan ilmu yang diajarkan kepada kita yang menjadikan kita hari ini.



p/s : Terharu bila menerima hadiah dari anak-anak murid.







02 May 2013

Nakal itu bukan kesalahan

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan semua mudah-mudahan kita diberkati dan dirahmati ALLAH.

Masuk minggu ketiga dah aku berhadapan dengan karenah anak-anak murid tahun satu. Aku cuba-cuba jugak mengenang kembali saat ketika aku seusia dengan diorang suatu masa dulu.

berdiri pun dah nak sama paras dengan meja

Aku tak nafikan masa aku darjah satu, aku memang agak nakal jugak. Suka berlari-lari, suka kacau kawan-kawan dalam kelas, suka tidur dalam kelas lebih-lebih lagi bila cikgu tak masuk kelas.

Natijahnya ketika peperiksaan akhir tahun, aku berada dikedudukan top 5 dari belakang. Dan kesannya bila balik ke rumah dengan keputusan yang banyak merah, terpaksa mendengar ceramah motivasi dari mak aku selama beberapa hari.

Sejak itu, aku memastikan tidak keciciran dalam pelajaran walaupun aku tak dapat nak mengikis sifat nakal terutama bila berada bersama kawan-kawan sekolah.

Tapi susah jugak sebenarnya bila jadi budak nakal yang rajin belajar dan cemerlang dalam pelajaran ni (macam puji diri sendiri pulak). Selain dari jadi contoh pelajar yang tak patut dicontohi kenakalannya, terpaksa jugak jadi contoh pelajar yang gigih belajar.

Baik ketika sekolah rendah mahupun sekolah menengah sampai la masa aku belajar peringkat diploma. Aku selalu membuatkan cikgu disiplin serba salah dan pening kepala bila aku dipanggil menghadap.

"Kamu nak jadi apa ni ? Belajar pandai tapi perangai tu cuba la kawal sikit".

"Ni ha ketua samseng, cuba la jadi baik sikit perangai tu".

"Saya nak buat macam mana dengan awak ni ? Kalau bukan sebab akademik awak cemerlang, dah lama kami buang. Tolong ubah sikap tu sikit".

Tu antara dialog yang diucapkan pada aku tiap kali aku dipanggil menghadap. Macam-macam gelaran yang aku dapat. Ketua samseng. Bapak lanun. Firaun pun pernah. 

Tapi aku sebenarnya bukan la sekejam samseng, lanun mahupun firaun. Aku memang nakal sebab aku aktif. Agaknya keaktifan aku tu susah nak dikawal, tu yang jadi agresif sikit. 

belum cukup mumayiz lagi, harus la nakal ye tak ?

Dan biasanya keagresifan aku tu menjadi-jadi bila cikgu tak masuk kelas, bila cikgu takde. Bila cikgu masuk kelas, aku la murid yang paling cepat siapkan kerja sekolah bila dibagi. Tak sempat nak buat kat rumah, aku mesti siapkan kat sekolah jugak. (sebenarnya malas nak buat kat rumah)

Dan aku antara murid yang paling rajin bertanya dan jadi wakil memberikan pertanyaan kat cikgu biar segarang mana pun cikgu tu. Hasil motivasi dari mak aku, bila belajar ni yang pentingnya ilmu bukan dapat nombor satu dalam peperiksaan. 

Kalau dapat nombor satu dalam peperiksaan tapi lepas tu tak ingat apa, tak guna jugak. Bila nak belajar biar berguru, jangan baca buku sendiri sangat. Nanti jadi ajaran sesat. Kalau tak faham, soal je cikgu tu sampai puas hati biarpun pening kepala nak faham.

Itu pengalaman aku masa aku bergelar pelajar. Dan sekarang ni aku pula berada dalam situasi menghadapi pelajar. Patut la cikgu aku dulu asyik nak marah je, memang sakit hati rupanya kalau anak-anak murid tak dengar cakap. 





p/s : Maaf kalau entri ni ada unsur-unsur masuk bakul angkat sendiri sebab aku tak tau nak bagi contoh kisah orang lain kecuali diri aku sendiri.







28 April 2013

Majlis Ikhtifal SRAR Ipoh Zon 4

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan pengunung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Alhamdulillah berakhir sudah Majlis Ikhtifal sekolah-sekolah agama rakyat Ipoh peringkat Zon 4 pada hari ini. Adat bertanding pasti ada yang menang dan pasti ada yang kalah. Namun kekalahan bukanlah bererti kita tewas dalam perjuangan.


Sembilan acara telah dipertandingkan. Antaranya tilawah Al-Quran, hafazan Al-Quran, bercerita dari kisah Al-Quran, syarahan bahasa arab, syarahan bahasa melayu, nasyid, khutbah, hiwar (perbualan bahasa arab) dan penulisan seni khat.

Dari sembilan acara yang dipertandingkan, sekolah tempat aku mengajar berjaya membolot enam tempat pertama. Antaranya bagi pertandingan hafazan Al-Quran bahagian lelaki dan perempuan, syarahan bahasa arab bahagian lelaki dan perempuan, syarahan bahasa melayu dan hiwar.

Selaku guru pembimbing, ada jugak rasa bangga apabila anak-anak murid yang dilatih berjaya dalam pertandingan yang diadakan. Tambah pulak melihatkan ibubapa yang datang memberikan sokongan buat anak-anak mereka yang menyertai pertandingan kelihatan ceria dan bangga dengan pencapaian anak-anak mereka sedikit sebanyak membuatkan kami para guru turut sama berbesar hati dan hilang segala penat lelah melatih mereka untuk mencapai tahap sebegini.


Bagi wakil-wakil sekolah yang tidak berjaya, jangan putus asa. Apa yang penting kita sudah berusaha yang terbaik walaupun terpaksa berlatih mencuri-curi masa waktu belajar dan masa yang suntuk.

Aku sedikit terkilan kerana tidak dapat untuk berada dalam dewan pertandingan untuk memberikan sokongan moral buat anak-anak latih aku tu sebab aku terpaksa menjadi pengerusi majlis bagi pertandingan nasyid. 

Tapi walaupun begitu, sempat juga aku 'lari-lari' untuk melihat mereka memberikan persembahan. Lepas ni andai ada rezeki, buat johan pertandingan mungkin akan bertanding diperingkat daerah pula. Apa pun mulai minggu hadapan, pertarungan untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun pulak perlu diutamakan.


Sekali lagi tahniah buat wakil-wakil Sekolah Rendah Agama Rakyat Sg. Rokam yang berjaya. Dan dengan kejayaan itu jugak menjadikan Sekolah Rendah Agama Rakyat Sg. Rokam sebagai johan keseluruhan Majlis Ikhtifal SRAR Ipoh Zon 4 untuk kali kedua.












26 April 2013

Displin pelajar berpunca dari guru bermasalah ?

  5 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita berada dalam rahmat dan berkat ALLAH dalam apa juga yang kita kerjakan.

Setelah hampir satu tahun berada dalam bidang pendidikan ni memang ada banyak manis dan pahit yang telah aku lalui. Terutama sekali bila melihat anak didik kita mengorak kejayaan.


Tak dilupakan juga anak-anak didik yang sedikit bermasalah. Namun tidaklah sesekali mereka dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik, sikap lepas tangan tu bukanlah satu sikap yang perlu ada dalam jiwa seorang pendidik.

Baru-baru ni agak kecoh dalam komuniti perguruan dan pendidik, bilamana Dr. Rubiah K Hamzah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar tempatan berkenaan masalah displin pelajar.

Rata-rata komuniti guru sangat tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberikan malah ianya sangat mengguris perasaan. Apakah benar jika seorang pelajar itu bermasalah sebenarnya pendidik itu yang bermasalah ?

Dari satu sudut, mungkin boleh kita katakan begitu. Namun pada aku, sudutnya terlalu kecil. Kita semua pernah menjadi pelajar suatu masa dahulu malah mungkin masih ada yang bergelar pelajar.

Pernahkah kita (andainya nakal) dibiarkan sahaja tanpa perhatian oleh guru atau pendidik ketika kita di sekolah ? Atau sebagai ibubapa yang mempunyai anak di sekolah, apakah kita tidak pernah menerima laporan andainya anak kita bermasalah di sekolah ? 


Aku pasti tidak ada seorang guru atau pendidik pun yang mahu melihat anak-anak didik mereka gagal dalam hidup biar bermasalah macam mana pun anak didik mereka tu.

Kecuali sekolah berpertasi tinggi, terutamanya sekolah ambilan khas. Di situ mungkin pelajarnya sangat berdisplin tinggi. Manakan tidak, untuk mendaftar masuk pun sudah perlu tapisan yang amat terperinci.

Namun belum mungkin tiada lansung pelajar yang bermasalah displin. Hatta di pusat pengajian tinggi sekalipun masalah displin ni tidak pernah sunyi. Dan jangan hanya memandang situasi di alam pembelajaran, tengok sama walau di mana sekalipun.

Di tempat kerja, di pejabat kerajaan, di kilang-kilang, di sektor swasta, di jalanraya, di rumah, di masjid, di ceruk mana pun dunia ni, cuba carikan satu tempat atau satu kawasan yang tiada masalah displin. 

Masalah displin ni bukan disebabkan oleh sesiapa. Punca utamanya adalah dari dalam diri individu tu sendiri. Memang benar, ianya bermula dari peringkat ibubapa yang mendidik anak-anak supaya mendisplinkan diri. 


Kemudian bila memasuki alam pembelajaran di sekolah, maka pendidik dan guru pula bertindak sebagai memberikan panduan agar generasi ini tidak tersalah landasan.

Jadi untuk menyalahkan dan mengatakan pendidik itu bermasalah jika pelajar bermasalah, itu adalah satu kenyataan yang sangat menghina yang keluar dari mulut seorang yang bergelar Doktor Pendidikan dan Pakar Motivasi Keluarga.

Walaupun memang ada simpulan bahasa "Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari", jangan kita lupa kata orang lama, "dalam setandan pisang, tidak semuanya elok belaka".

Mengkritik atau menyalahkan atau menuding jari menunjukkan kesalahan orang lain ni memang menyeronokkan dan mudah. Tapi jangan sampai terlupa, jangan sampai terleka, kita ini walau setinggi mana pun ilmu atau darjat yang kita miliki, itu bukan menunjukkan kita telah sempurna.

Berikan pendapat dan pandangan anda semua sebagai seorang pendidik, ilmuan, ibubapa yang mempunyai anak di sekolah atau sebagai seorang pelajar itu sendiri. 










16 April 2013

Tahun Satu

  6 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan pengunjung mudah-mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH dalam apa juga yang kita lakukan.

Baru-baru ni salah seorang rakan sejawatan di sekolah terpaksa memohon cuti kerana menjaga suaminya yang berada di wad ICU setelah melalui satu siri pembedahan membuang ketumbuhan di sebuah hospital di Ipoh.

Untuk itu, aku diminta oleh pengetua untuk menggantikan beliau mengajar di sebelah pagi. Memang tak jadi masalah pun sebab aku hanya mengajar di sebelah petang.


Berpusing bijik mata nak membacanya :P

Dan aku menggantikan rakan aku itu untuk menguruskan murid tahun satu. Mesti kalau kita dengar tahun satu tu rasa macam tersangat la mudah. Matapelajaran pun bermula dari yang asas. Lagipun budak-budak umur 7 tahun, senang kacang je tu.

Oh tidak ! Aku lebih rela mengajar kelas dewasa dari mengajar tahun satu sebenarnya. Macam mimpi ngeri je nak layan kelas tahun satu ni. 40 murid dengan berbagai karenah tersendiri.

Macam-macam 'siaran' ada. 

Jangan bandingkan aku dengan guru-guru lepasan Institusi Perguruan atau guru-guru lebih senior sebab aku bermula mengajar secara formal di dalam kelas ni belum genap setahun pun. 

Memang selalu jugak aku membaca cara-cara untuk menghadapi anak-anak murid secara teorinya. Malah pernah juga mengikuti beberapa siri kursus P&P yang dianjurkan. Tapi dalam dunia realiti, bukan semudah yang kita bayangkan.

Aku tak pasti bagaimana didikan zaman sekarang ni dari ibubapa apabila menghantar anak-anak ke sekolah. Seingat aku, masa zaman aku dulu hampir setiap hari bila nak melangkah kaki ke sekolah, pasti akan menerima 'ugutan' dari mak atau abah aku supaya aku tidak bermain dalam kelas, dengar cakap cikgu dan belajar bersungguh-sungguh.

Andai ada laporan dari cikgu yang mengatakan aku bermain, degil atau tak belajar, memang tak senang duduk kalau kat rumah. Bila di sekolah, terpaksa pendamkan perasaan kenakalan dan keinginan untuk bermain dengan rakan sekelas. 

Murid perempuan kurang 'bunyi' sikit walaupun tak reti nak duduk diam.
Tapi kalau leka sikit, dia punya bunyi...tuuudiaaa

Bila cikgu takde dalam kelas, waktu tu baru la berani nak bangun dari kerusi buat kecoh dalam kelas. Kalau tidak pun terpaksa la menanti waktu rehat atau selepas habis waktu pelajaran. 

Tapi tu masa zaman aku la. Memang tak boleh nak samakan dengan zaman sekarang yang serba serbi mencabar. 

Pernah juga aku bertanyakan pada beberapa murid yang kurang menunjukkan minat untuk belajar ketika di dalam kelas. Kebanyakan mereka akan memberikan jawapan yang hampir sama. Dipaksa oleh ibu bapa untuk ke sekolah.

Bila dalam keadaan macam tu, segala beban terasa terus diletakkan di bahu guru yang mengajar. Dan kebiasaannya, anak-anak yang dipaksa ke sekolah ni la yang sedikit mencabar untuk ditangani. 

Aku suka murid macam ni. Tak jalan sana sini, duduk diam je.
Hehehe..dia ni tak sihat sebenarnya, siap mintak izin nak tidur.

Masalah tak sampai ke sekolah walaupun ibu bapa fikir anak mereka pergi ke sekolah. Masalah tidak memberi tumpuan ketika dalam sesi pembelajaran. Dan berbagai lagi masalah lain yang timbul hanya kerana dipaksa ke sekolah.

Aku tidak pernah menganggap anak-anak murid yang bermasalah tu tidak pandai walaupun keputusan ujian bulanan adakalanya lansung tidak memberansangkan malah ada yang lansung tak ambil kesah untuk diberikan markah 0.

Cuma disitu aku melihat perlunya ada keseimbangan didikan pada anak-anak sebegini samada dari rumah mahupun di sekolah. Ibu bapa walau sesibuk mana pun kehidupan dewasa mereka, perlu juga mendalami setiap jiwa anak-anak mereka. 

Dan sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengharapkan anak-anak kita sendiri akan mengikut jejak langkah kita sepertimana yang kita lalui pada usia mereka. Namun dengan bimbingan dan didikan bermula dari rumah, sesuai dengan keadaan perkembangan zaman pasti apa yang kita harapkan mungkin boleh jadi kenyataan.

Apa pun, untuk sebulan ni aku kena kuatkan mental untuk menghadapi 40 karenah dalam kelas tahun satu tu. Setakat ni baru satu kaedah aku boleh praktikkan untuk menjadikan kelas aman damai. Bagi kerja menulis banyak sikit, tenang je dalam kelas. Hehehe..




21 February 2013

Jangan marah, jangan denda, jangan rotan

  12 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Malam semalam kami meraikan hari ulangtahun yang ke 7. Sepatutnya pada hari sabtu baru ni tapi entah macam mana boleh pulak terlupa. Kebetulan pulak isteri aku pun sama sama terlupa. 


Rasa macam baru berbulan madu tapi rupanya dah hampir sepuluh tahun kami bersama. Alhamdulillah sepanjang menjalani kehidupan sebagai sepasang suami isteri, belum pernah lagi berlaku insiden tidak diingini. Kalau sesekali merajuk tu memang tak dapat nak dielakkan la.

Mudah mudahan perhubungan yang terbina ni akan terus berkekalan hingga ke akhirat sana. Untuk perkongsian bersama, nak mendapatkan 'sakinah' tu perlulah ada 'mawaddah' dan 'rahmah' dalam membina perhubungan keluarga.

Semalam waktu melayari facebook, aku tertarik pada satu perkongsian dari Kelab Guru Malaysia. Sewaktu aku menaip entri ini pun masih agak segar komen-komen yang masuk melalui perkongsian tersebut seperti dalam gambar bawah ni.


Cuba bayangkan anda adalah seorang guru. Datang ke sekolah untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan ilmu. Katakanlah dalam satu kelas terdapat 35 orang murid secara purata.

Dari 35 orang murid dalam kelas tu terdapat beberapa murid yang tahap kenakalannya melebihi yang lain. Sewaktu anda mengajar, mereka berbual dibelakang. Apabila diberikan kerja rumah, sedikit pun tidak disiapkan. 

Adakah tindakan yang anda akan lakukan ? Adakah dengan lemah lembut anda akan membelai kepala anak murid tersebut lalu berkata, "silakanlah buat apa saja yang kamu suka".

Atau anda akan buat-buat tak nampak dan tidak memperdulikan mereka ? Dan tanpa rasa bersalah, cukup bulan bawa keluarga makan-makan dengan gaji yang diperolehi.


Aku tak pasti individu yang mengeluarkan kenyataan tu memang berniat mengugut guru-guru atau ianya dilakukan tanpa menggunakan pemikiran yang waras.

Aku tak nafikan terdapat satu fenomena pelik yang tak pernah berlaku pada zaman aku dulu tapi berlaku di zaman sekarang dimana waktu zaman aku dulu ibu bapa lebih mempercayai kata-kata guru tapi tidak mengenepikan aduan anak.

Sekarang ni terdapat ibu bapa yang terlalu mempercayai kata-kata anak mereka dan mengenepikan aduan dari guru. Siapa yang mengawal siapa sekarang ni ?

Memang tugas seorang guru itu adalah mendidik. Aku lebih suka menggunakan perkataan mendidik dan bukan mengajar kerana mendidik itu lebih mendalam maksudnya. 

Tapi bukanlah tanggungjawab mendidik itu terletak sepenuhnya ke atas bahu seorang guru semata-mata. Dalam mendidik ni, semua pihak perlu terlibat sama. 


Di sekolah sudah semestinya menjadi tanggungjawab kepada guru untuk memberikan didikan kepada anak-anak muridnya. Menghuraikan kefahaman agar anak-anak ini menyerap ilmu yang diterimanya.

Di rumah pula seharusnya menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk memastikan didikan yang diterima anak-anak mereka itu ada hasilnya. Bukan menyerahkan sepenuhnya amanah itu kepada guru.

Aku percaya, individu yang mengeluarkan kenyataan seperti itu tidak pernah menyemak mata pelajaran anak mereka. Mungkin terlalu sibuk dengan kerjaya. Pulang ke rumah masih sibuk dengan dunia sendiri. Dan mungkin tidak pernah sempat untuk bertemu dengan anak itu sendiri lalu membiarkan mereka dengan segala apa yang anak itu inginkan.

Bagi aku sebagai seorang pendidik, tak jadi masalah untuk aku tak marah, tak merotan, tak mengenakan tindakan displin dan sebagainya tu kalau anak murid malas belajar atau tak siapkan kerja rumah. Memang aku tak rugi apa-apa. 


Yang akan jadi manusia bebal itu adalah anak-anak mereka. Dan mungkin di masa akan datang Kementerian Pelajaran Malaysia boleh menghapuskan perjawatan guru dan digantikan dengan pendidikan secara maya je. Dah tentu tak kena rotan, tak kena denda, tak kena marah dan tak dikenakan tindakan displin. 

Tapi satu perkara aku nak bagitau, jauh didasar lubuk hati aku sebagai seorang pendidik ada rasa risau, ada rasa sedih, ada rasa serba salah dan sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk membantu apabila berhadapan dengan anak-anak murid yang sedikit bermasalah.

Ada masa memang terpaksa marah. Ada masa memang terpaksa merotan. Ada masa memang terpaksa mendenda. Dan ada masa memang terpaksa mengenakan tindakan displin.

Pernah berlaku, pihak sekolah yang diserang ibu bapa pelajar kerana anak mereka dikenakan hukuman kerana anaknya degil dan nakal di sekolah. Namun menurut ibu bapanya, anaknya itu tidak pernah melawan kata bila di rumah.

Bila disiasat, rupanya pelajar itu adalah anak tunggal. Ibu bapanya memang tegas dan garang, malah keduanya berjawatan besar. Mungkin mereka terlupa, di dalam kelas yang diduduki anak mereka itu terdapat berpuluh-puluh lagi pemikiran dan karenah yang perlu ditangani oleh guru tersebut.

Dan hairannya, guru itu juga dipersalahkan kerana anak mereka tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan. Sabar aje la wahai warga pendidik. Mendidik manusia ni memang mencabar. Mudah mudahan ilmu yang kita bekalkan tu menjadi 'dividen' berterusan bila kita dah meninggal kelak.





15 January 2013

Dilema merotan

  21 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan ALLAH memberkati dan merahmati setiap apa jua yang kita lakukan.

Kali ni nak berkongsi tentang rotan. Bukan kerusi rotan ataupun bakul rotan tapi pasal merotan. Dalam kelas aku mengajar tu ada dua saiz rotannya. Satu bersaiz jari kelingking aku dan satu lagi bersaiz jari kelingking anak aku.


Waktu zaman aku sebagai pelajar dulu memang aku akui aku antara pelajar yang agak nakal juga di sekolah. Nakal dari segi karenah tapi pelajaran tetap diutamakan.

Seingat aku sepanjang kenakalan di sekolah dulu tu macam-macam pernah aku rasa. Rotan bulu ayam, pembaris panjang sedepa, rotan saiz halus, batang penyapu malah pemadam papan hitam pun pernah bertempek kat muka aku ni.

Tu semua disebabkan kesalahan-kesalahan seperti bermain dalam kelas waktu cikgu belum masuk, bising dalam kelas waktu cikgu belum masuk, main berlari-lari waktu pelajar lain bergotong royong mencabut rumput kemuncup di padang dan tidur dalam kelas.

Dan sekarang ni pulak aku menerima hukum karma (?) malah lebih teruk lagi. Anak murid yang tak siapkan kerja bila diarahkan, bising dalam kelas, bermain dalam kelas dan tidur sewaktu aku mengajar.

Tahun 2013 ni berkurangan sikit anak murid aku. Hanya 35 orang yang tersenarai. Dan 35 orang itu berasal dari 70 bahagian DNA, maksudnya tidak ada kembar seibu sebapa dalam kelas aku tu dan bermakna aku terpaksa berhadapan dengan 35 karenah yang berlainan lima hari seminggu.

Mungkin masih awal untuk aku fahami setiap karenah anak-anak murid aku tu. Sedangkan anak aku sendiri pun aku setiap hari meneliti dan cuba memahami karenahnya.


Bila berhadapan dengan anak-anak murid yang agak nakal dan kurang mendengar kata ni memang terkadang rasa macam nak hilang sabar. Tapi memikirkan bahawa mereka perlu dididik, campak jauh-jauh je la perasaan amarah tu.

Cuma kadang-kadang bila sampai tahap melampaui batasan tu aku lepaskan jugak la. Dan tidak aku biarkan berakhir disitu, aku pastikan mereka mengerti mengapa dan kenapa aku mengambil tindakan sebegitu.

Masalahnya bila hari ni aku merotan, esoknya seakan lupa pulak tentang kejadian semalam. Terfikir juga samada ada kesilapan dalam kaedah yang aku laksanakan, atau anak-anak murid aku tu ada ilmu kebal ?

Tak hingin aku nak merotan anak-anak orang setiap hari sedangkan anak aku sendiri pun aku tak pernah libas dengan rotan. Dan permasalahan rotan ni jugak antara perdebatan terhangat dalam kursus P&P. 

Tanpa kaedah merotan, bererti seorang guru perlu bijak menyelami karenah anak muridnya walaupun anak muridnya itu berada dalam kelas pendidikan khas.

Dengan kaedah merotan, bererti seorang guru itu cuba untuk mendisplinkan anak-anak muridnya secara ancaman (?) atau kekerasan (?). Dan silap haribulan boleh naik mahkamah dibuatnya.

Dan aku masih berfikir dan memikirkannya. Kewajaran untuk melaksanakan tindakan merotan pada murid-murid yang kurang mendengar kata. Perkongsian ini takkan berakhir di sini saja. 

Mungkin rakan-rakan pembaca ada pandangan dan pendapat mungkin juga pengalaman untuk dikongsikan sebagai menjadi panduan bersama. 



04 January 2013

Practice make perfect

  5 Komen    
label: 
Hari pertama aku memulakan sesi pembelajaran semalam sangat menyeronokkan. Seronok melihatkan gelagat anak-anak murid baru aku tu terkesima bila aku sudah mula memberikan kerja latihan. 

Hanya satu matapelajaran yang aku mulakan semalam berserta kerja latihan. Dari 32 pelajar yang ada, cuma 6 orang yang gagal untuk menurut arahan menyiapkan kerja sebelum sesi persekolahan berakhir petang semalam.

Memang sedikit mencabar juga bila nak berhadapan dengan berbagai karenah dari lebih 30 pelajar berusia 10 tahun tu. Sedangkan di rumah untuk melayan karenah dua orang anak pun terkadang tak terlayan dibuatnya.


Dari 'ujian' awal yang aku lakukan semalam, sedikit sebanyak aku boleh mengetahui karekter dan keupayaan setiap pelajar dalam kelas aku tu walaupun aku belum dapat nak mengingati setiap nama mereka.

Sudah dapat dikesan siapa yang mampu berdikari, siapa yang bersungguh, siapa yang mengikut, siapa yang kaki tiru, siapa yang malu bertanya, siapa yang kaki main, siapa yang degil, siapa yang malas dan sebagainya.

Hari ni aku akan teruskan lagi dengan kerja-kerja latihan. Orang kata, "practice make perfect". Untuk kelas tahun 4 sesi 2013 ni, aku harap akan ada kenaikan peratus kecemerlangan dalam setiap ujian peperiksaan. 

Dan untuk itu, aku juga perlu melebihkan kerja menyiapkan nota-nota dan berbagai soalan dari semua matapelajaran. Sibuk ke nanti ? Sikit-sikit mungkin.





02 January 2013

Minggu pertama persekolahan

  13 Komen    
label: 
Semalam belum cukup sibuk menguruskan pendaftaran murid-murid baru dan lama lalu bersambung hingga ke hari ini. Memandangkan sekolah aku mengajar ni tiada kerani, maka kami guru-guru yang menguruskan segalanya.

Bermula dari menulis pendaftaran pelajar, mengutip bayaran dan sebagainya. Ingatkan tadi sempat jugak la untuk aku memulakan sesi kelas, tapi disebabkan kebanyakan ibubapa berpusu-pusu datang mendaftar dan menjelaskan pembayaran hari ni maka terpaksa la aku tangguh.


Paling tak minat bila bab mengumpul kutipan bayaran pendaftaran. Kutip tu seronok la tapi nak mengira jumlah keseluruhan kutipan tu yang sangat memenatkan. 

Kalau semuanya membayar dengan jumlah bayaran yang sama tu mungkin mudah kerja jugak la. Tapi bila pembayarannya tak sekata, berpinar juga mata waktu nak mengira. 

Dan mungkin jugak sebab kurang sistematik pengurusannya maka begitulah akibatnya. Ini adalah pengalaman pertama aku menguruskan pendaftaran murid-murid di sekolah. Maka untuk itu pasti akan ada khilafnya.

Esok dah boleh mula 'berkenalan' dengan anak-anak murid yang baru. Teringat pulak zaman bersekolah dulu. Minggu awal persekolahan selalunya sibuk dengan menetapkan tempat duduk dalam kelas, mengatur tugasan harian, melantik ketua kelas dan sebagainya.





13 September 2012

Kurang ajar. Murid atau guru ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Pagi tadi aku singgah sebentar untuk bertemu dengan pengetua sekolah tempat aku mengajar tu bagi membincangkan sedikit masalah yang melanda. Kisahnya berkenaan pelajar kelas sebelah yang tidak dibenarkan masuk oleh gurunya dan dipaksa pula masuk ke kelas aku sesuka hati.

Dari aspek pembelajaran, aku sikit pun tak peduli sebab memang tujuannya aku ke sekolah untuk mengajar dan mendidk anak-anak yang dihantar oleh ibubapa tu cuma dari aspek sahsiah dan disiplin guru, aku rasa ianya sedikit terpesong.


Puncanya yang diberitahu adalah kerana pelajar tersebut 'kurang ajar' kepada guru kelas tu. Bila aku bertanyakan kepada pelajar sekelasnya, mereka mengatakan bahawa pelajar yang dihukum tu suka bersembang dan pada pemerhatian aku hampir keseluruhan pelajar lain telah tertanam dalam hati mereka untuk menyingkir pelajar tersebut.

Mungkin kerana guru tersebut adalah guru senior. Maka aku yang guru junior ni mudah untuk diperalatkan. Atas rasa hormat pada guru yang lebih senior dan tua usia dari aku, aku tak sanggup nak berdebat pasal perkara tu selain dari menyerahkan masalah ni kepada pihak atasan.

Perkara ni sebenarnya aku kesan bermula sejak jumaat lepas. Ketika aku menggantikan guru tersebut yang tidak hadir, pelajar yang 'dihalau' tu berada di luar kelas. Bila aku tanya alasan apa yang menyebabkan mereka tidak berada di dalam kelas, katanya guru kelasnya tidak benarkan mereka masuk.

Sikit lagi aku nak tendang budak-budak tu dari tingkat dua sekolah. Sampai macam tu sekali kesan yang diterapkan dalam jiwa budak-budak tu. Walaupun guru kelas diorang takde pun, masih perlu taat pada perintah guru tersebut. Aku tak nampak ada unsur 'kurang ajar' kat situ tapi macam terlebih ajar pulak.

Kalau nak dikatakan kelas 4B yang diketuai oleh guru tersebut adalah kelas anak-anak yang taat dan berhemah semuanya, tidak jugak sebab aku pun pernah bertindak sebagai guru ganti kat kelas tu apabila gurunya tidak hadir. 

Kelas aku yang seramai 41 orang tu pun bukan la semuanya taat belaka. Kalau aku bukan seorang yang penyabar rasanya dah lama duduk kat hospital sebab kena serangan darah tinggi. 


Cuma pada pendapat aku la sebagai seorang pendidik, tak seharusnya bagi seorang pendidik tu mempunyai emosi macam tu. Andai anak-anak kelas dikatakan kurang ajar, siapakah yang bertanggungjawab untuk mengajar dan mendidik mereka ketika mereka berada di sekolah ?

Andai anak-anak yang dihantar oleh ibubapa mereka ke sekolah kemudian mereka tidak mahu belajar, adakah wajar seorang guru tu untuk mengabaikan amanah yang dipikulnya tu ? 

Lagipun bukan sepanjang hari nak menghadapi pelajar yang kononnya bermasalah sebegitu. Dan sepanjang malam aku terfikirkan masalah ni, andainya anak kepada guru tersebut bersikap 'kurang ajar' terhadapnya, agaknya mungkinkah dia akan bersikap lepas tangan dan menyerahkan anak kurang ajarnya tu kepada jiran rumah sebelah ?