Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

08 May 2012

O positif

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat rakan rakan pengunjung sekalian mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Dah nak sampai penghujung hari selasa baru sempat aku nak masukkan entri untuk hari ni. Sejak anak aku dah dibenarkan pulang ke rumah tempohari, jadual harian kami suami isteri dah ada penambahan sikit.

Maklum saja la kadang kadang tu anak kecil ni tak nak tidur malam malam. Nak kena didukung dan didodoi baru la lena semula. Bukan reti nak tengok jam pun, kira ikut suka dia je nak bangun jam berapa. Cuma biasanya isteri aku la yang terlebih peka bila anak aku tu menangis tengah malam. Hehehe..


Pagi tadi sekali lagi kami terpaksa membawa anak kecil kami tu ke klinik untuk pemeriksaan susulan tahap bilirubin dalam darah bagi masalah jaundice. Alhamdulillah selepas ujian darah dilakukan di makmal klinik, tahap bilirubin dalam darahnya cuma 8.8 bermakna faktor risiko kesan sampingan jaundice tu semakin berkurangan.

Terima kasih kepada rakan rakan yang memberikan petua dan cadangan dalam menangani masalah jaundice untuk bayi yang baru lahir ni. Sewaktu anak yang pertama dulu memang tiada masalah jaundice ni walaupun pernah disyaki mengalami jaundice namun setelah pemeriksaan darahnya, doktor mengesahkan anak aku tu normal je tahap bilirubinnya dan tak perlu sebarang rawatan.


Cuma anak kedua ni pulak yang memberikan kami suami isteri pengalaman menghadapi jaundice. Menurut doktor yang kami temui, faktor isteri aku yang memiliki darah kumpulan O positif memang agak tinggi kemungkinan untuk anak mendapat jaundice. Pada aku tu semua dari sudut kajian saintifik dan pastinya setiap apa yang berlaku tu adalah atas kehendak dan kuasa Allah jualah.

Bagi bakal bakal ibu bapa yang ada tu, jaundice ni adalah perkara biasa yang kemungkinan akan berlaku kepada setiap bayi yang baru lahir. Cuma kita sebagai ibu bapa, perlu la bersedia dan belajar berkenaan jaundice ni betul betul agar kita dapat fahami penyebab, kesan dan akibatnya. Sekurang kurangnya bila kita dah ada sedikit pengetahuan tu, ianya akan memudahkan kita dalam membuat sebarang keputusan.


Makan malam tadi kami menikmati sajian yang nak kata klasik tu tak la jugak. Tiba tiba isteri aku teringin pulak nak makan McDonalds Chicken Foldover lepas tengok iklan dia kat TV. Suatu masa dulu sekitar tahun 2006, hidangan foldover ni memang agak popular di McDonalds tapi kemudian menghilang pulak dari menu namun kini kembali menghantui restoran restoran McDonalds seluruh negara. 



05 May 2012

Wahai anak anak ku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Dalam keterujaan menimang cahaya mata baru ni, terasa juga beban tanggungjawab yang semakin bertambah namun amanah yang diberikan oleh Allah ini pasti tidak akan diabaikan.

Pesanan Luqman Al Hakim kepada anaknya  seperti yang termaktub di dalam Al Quran sentiasa teringat di dalam hati. Malah pesanan Nabi SAW kepada umatnya juga sentiasa bermain di minda. Anak anak itu ibarat kain yang putih bersih, maka kedua ibubapa yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama memberitahu kepadamu bahawa dunia ini penuh dengan fitnah dan pancaroba, janganlah engkau merasakan khuatir dan takut kerana kita dikurniakan Al Quran dan Hadis sebagai panduan untuk menempuhinya.


Andainya nanti papa dan mama menyuruhmu melaksanakan kewajipan solat, janganlah engkau anakku merasa terpaksa dan melaksanakannya kerana disuruh oleh papa dan mama sedangkan kewajipan itu adalah tuntutan dari Allah yang menciptakan kita semua.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama melatihmu untuk menahan lapar dan dahaga disiang hari di bulan Ramadhan, janganlah engkau anakku merasakan ianya satu bentuk kekejaman dan penderaan. Ketahuilah bahawa diluar sana terdapat insan insan lain yang bukan hanya di bulan Ramadhan terpaksa menahan lapar dan dahaga. 


Andainya nanti papa dan mama menegur cara berpakaianmu apabila engkau anakku meningkat dewasa, janganlah engkau anakku menganggap papa dan mama ketinggalan zaman. Fahamilah syariat yang telah Allah dan Nabi SAW telah titipkan buat panduan kita semua agar terpelihara kehormatan kita.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama meningkat tua, janganlah engkau anakku berasa malu untuk memeluk dan mencium kedua ibubapa mu ini dihadapan rakan rakanmu kerana sejak dari saat kelahiranmu, tiada insan lain yang lebih mengambil berat tentangmu selain dari kedua ibubapa mu jua.


Andainya nanti papa dan mama terlantar sakit, janganlah engkau anakku merasa terbeban untuk menguruskan kedua ibubapa mu. Janganlah engkau merasa jijik kiranya terpaksa membersihkan najis dari ibu bapa mu kerana papa dan mama tidak pernah sekalipun merasakan sebegitu sepanjang hayatmu.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama tidak menghantarmu ke kelas muzik seperti rakan rakan mu yang lain tetapi menghantarmu pula ke kelas agama, janganlah engkau merasa rendah diri kerana papa dan mama mahukan engkau anakku menjadi insan yang lebih mulia disisi Allah yang menjadikanmu.


Andainya nanti papa dan mama tidak mampu untuk mewariskan harta dunia yang banyak kepadamu, janganlah engkau anakku merasa menyesal dilahirkan bukan dari keluarga hartawan. Ketahuilah wahai anakku, engkau jugalah harta yang paling bernilai yang pernah papa dan mama miliki.

Wahai anak anak ku,

Andai kelak engkau anakku menjadi seorang yang berjaya apabila dewasa, janganlah engkau menyombong diri. Papa dan mama tidak akan pernah bangga dengan kejayaanmu kiranya ianya menjadikan mu manusia yang lupa diri.


Andainya nanti papa dan mama pergi menghadap Ilahi buat selamanya, janganlah engkau anakku melupakan kedua ibubapa mu. Bukan kunjungan di pusara yang papa dan mama harapkan, cukup hanya dengan doa dari mu sebagai bekalan buat papa dan mama di sana.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama tersilap tidak menunaikan hak yang sepatutnya terhadapmu, janganlah engkau anakku memendamkan perasaan mu itu. Jangan biarkan perkara itu membuatkan api neraka bisa menjilat kedua ibu bapa mu di akhirat kelak.


Andainya nanti engkau anakku mengerti kenapa dan mengapa papa dan mama mu begitu cerewet dalam menyediakan dirimu meniti perjalanan di dunia ini, panjatkanlah kesyukuran itu kepada Allah kerana papa dan mama mu tidak sekali kali pernah ingin engkau anakku menjadi hamba Nya yang dimurkai.

InsyaAlah kemungkinan petang ni isteri dan anak aku akan dibenarkan pulang ke rumah. Dengan itu maka bermulalah episod baru dalam menjalani rutin harian nanti. Walau macam mana pun, sebenarnya aku tak sabar nak melaluinya.



02 April 2012

Hati seorang bapa

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. Bagi yang di ibukota yang mengalami masalah banjir kilat tu diharap bersabar je la dengan ujian dari Allah ni.

Entri hari ni bukan la ditujukan khas untuk kaum bapa je tapi boleh juga digunapakai oleh semua untuk menjadi panduan dan peringatan sepanjang hayat. InsyaAllah mudah mudahan perkongsian kita hari ni dapat memberikan banyak manfaat buat semua.


Jumaat yang lepas ketika menonton siri The Walking Dead, aku tertarik pada satu dialog antara Hershel (Scott Wilson) dan Glenn (Steven Yeun) bilamana Hershel menyerahkan jam poket miliknya yang diwarisi dari ayah dan datuknya sambil menyatakan pendiriannya dalam perhubungan Glenn dan anak perempuannya, Maggie (Lauren Cohan).

Bila aku fikir fikirkan semula apa yang dikatakan oleh Hershel tu, ada betulnya jugak. Sebagai seorang bapa kepada seorang anak perempuan, dah semestinya seorang bapa itu mahukan seorang lelaki yang terbaik bagi menggantikan tugasnya untuk menjaga anak perempuannya tu. 


Sebelum ni aku sendiri tak pernah terfikir sampai ke tahap tu. Bila pertama kali naik pangkat menjadi seorang bapa, aku hanya memikirkan untuk memberikan kehidupan dan pendidikan yang terbaik untuk anak aku tu. Begitu jugak dengan layanan sepanjang tumbesarannya. Dah tentu aku nak memberikan yang terbaik jugak lebih dari apa aku sendiri pernah terima.

Orang kata hidup ni ibarat putaran roda. Apa yang kita alami sekarang ni, ada yang terlebih dulu dari kita dah merasainya. Begitu jugak akan datang, pasti akan ada yang bakal mengalami apa yang kita pernah rasai sekarang. 


Sebagai bapa, semestinya mahukan yang terbaik untuk anaknya. Bila tiba masa anaknya tu nak mendirikan rumahtangga, pastinya hati seorang bapa tu tak sebegitu mudah untuk melepaskan anaknya kerana risaukan adakah anaknya akan menerima yang terbaik dari bakal pasangannya. 

Memang jarang untuk kaum lelaki ni menyuarakan isi hati tak kira apa situasi sekalipun. Tapi hendaknya kita fikirkan sejenak, bagi para suami yang mengambil alih amanah tanggungjawab dari seorang bapa pada anak perempuannya, adakah kita sudah menunaikan kewajipan kita pada tahap yang terbaik ? 


Atau kita melampau lampau menggunakan kuasa sebagai suami dengan berbuat apa sahaja mengikut kemahuan kita terhadap isteri kita yang dahulunya anak perempuan tanggungan bapa mertua kita sedangkan dahulu bapa mertua kita tidak pernah memperlakukan anak perempuan mereka seperti yang kita lakukan ?

Bagi bakal bakal menjadi suami tu pulak, sentiasa la ingat untuk menjadi yang terbaik bagi bakal bakal isteri tu. Kalau boleh, dekati bakal bapa mertua tu dengan sebaiknya. Selami hati dan jiwa bakal bapa mertua kita tu. Pelajari dari mereka apa yang seharusnya dilakukan bila nanti sah menjadi suami buat anak perempuan mereka.

InsyaAllah andai kita sentiasa beringat tentang perkara sebegini, sudah pasti hidup berumahtangga akan menjadi lebih harmoni. Jadilah anak yang terbaik buat ibu bapa kita. Jadilah ibu bapa yang terbaik untuk anak anak kita dan jadilah pasangan yang terbaik untuk pasangan kita sendiri barulah akan terasa kemanisan sakinah yang kita cari tu.



27 March 2012

"Apa tu ?"

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. Bagi rakan rakan di sekitar negeri Perak yang mencari peluang pekerjaan di sektor kerajaan, boleh la tengok tengok iklan yang ada kat atas entri ni dan klik pada pautan SPA ONLINE PERAK tu untuk memohon mana tau kot ada rezeki boleh la memulakan simpanan untuk tabung menunaikan ibadat haji.

Dulu masa sebelum berumahtangga selalu jugak membayangkan kehidupan bila berkeluarga. Seronok sebenarnya bila ada imaginasi sebegitu sebab sekurang kurangnya mana yang baik tu boleh diadaptasikan bila benar benar tiba masa dah berkeluarga nanti.

Antara yang pernah diimaginasikan tu berkenaan anak anak. Masa tu terbayangkan beberapa orang anak yang merupakan zuriat sendiri. Cuma bila bab imaginasi ni mesti la semuanya perkara yang bagus bagus je ye tak ? Tak tau la pulak kalau ada yang berimaginasi tentang perkara yang teruk teruk.


Bila dah berumahtangga dan mendapat tahu isteri yang kita kongsikan sebahagian hidup kita bersama tu mengandung anak yang pertama, memang berbagai perasaan yang muncul. Teruja tu dah tentu la tak termasuk lagi entah apa beribu jenis macam perasaan yang timbul tenggelam. Cuma yang terpenting sekali, hati tak pernah berhenti mengucap syukur dan berdoa agar segala urusan dipermudahkan dan dilindungi Allah dari perkara perkara yang kita tak nak bayangkan.

Ketika pertama kali melihat zuriat sendiri yang dilahirkan oleh isteri dihadapan mata, memang hilang segala kata kata. Gembira dah semestinya. Antara teruja dan sedikit kerisauan jugak sebab isteri melahirkan anak pertama dulu melalui pembedahan dan selepas pembedahan tu dengan tubuh yang agak kelemahan terpaksa aku tinggalkan di bawah jagaan pihak hospital. 


Saban hari pulak melihat perkembangan tumbesaran anak yang berbagai seribu satu karenah dari bulan ke tahun hinggalah sampai ke hari ni dah berusia tiga tahun anak pertama kami ni, memang terasa macam cepat sungguh masa berlalu. Bila tengok semula semua gambar gambar yang dirakamkan sejak dari hari pertama dilahirkan tu, terasa seakan tak percaya pulak dah berstatus ibu dan bapa.

Walau terkadang tu karenahnya sedikit menjengkelkan apabila tak nak dengar cakap atau sedikit melawan dengan apa yang kita suruh tapi  tak sampai hati nak ditangan tangankan. Sedangkan kalau aku jegilkan mata pun dah menangis macam kena dera je anak aku ni. Hehehe..maklum saja la mungkin sebab aku jarang nak memarahi secara serius tapi bila aku dan isteri menegur secara serius sudah pasti kami tak lupa untuk menerangkan kesalahan yang dibuatnya tu mudah mudahan dia faham akan kesalahannya tu.


Sekarang ni pulak dengan mulut yang semakin keletah bercakap, lebih lagi la menghiburkan sampaikan kadang kadang tu bila tengah marah pun boleh jadi hilang kemarahan tu. Bila aku nak keluar bertugas dah pandai menyampaikan pesan seperti mama dia untuk aku dengan kata kata "Hati hati papa" dan sebagainya. Ayat yang paling banyak disebutkan sekarang ni tak lain tak bukan "apa tu ?". Maklum la perkembangan otak tengah pesat sampaikan kadang kadang tu tak terjawab jugak dengan segala pertanyaan dia tu.

Dan tak lama lagi ni pulak insyaAllah akan hadir lagi ahli baru dalam keluarga kami. Cuma tinggal menghitung hari je lagi ni. Papa asyik teringin nak anak lelaki tapi mama pulak nakkan anak perempuan. Tapi si kakak dah pastinya tak sabar sabar menantikan kehadiran adik yang baru. Apa pun keputusannya mudah mudahan dipermudahkan Allah, semuanya selamat sihat dan dipelihara Allah. 



15 July 2011

diari bapa tunggal [hari ke 5]

  4 Komen    
label: , , ,
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat dan tak lupa jugak diucapkan salam nisfu Sya'ban buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati sekalian. Tak lama lagi dah nak menyambut bulan yang penuh dengan keberkatan. Semoga kita semua diberi kesempatan untuk menghadapi dan menjalani bulan Ramadhan yang bakal tiba nanti.

Hari ni macam dah terbiasa pulak dengan rutin menjadi bapa tunggal ni. Bangun pagi lepas menunaikan kewajipan sebagai hamba, mandi dan siapkan pakaian anak aku yang akan dibawa ke tempat kerja pehtu kejutkan puteri kesayangan yang sekarang ni macam liat nak bangun. 

Pagi tadi pun macam hari hari sebelum ni bila aku suruh pakai topi keledar tak nak pulak dia. Bila aku paksa je terus menangis. Mane boleh tak pakai ye tak ? Lagipun comel je anak aku tu kalau pakai topi keledar.


Sampai kat tempat kerja dah tak nak berenggang dengan aku pulak. Melekat sepanjang masa. Apa yang aku perhatikan, nampak macam tak cukup tidur je sebab kena bangun awal pagi. Aku layankan aje la karenah dia tu. 

Sebabkan mata dia yang ala ala layu menggoda tu, jam 12 tengahari lepas aku suapkan makan sikit aku 'paksa' anak aku tu tido. Anak aku ni susah sikit nak bagi tido secara otomatik kecuali kalau dia terlampau penat. Setengah jam kemudian elok je terlena walaupun dipaksa tido.

Selamat jugak dapat aku tenang hati nak pergi bersolat jumaat. Lagipun aku tak perlu risau sebab ada rakan rakan tempat kerja yang boleh tengokkan dia kalau kalau anak aku tu terbangun. Hakikatnya sampai jam 430 petang dibantainya tidur. 



Hari ni aku takde mengajar atau ganti mengajar kat mana mana rumah. Memang lepas abis kerja terus balik rumah je. Tapi sebelum balik ke rumah, aku dengan anak aku singgah sekejap kat pasaraya sebab aku nak belikan anak aku ni kasut dan sandal. Kasut lama dia dah tak boleh nak dibaiki lagi tapak yang tercabut tu.


Alhamdulillah hari ni sampai je kat rumah takde pulak dia menangis meragam. Mungkin gembira dapat kasut dengan sandal baru dia tu kot. Malam ni kitorang pekena roti canai telur je. Abis jugak la sekeping dimakan anak aku. 

Aku tak boleh nak lama lama mengadap laptop ni sebab anak aku bising aku tak layan dia. Nanti kalau aku biarkan je takut merajuk pulak. Esok pulak insyaAllah andai berkesempatan aku akan menaip lagi. 


12 May 2011

nafkah

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati. Cuaca kat Ipoh pagi ni sedikit mendung tapi tak pasti la samada hujan akan turun atau tak. Alhamdulillah sekurang kurangnya sejuk la jugak sikit setelah berhari hari dalam kepanasan.

'Hantu aiskrim' kat rumah aku tu dah kena selsema pulak malam semalam. Masa aku keluar rumah pagi tadi aku tengok lena je dia tidur. Takde tanda tanda menunjukkan suhu badan menaik. Pernafasan pun normal, mungkin dah okay barangkali. 


Sebenarnya minda aku membeku tak tau nak berkongsi apa hari ni. Jadi, sebelum aku menulis entri ni aku belek belek la akhbar akhbar online yang jarang jarang sekali aku belek. 

Aku tertarik pada satu artikel yang terdapat dalam satu akhbar tempatan ni berkenaan keperluan mewujudkan undang undang yang mewajibkan anak anak memberi nafkah hidup kepada ibu bapa.


Aku tak pasti la kenapa isu camni leh menjadi perhatian kerajaan. Tapi adakah berkemungkinan generasi masakini semakin melupakan generasi terdahulu terutama ibu bapa sendiri ?

Sedih jugak kalau dengar ada ibu bapa yang terbiar serba kekurangan tapi anak anak pulak hidup serba berlebihan. Tak dinafikan pasti ada situasi camni dalam negara kita. Anak hidup mewah tapi ibu bapanya daif. 


Lebih menyedihkan lagi kalau ada anak anak yang sanggup memilih untuk tidak menjaga kedua ibu bapa yang mungkin memerlukan penjagaan akibat usia atau keadaan kesihatan dengan menghantar mereka ke rumah penjagaan warga emas. 



Kenapa perkara camni boleh berlaku dalam masyarakat kita ? Adakah kerana anak anak camni terlalu sibuk dengan kerjaya atau dah lupa diri ? Sampaikan Jabatan Kebajikan Masyarakat menggubah dasar warga emas negara yang baru diluluskan pada 5 Mei yang lepas dimana JKM mahukan ada kesedaran dalam diri anak anak untuk menjaga ibu bapa agar mereka dapat menuju ke arah penuaan yang lebih aktif lagi produktif.

Takkan zaman sekarang masih ada lagi kisah Si Tanggang kot ? 


16 April 2011

bila Azzaira Qistina demam ...

  10 Komen    
label: , ,
Salam sabtu buat semua rakan rakan pengunjung. Alhamdulillah pagi ni cuaca kat Ipoh ni baik baik saja. Kenderaan pun tak banyak pagi tadi masa aku nak pergi kerja. Mungkin ramai yang ambik kesempatan pulang ke kampung sempena cuti umum negeri Perak hari selasa ni.

Buat penduduk negeri Sarawak pulak diucapkan selamat mengundi dan menjalankan amanah sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang akan memimpin kelak. Apa pun keputusannya nanti, bagi yang menang tu pikul la amanah yang dipertanggungjawabkan tu dengan sejujur dan setulus mungkin.

Siapa pulak Azzaira Qistina yang demam tu ? Selebriti tanah air atau antarabangsa ke ? 


Ni la dia budaknya yang bernama Azzaira Qistina. Siapa lagi kalau bukan anak manja aku tu. Kesian tul tiba tiba lepas balik dari klinik semalam terus demam selsema pulak.

Mungkin sebab terlebih makan aiskrim ditambah pulak dengan cuaca yang tak begitu menentu sangat kat Ipoh ni. Masa aku balik dari kerja semalam tengok tengok dah bertampal dahinya dengan cool fever tu.


Oleh kerana ketidak selesaan lobang hidung yang sentiasa mengalirkan hingus tu maka kurang la sikit tahap keligatannya. Kalau tak biasanya bila aku ada kat rumah memang jadi macam tongkang pecah je. Mana taknya, kalo dengan mama dia memang dia tak berani nak keluarkan semua mainan dia pehtu tabur semuanya kat ruang tamu tu. Tapi bila papa dia balik, macam dapat lesen besar je.

Masa nak tidur malam tadi pun kesian jugak aku perhatikan sebab kesukaran nak bernafas melalui hidungnya yang tersumbat tu. Golek sana tak selesa. Golek sini tak selesa. Tambah lagi kesian kat wifey aku sebab kerap pulak dia menyusu badan malam tadi tu. 

Ya, budak besar ni masih lagi menyusu badan dengan mama dia. Aku pun heran gak anak aku ni. Tak reti reti nak berenti. Umur dah dua tahun setengah tapi masih lagi nak mengorat wifey aku mintak nenen. 


Pagi tadi sebelum aku pergi kerja sempat jugak aku periksa suhu badan dia. Alhamdulillah kurang sikit panasnya. Harap harap menjelang petang nanti dah sihat sepenuhnya. Kalau dah sihat baru la boleh aku bawak pegi main kat taman sebab hari isnin ngan selasa ni papa dia cuti kerja. Kalau dia tau aku ada cuti ni mesti cepat je sembuh tu. Hehehe..

30 March 2011

naik dan turun

  7 Komen    
label: ,
Salam hari rabu buat semua rakan pembaca. Pagi ni Ipoh hujan. Sedap tul kalo cuti tapi apa kan daya, terpaksa jugak la bangun untuk pergi kerja walau kehujanan sekalipun. Tengok berita malam semalam, negeri Terengganu dilanda banjir luar biasa akibat hujan yang turun tak henti henti. Di utara semenanjung pulak, dilanda ribut hingga mengakibatkan kemusnahan beberapa rumah. 

Apa pun buat semua mangsa bencana tu, banyakkan bersabar dengan ujian dari Allah ni. Mungkin semua yang berlaku tu ada hikmahnya. Sekurang kurangnya membolehkan kita semua berfikir tentang kebesaran Allah.

Alhamdulillah hujan kat Ipoh pagi ni tak berpanjangan sampai ke tengahari. Sebabnya pagi tadi aku nak kene bawak anak aku ke klinik untuk pemeriksaan ulangan lepas pemeriksaan tiga minggu lepas. 


Kebetulan pulak lawatan ke klinik pagi ni tak ramai orang. Biasanya penuh dengan ibu mengandung dan bayi bayi. Anak aku ni dah la jenis tak reti nak duduk diam. Tapi sebab agaknya hari ni tak ramai bebudak yang sebaya cam dia tu, kurang la sikit keaktifannya.


Selalu tu nak dapatkan nombor giliran pun makan sampai hampir satu jam. Hari ni baru lima belas minit memanaskan bangku menunggu dah dapat nombor giliran tu. Rasa macam memecah rekod klinik kesihatan kerajaan pulak tapi tak boleh nak diterima sebagai rekod sangat la sebab berikutan pelanggan tak ramai.


Aku ingat lagi masa anak aku ni dalam usia belum satu tahun, klinik ni dah macam tempat seksaan je. Seksaan sekeluarga. Nak tunggu giliran tu punya la lama. Anak aku ni pulak bila nak kene periksa je mesti nak nangis kuat kuat. Nampak je muka jururawat atau doktor, mesti nak meraung. 


Kalau lawatan tempoh hari berat anak aku ni hanya 9.7 kilogram dan tidak memenuhi piawaian ukuran pada umur sepatutnya, hari ni setelah berhempas pulas aku ngan wifey memastikan anak aku ni makan sepanjang masa akhirnya berbaloi jugak usaha yang dilakukan tu. Buktinya naik la jugak 0.3 kilogram menjadikan berat anak aku ni berada diparas lulus BMI.


Ketinggian pulak tak jadi masalah lansung. Mungkin faktor DNA membuatkan anak aku ni tak terbantut ketumbesarannya. Masa sesi temubual dengan jururawat bertugas, takde apa yang luarbiasa. Cuma kenaikan berat badan yang agak perlahan bagi anak aku tu tak boleh nak diperkatakan lagi. Sebabnya anak aku ni tersangat la aktif bergerak. Lagi banyak dia makan lagi jadi tak reti nak duduk diam. 

Berlari sana sini dalam rumah tu. Melompat, menari, berguling, memanjat, dan macam macam lagi la aktiviti lasak yang dia buat kat rumah tu. Bila aku balik dari kerja pulak, lagi bertambah tambah keaktifannya. Sampaikan dalam masa nak tidur pun sempat lagi nak main.


Ni baru sorang. Belum tambah lagi dua tiga orang. Mau pecah rumah dibuatnya kalo semua bergabung tenaga. Hehehe..apa pun aku bersyukur dengan kurniaan Allah yang tak terhingga ni. Tugasan untuk menaikkan berat badan anak aku ni dah berjaya. Mama dia pulak tengah nak turunkan berat badan. Dalam masa satu bulan dah berjaya mengurangkan 2 kilogram. Aku pulak, sekejap naik sekejap turun. 


07 March 2011

anak baru

  21 Komen    
label: 
Salam hari isnin buat semua rakan pembaca. Hari ni lambat sikit update entri terbaru sebab maklum la, banyak tul urusan lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. 

Sehari dua ni aku ngan wifey banyak memikirkan cara nak bagi anak aku tu makan banyak. Terima kasih jugak kepada rakan rakan pembaca yang memberi pandangan dan cadangan dalam ruangan komen entri aritu.

Alhamdulillah sehari dua ni jugak boleh tahan banyak jugak la anak aku tu makan. Risau jugak sebab hujung bulan ni sekali lagi nak kena bawak ke klinik untuk ditimbang berat dan tumbesarannya. Cuma anak aku tu memang jenis tak reti nak duduk diam. Kecuali waktu dia tidur je baru la diam sikit. Sikit je tau sebab tidurnya sangat la lasak. 

Kalau nak cakap pasal ligat dia tu memang mengalahkan budak lelaki. Menggelejat tak hingat dunia. Ada je benda yang dia nak buat. Kalo pintu bilik stor terbukak, memang abis semua diselongkarnya. Kalau bagi tengok TV, asal ada je part berlagu mula la tak reti nak duduk diam. Berjoget sakan tetambah lagi kalo tengok K-Pop. 

Sebenarnya baru baru ni aku menerima kehadiran anak baru. Tiga sekali gus. Hebat kan ? Hehehe..tapi sebenarnya bukan anak aku pun. Anak kepada arnab peliharaan kitorang kat tempat kerja. Minggu lepas 6 ekor lahir tapi mati kesemuanya lepas beberapa hari. Maklum la ibu muda, agaknya tak berapa pandai nak jaga anak dia tu lagi.


Semalam pulak lahir lagi yang baru tiga ekor. Aku pun tak pasti yang mana satu bapak dia sebab antara empat ekor yang ada dalam sangkar ni pun aku tak pasti yang mane satu jantan betinanya. Ntah siapa punya angkara sampai arnab tu bunting, biarlah hanya mereka yang tahu.


Ni la rupa anak anak arnab yang baru lahir semalam tu. Aku dah bagitau kat kawan aku tu supaya bagi kat mak arnab tu. Ye la, kesian lak baby arnab tu kang nak menyusu. Tapi kawan aku tu takut nanti mak arnab tu pijak cam anak dia yang 6 ekor tu sampai mati. 

Aku malas nak cakap banyak. Pehni tengok pulak 3 ekor ni leh hidup ke tak. Sian baby arnab tu kan. Tapi tadi aku dah curi curi bawak mak arnab tu kat anak dia ni. Lepas aku tengok mak dia dah tak nak layan, baru aku antar balik kat sangkar dia. Ye la, baby baru lahir mesti la nak menyusu kat mak dia kan ? Kalo tak, nak menyusu kat siapa ? 

02 March 2011

9.7 Kilogram

  13 Komen    
label: ,
Salam hari rabu buat semua rakan pembaca. Alhamdulillah sempat jugak nak menulis entri untuk hari ni walaupun jangkaan semalam kemungkinan aku akan berkejaran masa untuk menyelesaikan semua urusan hari ni.

Kebetulan pulak hari ni masa bawak anak aku pergi klinik kerajaan tu tak ramai pulak pelanggan bahagian ibu dan anak tu. Tapi walaupun camtu, hampir satu jam setengah jugak la menunggu giliran. 


Dan nasib baik jugak la anak aku hari ni tak banyak ragam. Mungkin sebab tak ramai bebudak untuk di layan berlari lari lagipun aku tengok muka dia pun mengantuk je sebab bangun awal pagi tadi.

Sesi pemeriksaan hanya memakan masa 15 minit. Mengukur ketinggian terkini dan berat badan terkini. Lepas je dapat ukuran berat tu, jururawat yang bertugas tu sedikit kehairanan sebab berat anak aku cuma 9.7 Kilogram. 



Ya, kurus tul anak aku ni. Umurnya dah 2 tahun 6 bulan tapi slim begitu je. Tu la pasal, siapa suruh makan memilih sangat. Hehehe..Tapi mungkin jugak mewarisi genetik keluarga aku kot. Dalam keluarga aku ni takde yang montel montel pun. Aku je sekarang ni yang agak sedikit berisi, tu pun sejak berkecimpung dalam industri masak memasak ni.

Dan yang pastinya lebih terisi siapa lagi kalo bukan wifey aku tu. Sampaikan jururawat bertugas tu pun cakap wifey aku dah nampak makin berisi. Aku tak cakap ape pun. Hehehe..

Lepas ni nak fikir camne lagi cara nak bagi anak aku tu menjadi montel. Tak banyak pun sikit jadi la. Kekadang tu risau jugak aku bila dia tak nak makan. Ada hari berselera betul bila dia makan, ada hari nak menghabiskan semangkuk nasik pun berjam jam.

Mungkin jugak sebab anak aku ni terlampau aktif barangkali. Bukan reti nak duduk diam melangut depan TV sambil mengunyah jajan pun. Dalam rumah tu berlari sana sini, lompat sana sini. Bila aku balik dari kerja lak ajaknya aku bermain bola bersama. Selagi dia tak kepenatan selagi tu la tak reti nak duduk diam. Camne pun apa yang penting asalkan anak aku tu sihat wal afiat cukup la. Takde la kurus sampai nampak tulang rangka. 

Pada yang berpengalaman menghadapi anak kecil yang memilih makan ni, ada apa apa yang boleh dikongsikan bersama ?