Showing posts with label cabaran membesarkan anak. Show all posts
Showing posts with label cabaran membesarkan anak. Show all posts

17 March 2013

Lukisan dinding

  9 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati ALLAH.

Sebelum cuti sekolah penggal pertama bermula minggu depan, aku agak sibuk sikit menyediakan kertas soalan ujian untuk anak-anak murid kelas aku tu. 

Jenuh nak menaip tulisan jawi

Walaupun tak termaktub dalam kalendar sekolah, aku harap dengan ujian yang aku jalankan ni memudahkan sesi pembelajaran sebelum menghadapi peperiksaan pertengahan tahun kelak.

Anak-anak dah teruja nak balik ke kampung nenek mereka di Sabah. Kami akan menghabiskan cuti sekolah satu minggu ni di Sabah. Ada nak kirim apa-apa ke ? 

Cakap pasal anak-anak ni, sebagai sebuah keluarga yang cukup korumnya pasti tak dapat lari dari menghadapi berbagai karenah anak-anak. Dan berbagai cara dan kaedah juga bagi ibubapa untuk melayan setiap karenah anak-anak mereka.

Rumah bersepah, riuh rendah dan sebagainya tu pasti sukar untuk dielakkan bila di rumah ada anak-anak ni. Perkembangan minda anak-anak ni perlu la kita sebagai ibubapa fahami dengan mendalam.

Contohnya macam anak sulung aku yang baru berusia 5 tahun tu. Ada saja imaginasi yang dikeluarkan melalui alat-alat permainan dia tu. Tambah pulak sejak adik dia yang berusia 10 bulan tu dah pandai juga nak bermain sama, lagi ligat la jadinya.

Pelukis kreatif

Memang penat nak mengemas rumah sentiasa, tapi ada kalanya sebagai ibubapa kita perlulah melatih anak-anak agar ada sikap bertanggungjawab dengan apa yang telah mereka lakukan. 

Daripada kita berleter memarahi perbuatan mereka menyepahkan barang, adalah lebih baik kita ajak mereka mengemaskannya bersama sambil menerangkan kenapa perlunya mengemaskan kembali barang yang mereka sepahkan tu.

Satu lagi bab dinding. Kalau rumah aku ni memang agak penuh dengan hasil kerja tangan anak aku. Alhamdulillah tuan rumah tempat kami menyewa ni sangat memahami dan terbuka fikirannya. 

Cuma sebagai jaminan menghormati kebaikan tuan rumah sewa kami ni aku menjanjikan akan memastikan keadaan rumah tidak akan ditinggalkan dengan segala masalah kepada tuan rumah.

Mungkin ada yang berfikir, kenapa dan mengapa aku tidak memarahi atau menghalang perbuatan anak aku melakar dinding rumah dan sebagainya tu. 

Gambar papa, mama dan kakak.
Bila ditanya mana adiknya ?
Jawabnya adik sedang tidur dalam bilik.
Itu adalah hasil kerja tangan anak aku yang dia banggakan. Agar sentiasa dapat untuk dilihat. Dan boleh pula ditunjukkan kepada sesiapa saja tetamu yang datang ke rumah.

Lagipun bukan boleh runtuh dinding rumah dibuatnya. Dan yang pastinya boleh la tukar cat warna lain pulak. Berapa sangat la harga cat dinding berbanding dengan daya kreativiti seorang anak.

Okay, kalau tak setuju tak mengapa. Anak kita acuan kita. Kalau baca buku panduan yang penuh dengan teori tu memang nampak memberansangkan. Tapi realitinya nak tak nak kita kena pinda juga panduan yang ada tu untuk diterapkan dalam kehidupan.





27 October 2012

Kakak dan adik

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Alhamdulillah semalam seluruh umat islam menyambut perayaan Aidil Adha atau hari raya korban. Dan hari ni pastinya masih ada lagi yang sibuk mengagihkan daging korban untuk dinikmati.

Dalam tu jugak jangan pulak kita lupa untuk menghayati hikmah dan iktibar dari peristiwa korban tu sendiri mudah mudahan dengan itu menjadikan kita semakin taat dan bertaqwa kepada Allah.

Selalu orang kata, anak anak ni permata hati buat ibu dan bapa. Memang betul pun. Sungguh lain perasaannya waktu dari awal perkahwinan bila tinggal bersama pasangan hidup berdua, kemudian disusuli dengan kehadiran cahaya mata pulak mengisi kekosongan dalam keluarga.


Macam aku sekarang ni, sudah dikurniakan dua anak yang perlu dididik agar menjadi insan bertaqwa. Si kakak yang semakin bijak berfikir manakala si adik pulak semakin bertambah ligat.

Masa mula mula isteri tercinta disahkan hamil anak kedua, ada jugak sedikit kerisauan tentang penerimaan anak pertama kami tu terhadap adiknya kelak. Entahkan mungkin akan cemburu apabila tumpuan yang diberikan kepadanya beralih pula pada adik yang bakal lahir.

Tapi macam seakan memahami pulak, selain dari aku yang berasa macam tak sabar sabar nak ada anak baru, si kakak pun kelihatan begitu teruja untuk memiliki seorang adik.

Sekarang ni melihat kedua anak membesar dihadapan mata, memang satu pengalaman yang tak mungkin dapat diperolehi dari mana pun. Melihatkan keletah keduanya yang seringkali menghiburkan jiwa.

Walau antara keduanya sedikit berbeza karakter tapi keakraban keduanya sudah mula terserlah. Harap harap sampai ke akhir hayat pun biar begitu.



11 September 2012

Satu kongsi, dua bahagi, tiga ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. 

Buat adik-adik dan anak-anak yang menghadapi peperiksaan UPSR 2012 didoakan mudah mudahan dipermudahkan Allah untuk menjawab semua soalan dengan cemerlang.

Ada yang terfikir untuk jadi bujang sepanjang hayat ? Lansung tak terfikir untuk berumahtangga, ada anak-anak dan sebagainya tu ? Jangan la camtu sebab nabi pun hidup berumahtangga. 

Lebih-lebih lagi bila sudah ada anak. Aku teringat lagi masa mula-mula isteri hamil. Dalam kepala masa tu asyik fikir berapa ramai anak yang bakal dilahirkan kelak.


Masa anak baru seorang, semuanya dikongsikan bersama. Ada jugak la yang tak terkongsi tapi sebolehnya segalanya nak dicurahkan bersama-sama kepada anak yang seorang tu.

Bila dah lahir seorang lagi, perkongsian terhadap anak yang seorang tu sudah mula berubah sedikit. Kalau anak seorang, dikongsi. Dua anak pulak sudah terbahagi. 


Anak sulung kalau sebelum tu rapat kepada ibunya, bila dah lahir si adik maka arahnya sudah berubah kepada si ayah. Hinggakan terkadang bila si ayah melayan si adik terlebih sedikit sudah mula kelihatan bibit-bibit cemburu si kakak.

Tu baru dua anak. Kalau bertambah yang ketiga pulak, macam mana la agaknya ye ? 





28 August 2012

Tangani bersama

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Seronok betul ada anak ni. Tanya la pada ibu-ibu yang mengandung, walaupun mulut kata serik nak bersalin tapi dalam hati tu gembira sungguh bila ada anak ni. 

Pada bapa-bapa pulak jangan ditanya la. Kalau boleh sebulan sekali para ibu bersalin pun takpe. Tapi kalau diperingatkan pasal kena jaga anak-anak tu mungkin boleh tekan brek sikit kot.

Alhamdulillah anak-anak kami ni membesar dengan sihat. Sebagai ibubapa pastinya sentiasa ada perasaan risau kiranya sesuatu berlaku pada anak-anak. 


Dan boleh juga dikatakan andainya sebelum ada anak, suami sentiasa memikirkan dan mengambil berat tentang isterinya tapi bila dah ada anak ni tumpuannya lebih kepada anak pulak.

InsyaAllah tak lama lagi anak kami yang sulung akan menyambut ulangtahun kelahiran yang ke empat manakala anak kedua pulak akan mencapai usia empat bulan. 

Si kakak selain dari semakin petah berkata-kata, semakin bertambah pula karenahnya. Namun sudah bijak juga mempamirkan tanggungjawabnya sebagai kakak dengan membantu papa dan mamanya menjaga adik dia tu.


Si adik pulak semakin hari semakin lasak. Sudah kuat memanggung kepala bila menirap dan tak sabar-sabar pulak tu nak mengesot merangkak. Berguling ke sana sini tu kalau tak diperhatikan memang sampai 'hilang' di bawah meja kopi. 

Memang banyak cabaran dan dugaan dalam membesarkan anak-anak ni namun jika kita pandai menangani segalanya bersama dengan pasangan kita insyaAllah biarpun anak bersusun sepasukan bolasepak takkan jadi masalah.






05 August 2012

Oh anakku sayang

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hujung minggu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.


Siapa kata ada anak ni seronok ? Belum ada anak memang la boleh cakap seronok. Cuba dah ada anak sendiri yang 24 jam kat depan mata. 

Sebelum lahir lagi anak tu pun kehidupan dah tak seperti dulu. Masa isteri kita yang tercinta tu memboyot perutnya membawak zuriat kita tu, dah bermacam dugaan perlu kita tempuhi.

Bagi yang mengandung tu, dah tentu sakit sana sini. Tak termasuk lagi teringin nak itu ini atau dalam bahasa mudah fahamnya mengidamkan sesuatu yang tak pernah-pernah teridam waktu belum mengandung.

Bila si isteri sudah mengidam, dah tentu la para suami yang penyayang ni cuba untuk memenuhi setiap idaman isteri waktu mengandung tu. Dibuatnya pulak nak mendapatkan apa yang diidamkan tu menduga kesabaran, memang mencabar tu yeop.

Dah lahir pulak anak tu memang la seronok. Terkadang tu ada suami seronok dapat anak baru sampai terlupa pada isteri. Terutama kalau anak pertama. Seronok tak terhingga la kononnya.

Waktu isteri dalam pantang mungkin seronok lagi la sebab ada mak mertua atau mak sendiri tolong jaga. Masa tu tak payah pikir sangat nak tukar lampin anak, nak mandikan anak, nak dodoi anak yang menangis tengah malam. 


Balik je mak mertua atau mak kita tu ke kampung dengan alasan ayam itik dah 40 hari tak makan, telan air liur jugak dibuatnya. Masa tu baru la terkekok-kekok nak google cara-cara mandikan anak, nak tukar lampin anak dan sebagainya tu.

Tu belum lagi main tolak-tolak dengan suami atau isteri bila anak meragam tengah malam. Masing-masing bagi alasan letih. Silap haribulan ada yang buat-buat tidur tak sedar diri.

Kalau yang ada amah tu mungkin la dia boleh tolong jagakan. Tapi kalau sampai mak bapak anak tu sendiri pun asyik tolak kat amah tu je semuanya mana tak dibawaknya lari. 

Bila anak tu tidur memang nampak comel je. Tunggu la dia bangun melalak. Masa tu baru la tiba-tiba nak buat sibuk dengan kerja masing-masing. Tak pernah-pernah suami masuk dapur kupas bawang tiba-tiba dah siap pakai apron dengan sudip kat tangan.

Meningkat je usia anak tu dah pandai pulak nak mintak macam-macam. Pantang nampak kedai mainan mesti nak serbu. Tak cukup dengan serbu, siap merengek mengamuk mintak dibelikan. Seronok je orang lain tengok kita melayan karenah anak tu. Kita ? Menyirap tul.

Kalau kat rumah pulak jangan harap la nak pakai kertas dinding. Lebih baik pakai dinding jubin macam bilik mandi je kat semua ruang. Biar anak-anak tak boleh nak conteng. Lagipun senang nak padam. 

Bab buat sepah memang serahkan je pada anak-anak. Dalam rumah ? Luar rumah ? Dalam kereta ? Semuanya pasti tak jadi masalah. Cuma sabar je banyak-banyak. Sebab ada anak ni kan seronok.


TAPI, walaupun banyak liku-liku yang menguji kesabaran bila bergelar ayah dan ibu ni janganlah kita sesekali pegi tempeleng terajang pulak anak-anak kita tu. 

Apa yang diorang tahu ? Ingat diorang tu lahir je terus pandai ke ? Ingat kalau sekali kita bagitau, diorang terus boleh faham ke ? 

Sebelum nak tempeleng terajang anak tu, fikir dulu kesilapan diri sendiri. Apa yang tak cukup lagi ? Didikan bagaimana yang kita terapkan pada diorang tu ? Jangan sebab geram sampai angin satu badan, kita terus lepaskan je. 

Lagipun dah memang fitrahnya anak-anak ni amanah dari Allah untuk kita yang bergelar ayah ibu ni. Bila dah namanya amanah, pasti la ada syarat-syarat yang ditetapkan untuk menjaganya.

Okay, memang seronok sebenarnya ada anak ni. Tak tipu. Walaupun geram dan sebagainya tu keluar tapi setiap saat kita bersama anak tu adalah satu pengalaman yang takkan boleh nak dibeli kat mana-mana. 

Sayangilah anak-anak kita tu walau macam mana pun gaya dan karenah diorang tu. Sebab kita sebagai ayah ibu ni makin lama makin berusia. Anak-anak pulak makin membesar. 

Sampai satu masa nanti, pada siapa lagi kita nak harapkan untuk tukarkan lampin yang kita pakai. Nak mandikan kita yang terlantar. Nak suapkan makanan. Nak temankan kita sampai tertidur.

Takkan nak harapkan amah pulak. Nanti kalau dibawaknya kita lari macam mana ? 




02 July 2012

Sebalik kisah indah

Assalamualaikum, salam selahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. 

Selalu kalau kita baca tentang pengalaman menceritakan pasal anak anak semuanya mesti yang indah indah belaka. Anak comel la, pandai senyum la, kacak la, pandai tidur sendiri la dan macam macam lagi hingga membuatkan orang yang membaca kisah kisah indah pasal anak anak kecik ni rasa macam tak sabar sabar nak beranak dan ada anak sendiri.


Tapi sebaliknya ramai yang tak tau kot, terutamanya bagi pasangan yang baru nak bergelar ayah dan ibu ni. Debaran menantikan bakal cahaya mata tu dah semestinya pengalaman yang susah nak digambarkan. Bayangan apabila anak pertama lahir lak tak semestinya sama indah dengan apa yang difikirkan.

Beruntung la bagi yang dibantu oleh mak atau mak mertua tu. Tapi tak seronok jugak bila terlalu mengharapkan mak atau mak mertua dalam hal menguruskan keluarga sendiri. Sudah la waktu kecik kecik dah peningkan mak kita sendiri nak menjaga kita, dah besar pun masih lagi nak bergantung pada mak. 

Apa pun tu terpulang pada masing masing la ye tak ? Apa yang aku nak kongsikan kat sini antara perkara perkara yang disebalik kisah indah tentang anak anak kecil ni.

Pertama sekali yang perlu kita ingat, bayi yang baru lahir ni macam agar agar jeli. Lembut, bergoyang goyang dan mudah cedera. Comel tu dah tentu la. Seronok konon bila tengok bayi tu menangis. Jangan lupa pulak, menangis tu salah satu cara bayi tu nak berkomunikasi dengan kita.


Dia mengantuk, dia menangis. Dia lapar, dia menangis. Dia tak selesa, dia menangis. Dia sakit, dia menangis. Dia sunyi, dia menangis. Dia bosan, dia menangis. 

Bukan sehari je kita akan dengar tangisan yang kekadang sukar untuk difahami ni, tapi kemungkinan hingga mencecah dua tahun lamanya. Awal pengalaman bergelar ayah dan ibu tu, rasakan je la ketegangan, kekusutan dan kesengalan minda dan perasaan akibat tangisan yang kadang kadang seakan tak terkawal tu. Masa tu baru kau tau kenapa pengasuh budak budak tu hilang akal 'membuli' anak anak kecil bawah jagaan diorang tu.

Bagi yang dijaga oleh mak atau mak mertua tu mungkin tak terasa sangat la sebab mesti mak atau mak mertua kita tu akan mengambil alih masalah bayi kita yang meragam tu sebab kita memang tak boleh diharap. Cuma pandai buat anak saja tapi jaga anak tidak pandai (malas nak berdikari mungkin).


Dan jangan pulak kita hairan bila bayi yang baru lahir ni suka tidur. Tidur dengan wajah yang comel walaupun dengan tangan keduanya terangkat ke atas dan kaki yang terkangkang (kalau tak dibedung la) masih juga kelihatan comel. Tapi jika kita yang dewasa tidur dengan aksi bayi tu, rasanya pasti akan dibaling dengan lesung batu oleh mak atau mak mertua kita nanti.

Banyakkan bersyukur jika bayi kita tu kuat tidur. Tapi jangan biarkan tidur je sepanjang masa nanti kot jadi pemalas pulak budak tu. Kaji dan perhatikan rutin harian bayi kita tu. Apa kebiasaan dia. Jangan paksa diorang tidur kalau diorang tak nak tidur. 

Adakala bayi ni nak 'bermain' dengan kita. Ada kala diorang nak 'membuli' kita. Ada kala pulak diorang nak perhatian lebih sikit dari kita. Jadi pastikan mental dan fizikal kita sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi segala kemungkinan.

Dah rasa takut nak beranak dan ada anak ? Jangan la camtu pulak. Ni baru sikit kisah sebalik cerita indah tentang bayi dan anak kecil. Ada banyak lagi yang perlu kita tau dan kongsikan ni. Kalau nak tau, insyaAllah akan aku kongsikan lain hari. Kalau nak bongkar semua sekali nanti takut ada yang terus tak jadi nak nikah pulak. 




05 May 2012

Wahai anak anak ku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Dalam keterujaan menimang cahaya mata baru ni, terasa juga beban tanggungjawab yang semakin bertambah namun amanah yang diberikan oleh Allah ini pasti tidak akan diabaikan.

Pesanan Luqman Al Hakim kepada anaknya  seperti yang termaktub di dalam Al Quran sentiasa teringat di dalam hati. Malah pesanan Nabi SAW kepada umatnya juga sentiasa bermain di minda. Anak anak itu ibarat kain yang putih bersih, maka kedua ibubapa yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama memberitahu kepadamu bahawa dunia ini penuh dengan fitnah dan pancaroba, janganlah engkau merasakan khuatir dan takut kerana kita dikurniakan Al Quran dan Hadis sebagai panduan untuk menempuhinya.


Andainya nanti papa dan mama menyuruhmu melaksanakan kewajipan solat, janganlah engkau anakku merasa terpaksa dan melaksanakannya kerana disuruh oleh papa dan mama sedangkan kewajipan itu adalah tuntutan dari Allah yang menciptakan kita semua.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama melatihmu untuk menahan lapar dan dahaga disiang hari di bulan Ramadhan, janganlah engkau anakku merasakan ianya satu bentuk kekejaman dan penderaan. Ketahuilah bahawa diluar sana terdapat insan insan lain yang bukan hanya di bulan Ramadhan terpaksa menahan lapar dan dahaga. 


Andainya nanti papa dan mama menegur cara berpakaianmu apabila engkau anakku meningkat dewasa, janganlah engkau anakku menganggap papa dan mama ketinggalan zaman. Fahamilah syariat yang telah Allah dan Nabi SAW telah titipkan buat panduan kita semua agar terpelihara kehormatan kita.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama meningkat tua, janganlah engkau anakku berasa malu untuk memeluk dan mencium kedua ibubapa mu ini dihadapan rakan rakanmu kerana sejak dari saat kelahiranmu, tiada insan lain yang lebih mengambil berat tentangmu selain dari kedua ibubapa mu jua.


Andainya nanti papa dan mama terlantar sakit, janganlah engkau anakku merasa terbeban untuk menguruskan kedua ibubapa mu. Janganlah engkau merasa jijik kiranya terpaksa membersihkan najis dari ibu bapa mu kerana papa dan mama tidak pernah sekalipun merasakan sebegitu sepanjang hayatmu.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama tidak menghantarmu ke kelas muzik seperti rakan rakan mu yang lain tetapi menghantarmu pula ke kelas agama, janganlah engkau merasa rendah diri kerana papa dan mama mahukan engkau anakku menjadi insan yang lebih mulia disisi Allah yang menjadikanmu.


Andainya nanti papa dan mama tidak mampu untuk mewariskan harta dunia yang banyak kepadamu, janganlah engkau anakku merasa menyesal dilahirkan bukan dari keluarga hartawan. Ketahuilah wahai anakku, engkau jugalah harta yang paling bernilai yang pernah papa dan mama miliki.

Wahai anak anak ku,

Andai kelak engkau anakku menjadi seorang yang berjaya apabila dewasa, janganlah engkau menyombong diri. Papa dan mama tidak akan pernah bangga dengan kejayaanmu kiranya ianya menjadikan mu manusia yang lupa diri.


Andainya nanti papa dan mama pergi menghadap Ilahi buat selamanya, janganlah engkau anakku melupakan kedua ibubapa mu. Bukan kunjungan di pusara yang papa dan mama harapkan, cukup hanya dengan doa dari mu sebagai bekalan buat papa dan mama di sana.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama tersilap tidak menunaikan hak yang sepatutnya terhadapmu, janganlah engkau anakku memendamkan perasaan mu itu. Jangan biarkan perkara itu membuatkan api neraka bisa menjilat kedua ibu bapa mu di akhirat kelak.


Andainya nanti engkau anakku mengerti kenapa dan mengapa papa dan mama mu begitu cerewet dalam menyediakan dirimu meniti perjalanan di dunia ini, panjatkanlah kesyukuran itu kepada Allah kerana papa dan mama mu tidak sekali kali pernah ingin engkau anakku menjadi hamba Nya yang dimurkai.

InsyaAlah kemungkinan petang ni isteri dan anak aku akan dibenarkan pulang ke rumah. Dengan itu maka bermulalah episod baru dalam menjalani rutin harian nanti. Walau macam mana pun, sebenarnya aku tak sabar nak melaluinya.



10 April 2012

Tiga bulan pertama

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa diucapkan buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Orang kata cabaran membesarkan anak ni berbeza beza. Aku tak pasti la sangat penyataan tu sebab anak pun baru sorang dan bakal menerima sorang lagi dalam masa terdekat ni insyaAllah. Cuma yang aku pasti, untuk membesarkan anak ni memang mencabar.


Surah Al Isra', ayat 31


Kalau nak membicarakan bab perbelanjaan bila dah ada anak tu sebenarnya sebagai umat Islam yang beriman kita tak perlu risau sebab sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi setiap makhluk Nya rezeki masing masing. Tak perlu la berasa khuatir dan bimbang sampai terniat nak 'membuang' anak yang dikandungkan tu. InsyaAllah setiap anak yang dilahirkan tu pastinya ada rezekinya masing masing.


Tiga bulan pertama selepas kelahiran anak sulung mungkin agak kekok bagi pasangan yang pertama kali menimang cahaya mata sebab belum berpengalaman. Bagi yang mendapat bantuan dari ibu bapa tu mungkin agak mudah la sebab dah pasti sebarang kekekokan tu dapat diatasi oleh ibu bapa kita yang lebih berpengalaman.


Waktu tiga bulan pertama ni la antara suami dan isteri yang baru menimang cahaya mata ni kena saling bantu membantu. Maklum saja la bagi si isteri masih lagi berada dalam masa berpantang. Tubuh badan pun masih belum kuat sepenuhnya namun tetap juga perlu menjaga anak yang baru lahir tu. Jadi bagi si suami pulak, jangan mengharapkan isteri untuk menyediakan segalanya.




Walaupun penat setelah pulang dari kerja, ringan ringankan la badan untuk turut membantu isteri tu. Sediakan makan malam ke, kemas kemas rumah sikit ke, mandikan anak tu ke dan macam macam la lagi yang boleh nak dibuat. Dan kalau anak menangis tengah malam pun, jangan merungut banyak atau marah marah pegi lari tidur kat bilik lain pulak. Apa salahnya bangun sebentar tengokkan anak yang menangis tu. Bukan anak orang lain pun yang banyak meragam tu ye tak ?


Selain tu jugak, dalam tiga bulan pertama ni aspek kesihatan ibu dan anak tu perlu diambil berat jugak. Bagi bayi bayi baru lahir ni masalah yang biasa dialami tu tak lain tak bukan jaundice atau kuning tu la. Tu sebab kena diperiksa selalu masa dua minggu pertama kelahiran tu. Ibu yang melahirkan pun sama jugak. Tahap kesihatan selepas melahirkan anak pun kena dipantau selalu.


Dan seboleh bolehnya dari awal kelahiran anak tu, berikanlah makanan yang terbaik untuknya. Tak perlu keluarkan belanja yang tinggi pun. Susu ibu dia sendiri jugak yang paling terbaik sepanjang tumbesarannya. Takde yang lebih baik dari apa yang telah Allah ciptakan untuk setiap makhluk Nya. Tak payah takut nanti kendur ke ape ke. Dah memang hak anak kita tu kenapa perlu ditahan tahan pulak ? 




Banyak kelebihan yang diperolehi melalui amalan menyusu badan ni. Jimat duit tu dah tentu. Badan cepat slim pun insyaAllah. Anak yang menyusu pun mudah hadam susu ibunya. Kenser payudara ? InsyaAllah terhindar. Begitu jugak dengan kanser ovari, kurang risikonya bila menyusu badan ni. Susu ibu ni jugak ada imunisasi untuk anak yang menyusu tu. Melalui pengalaman anak sendiri yang hanya menyusu badan dengan mama dia, alhamdulillah tak pernah bermasalah demam yang teruk, jaundice atau sebagainya tu. 


Tu baru tiga bulan pertama. Selalunya tak terasa pun tiga bulan tu berlalu. Cuma dalam masa tiga bulan pertama ni buat pasangan suami isteri yang baru menimang cahaya mata tu, tak kira la yang ke berapa pun cahaya matanya tu kalau boleh bantu membantu la sesama sendiri. Jangan hanya buat anak je seronok tapi nak jaga anak rasa tak seronok. 


InsyaAllah nanti kita kongsi pulak pengalaman selepas tiga bulan tu. Kalau ada rakan rakan yang berminat nak berkongsi pengalaman jugak, jangan lupa tinggalkan di ruangan komen. InsyaAllah boleh la dihighlightkan untuk dikongsikan bersama dalam entri akan datang.