Showing posts with label tanggungjawab membesarkan anak. Show all posts
Showing posts with label tanggungjawab membesarkan anak. Show all posts

05 August 2012

Oh anakku sayang

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hujung minggu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.


Siapa kata ada anak ni seronok ? Belum ada anak memang la boleh cakap seronok. Cuba dah ada anak sendiri yang 24 jam kat depan mata. 

Sebelum lahir lagi anak tu pun kehidupan dah tak seperti dulu. Masa isteri kita yang tercinta tu memboyot perutnya membawak zuriat kita tu, dah bermacam dugaan perlu kita tempuhi.

Bagi yang mengandung tu, dah tentu sakit sana sini. Tak termasuk lagi teringin nak itu ini atau dalam bahasa mudah fahamnya mengidamkan sesuatu yang tak pernah-pernah teridam waktu belum mengandung.

Bila si isteri sudah mengidam, dah tentu la para suami yang penyayang ni cuba untuk memenuhi setiap idaman isteri waktu mengandung tu. Dibuatnya pulak nak mendapatkan apa yang diidamkan tu menduga kesabaran, memang mencabar tu yeop.

Dah lahir pulak anak tu memang la seronok. Terkadang tu ada suami seronok dapat anak baru sampai terlupa pada isteri. Terutama kalau anak pertama. Seronok tak terhingga la kononnya.

Waktu isteri dalam pantang mungkin seronok lagi la sebab ada mak mertua atau mak sendiri tolong jaga. Masa tu tak payah pikir sangat nak tukar lampin anak, nak mandikan anak, nak dodoi anak yang menangis tengah malam. 


Balik je mak mertua atau mak kita tu ke kampung dengan alasan ayam itik dah 40 hari tak makan, telan air liur jugak dibuatnya. Masa tu baru la terkekok-kekok nak google cara-cara mandikan anak, nak tukar lampin anak dan sebagainya tu.

Tu belum lagi main tolak-tolak dengan suami atau isteri bila anak meragam tengah malam. Masing-masing bagi alasan letih. Silap haribulan ada yang buat-buat tidur tak sedar diri.

Kalau yang ada amah tu mungkin la dia boleh tolong jagakan. Tapi kalau sampai mak bapak anak tu sendiri pun asyik tolak kat amah tu je semuanya mana tak dibawaknya lari. 

Bila anak tu tidur memang nampak comel je. Tunggu la dia bangun melalak. Masa tu baru la tiba-tiba nak buat sibuk dengan kerja masing-masing. Tak pernah-pernah suami masuk dapur kupas bawang tiba-tiba dah siap pakai apron dengan sudip kat tangan.

Meningkat je usia anak tu dah pandai pulak nak mintak macam-macam. Pantang nampak kedai mainan mesti nak serbu. Tak cukup dengan serbu, siap merengek mengamuk mintak dibelikan. Seronok je orang lain tengok kita melayan karenah anak tu. Kita ? Menyirap tul.

Kalau kat rumah pulak jangan harap la nak pakai kertas dinding. Lebih baik pakai dinding jubin macam bilik mandi je kat semua ruang. Biar anak-anak tak boleh nak conteng. Lagipun senang nak padam. 

Bab buat sepah memang serahkan je pada anak-anak. Dalam rumah ? Luar rumah ? Dalam kereta ? Semuanya pasti tak jadi masalah. Cuma sabar je banyak-banyak. Sebab ada anak ni kan seronok.


TAPI, walaupun banyak liku-liku yang menguji kesabaran bila bergelar ayah dan ibu ni janganlah kita sesekali pegi tempeleng terajang pulak anak-anak kita tu. 

Apa yang diorang tahu ? Ingat diorang tu lahir je terus pandai ke ? Ingat kalau sekali kita bagitau, diorang terus boleh faham ke ? 

Sebelum nak tempeleng terajang anak tu, fikir dulu kesilapan diri sendiri. Apa yang tak cukup lagi ? Didikan bagaimana yang kita terapkan pada diorang tu ? Jangan sebab geram sampai angin satu badan, kita terus lepaskan je. 

Lagipun dah memang fitrahnya anak-anak ni amanah dari Allah untuk kita yang bergelar ayah ibu ni. Bila dah namanya amanah, pasti la ada syarat-syarat yang ditetapkan untuk menjaganya.

Okay, memang seronok sebenarnya ada anak ni. Tak tipu. Walaupun geram dan sebagainya tu keluar tapi setiap saat kita bersama anak tu adalah satu pengalaman yang takkan boleh nak dibeli kat mana-mana. 

Sayangilah anak-anak kita tu walau macam mana pun gaya dan karenah diorang tu. Sebab kita sebagai ayah ibu ni makin lama makin berusia. Anak-anak pulak makin membesar. 

Sampai satu masa nanti, pada siapa lagi kita nak harapkan untuk tukarkan lampin yang kita pakai. Nak mandikan kita yang terlantar. Nak suapkan makanan. Nak temankan kita sampai tertidur.

Takkan nak harapkan amah pulak. Nanti kalau dibawaknya kita lari macam mana ? 




16 May 2012

10 May 2012

Pelindung api neraka

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Sehari dua ni kita dikejutkan dengan berita di media tempatan yang pertamanya berkenaan bayi yang ditinggalkan dicakar dan digigit anjing liar, mujur juga ditemui oleh orang dan bayi tu dapat diselamatkan.


Semalam pulak heboh berkenaan penyebaran video penderaan yang mana sebenarnya kes tersebut telah diselesaikan oleh pihak polis dan mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman ke atas pelaku penderaan tu. Pengajaran yang boleh kita ambil dari apa yang kita tengok dan dengar tu, sayangilah anak anak kita kerana mereka itu adalah amanah dari Allah untuk kita tunaikan tanggungjawabnya.

Alhamdulillah seminggu yang lepas aku dikurniakan satu lagi amanah yang perlu aku tunaikan segala tuntutannya. Seorang bayi perempuan yang sudah semestinya comel. Maka dengan tu bertambah la populasi kaum wanita di muka bumi ni. Harap harap lepas ni andai ada rezeki, nak juga geng sejenis. Hehehe..


Tapi walaupun begitu aku dan isteri tetap bersyukur kerana dikurniakan harta yang tak boleh nak dijual beli walau berapa pun nilai harganya. Biar la walaupun ada pepatah mengatakan "menjaga lembu sekandang lebih mudah dari menjaga seorang anak perempuan", aku sikit pun tak merasa gentar untuk menghadapi apa juga cabaran dalam mendidik dan membesarkan anak anak sampai la akhir hayat aku.

Lagipun aku bangga sebab orang macam aku ni disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadis baginda dalam riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmidzi.
Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya:
”Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

Nampak tu kelebihan yang Nabi SAW janjikan ? InsyaAllah dengan penuh rasa tanggungjawab, aku akan cuba memenuhi amanah yang Allah kurniakan kepada keluarga yang aku bina bersama isteri aku ni. Memang kalau nak difikirkan tentang masa depan terasa gerun juga bila terbayangkan perkara perkara yang kita tak nak berlaku tapi tu semua adalah cabaran dan dugaan dalam menguji tahap ketaqwaan dan keimanan kita sebagai hamba Nya. 




05 May 2012

Wahai anak anak ku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Dalam keterujaan menimang cahaya mata baru ni, terasa juga beban tanggungjawab yang semakin bertambah namun amanah yang diberikan oleh Allah ini pasti tidak akan diabaikan.

Pesanan Luqman Al Hakim kepada anaknya  seperti yang termaktub di dalam Al Quran sentiasa teringat di dalam hati. Malah pesanan Nabi SAW kepada umatnya juga sentiasa bermain di minda. Anak anak itu ibarat kain yang putih bersih, maka kedua ibubapa yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama memberitahu kepadamu bahawa dunia ini penuh dengan fitnah dan pancaroba, janganlah engkau merasakan khuatir dan takut kerana kita dikurniakan Al Quran dan Hadis sebagai panduan untuk menempuhinya.


Andainya nanti papa dan mama menyuruhmu melaksanakan kewajipan solat, janganlah engkau anakku merasa terpaksa dan melaksanakannya kerana disuruh oleh papa dan mama sedangkan kewajipan itu adalah tuntutan dari Allah yang menciptakan kita semua.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama melatihmu untuk menahan lapar dan dahaga disiang hari di bulan Ramadhan, janganlah engkau anakku merasakan ianya satu bentuk kekejaman dan penderaan. Ketahuilah bahawa diluar sana terdapat insan insan lain yang bukan hanya di bulan Ramadhan terpaksa menahan lapar dan dahaga. 


Andainya nanti papa dan mama menegur cara berpakaianmu apabila engkau anakku meningkat dewasa, janganlah engkau anakku menganggap papa dan mama ketinggalan zaman. Fahamilah syariat yang telah Allah dan Nabi SAW telah titipkan buat panduan kita semua agar terpelihara kehormatan kita.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama meningkat tua, janganlah engkau anakku berasa malu untuk memeluk dan mencium kedua ibubapa mu ini dihadapan rakan rakanmu kerana sejak dari saat kelahiranmu, tiada insan lain yang lebih mengambil berat tentangmu selain dari kedua ibubapa mu jua.


Andainya nanti papa dan mama terlantar sakit, janganlah engkau anakku merasa terbeban untuk menguruskan kedua ibubapa mu. Janganlah engkau merasa jijik kiranya terpaksa membersihkan najis dari ibu bapa mu kerana papa dan mama tidak pernah sekalipun merasakan sebegitu sepanjang hayatmu.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama tidak menghantarmu ke kelas muzik seperti rakan rakan mu yang lain tetapi menghantarmu pula ke kelas agama, janganlah engkau merasa rendah diri kerana papa dan mama mahukan engkau anakku menjadi insan yang lebih mulia disisi Allah yang menjadikanmu.


Andainya nanti papa dan mama tidak mampu untuk mewariskan harta dunia yang banyak kepadamu, janganlah engkau anakku merasa menyesal dilahirkan bukan dari keluarga hartawan. Ketahuilah wahai anakku, engkau jugalah harta yang paling bernilai yang pernah papa dan mama miliki.

Wahai anak anak ku,

Andai kelak engkau anakku menjadi seorang yang berjaya apabila dewasa, janganlah engkau menyombong diri. Papa dan mama tidak akan pernah bangga dengan kejayaanmu kiranya ianya menjadikan mu manusia yang lupa diri.


Andainya nanti papa dan mama pergi menghadap Ilahi buat selamanya, janganlah engkau anakku melupakan kedua ibubapa mu. Bukan kunjungan di pusara yang papa dan mama harapkan, cukup hanya dengan doa dari mu sebagai bekalan buat papa dan mama di sana.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama tersilap tidak menunaikan hak yang sepatutnya terhadapmu, janganlah engkau anakku memendamkan perasaan mu itu. Jangan biarkan perkara itu membuatkan api neraka bisa menjilat kedua ibu bapa mu di akhirat kelak.


Andainya nanti engkau anakku mengerti kenapa dan mengapa papa dan mama mu begitu cerewet dalam menyediakan dirimu meniti perjalanan di dunia ini, panjatkanlah kesyukuran itu kepada Allah kerana papa dan mama mu tidak sekali kali pernah ingin engkau anakku menjadi hamba Nya yang dimurkai.

InsyaAlah kemungkinan petang ni isteri dan anak aku akan dibenarkan pulang ke rumah. Dengan itu maka bermulalah episod baru dalam menjalani rutin harian nanti. Walau macam mana pun, sebenarnya aku tak sabar nak melaluinya.