17 May 2013

Berani kerana benar

  
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan-rakan pengunjung yang dihormati mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan rahmat dari ALLAH dalam apa jua amal kebajikan yang kita kerjakan.

Pagi ni aku telah menjadi 'pengganas' yang telah menawan beberapa orang tawanan dalam kelas 1B. Kesemua 'tawanan' tersebut aku tahan sebab melanggar beberapa peraturan yang aku dah tetapkan ketika aku mengajar.

Sebagai seorang guru, aku sangat pantang kalau ada anak didik yang tidak menyiapkan kerja yang aku berikan. Kalau setakat bermain dalam kelas dan sebagainya tu aku boleh sabar lagi tapi bila tak siapkan kerja, memang aku akan pastikan mereka siapkan jugak biarpun sampai menangis air mata darah.


Beberapa orang 'tawanan' yang terkial-kial menyelesaikan kerja yang aku bagi tu aku tidak benarkan pulang walaupun waktu sesi persekolahan telah berakhir. Tiada sebarang alasan yang aku boleh terima disebabkan murid lain mampu menyiapkan kerja tetapi beberapa orang 'tawanan' ni tak menyiapkan kerja pulak.

"Ala, diorang kan budak-budak kecik lagi, berlembut la sikit cikgu".

Itu adalah salah satu ayat yang keluar dari seorang bapa kepada salah seorang dari orang 'tawanan' aku pagi ni. 

"Saya minta maaf encik, tetapi anak encik gagal untuk menyiapkan kerja yang saya berikan dalam tempoh satu jam sedangkan murid lain mampu menyiapkan kerja hanya dalam masa setengah jam"

Aku cuba untuk berdiplomasi dengan bapa murid tersebut yang kelihatan tidak berapa berpuas hati dengan tindakan yang aku kenakan terhadap anaknya.

"Tapi masalahnya sekarang kan dah habis waktu sekolah, sampai bila awak nak tahan budak-budak ni semua ?"

Hilang sudah panggilan 'cikgu' dan digantikan dengan 'awak' untuk membahasakan diri aku sebagai pendidik anaknya. Nampaknya mungkin api kemarahan sudah sedikit menyala.

"Saya hanya akan membenarkan mereka pulang apabila mereka sudah menyiapkan kerja yang saya berikan".

Aku memberikan jawapan muktamad dan rasanya dengan bahasa yang paling sopan sekali.

"Saya ada urusan lain lagi lepas ni, takkan nak tunggu jugak kot ?. Mana cikgu kelas ni ? Awak guru ganti je kan ?"

Bertubi-tubi soalan yang diajukan kat aku sambil tangannya dari berada dalam poket seluar kini dicekakkan dipinggan bagaikan lagak seorang samseng gayanya.

"Sekali lagi saya minta maaf encik, memang saya hanya guru ganti kerana guru kelas ni masih bercuti. Walaupun saya guru ganti, tapi saya ada beberapa peraturan yang perlu setiap anak-anak murid saya patuhi. Jadi selagi anak encik tidak menyiapkan kerja, encik terpaksa tunggu jugalah".

Kalau ikutkan nak jugak aku meninggi suara. Ingat aku gerun sangat la dengan lagak samseng macam tu. Tapi aku sabar je.

"Awak tu cuma guru ganti, jadi tak perlu la nak tegas sangat dengan budak-budak ni. Saya kenal dengan pengarah pendidikan tau, jangan sampai saya buat laporan".

Eh, marah betul rupanya bila anak dia terhegeh-hegeh nak siapkan kerja sampai kena tahan tak dibenarkan balik. Siap ugut aku pulak tu. 

"Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai pendidik. Kalau encik rasa tindakan saya salah, sila buat laporan tapi sebelum tu saya nak tanya encik sikit, encik pernah tak pesan pada anak encik agar menghormati guru ? Encik pernah tak pesan pada anak encik supaya menumpukan perhatian ketika dalam kelas ? Encik pernah tak pesan pada anak encik agar belajar dengan bersungguh-sungguh ?

"Untuk pengetahuan encik, ini bukan pertama kali anak encik saya denda kerana tidak menyiapkan kerja yang saya bagi. Untuk pengetahuan encik juga, anak encik ni jugak la yang paling kuat bermain ketika saya mengajar dan tidak pernah mendengar teguran saya".

"Encik pernah memeriksa buku latihan anak encik ? Anak encik pernah mengadu dirumah tentang saya memarahi dia di sekolah ? Dan kalau niat encik menghantar anak encik di sekolah ni supaya anak encik mendapat ilmu, itulah yang saya lakukan sekarang ni".

Panjang lebar aku memulangkan paku buah keras sampai terdiam beberapa ketika bapa murid tu. Aku tunggu jugak kot-kot dia nak membalas 'ceramah' percuma aku tadi tu.

"Along, cepat siapkan kerja cikgu bagi tu. Lain kali kalau kamu buat lagi macam ni, balik sendiri jalan kaki".

Jadi di pagi jumaat yang mulia ni, kami bersalam-salaman memohon maaf atas kesukaran yang terpaksa kami hadapi bersama. Aku tahu, tak semua ibubapa yang berfikiran macam tu. Ada ibubapa yang faham tindakan yang diambil oleh guru tehadap anak-anak didik mereka. Cuma sedikit sahaja yang mungkin terlalu mementingkan diri sendiri dan terlupa matlamat dan niat sebenar apabila menghantar anak-anak mereka ke pusat pendidikan.

Berani kerana benar. Bukan aku tak fikir hal orang lain. Aku sendiri pun kalau boleh nak balik awal je. Tapi demi memastikan anak-anak didik aku memahami betapa pentingnya displin dalam belajar, biarlah sedikit perit yang terpaksa aku telan asalkan di masa hadapan mereka akan sedar keputusan yang aku ambil itu adalah untuk kebaikan mereka juga.