Showing posts with label gambar anak anak. Show all posts
Showing posts with label gambar anak anak. Show all posts

24 July 2012

RM100 aje bang

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Alhamdulillah hari ni keadaan cuaca di Ipoh redup-redup saja. Agak sesuai untuk mendidik anak-anak untuk berpuasa sama sebab takde alasan tak tahan cuaca panas terik sampai kering tekak. 


Ingat lagi tak entri pasal telefon bimbit Samsung Corby II milik isteri aku yang pecah skrin dalamnya ? Dan kos untuk menggantikan skrin tu setelah dibawa ke kedai adalah sekitar RM200 yang dirasakan agak tidak berbaloi.

Tapi hari ni segala masalah telah selesai. Skrin telefon Samsung Corby II yang pecah tu sudah berganti baru. Kos yang perlu dibayar cuma RM100. Separuh dari kos yang diberikan oleh kedai dimana aku membeli telefon bimbit tersebut.


Bagi rakan rakan yang mempunyai masalah telefon bimbit tak kira la sama ada telefon pintar atau yang tak pintar, mahukan aksesori untuk gajet, boleh la dapatkannya dengan harga mampu milik berbandng dibeli di kedai. Cuma hubungi je aku melalui email atau facebook.

Sepanjang bulan Ramadhan ni, waktu mengajar di sekolah disingkatkan sedikit. Kalau selain bulan Ramadhan habis kelas jam 5.45 petang, sempena Ramadhan ni kelas habis seusai solat asar. 

Hari pertama mengajar dalam bulan Ramadhan semalam pun aku tengok kebanyakkan anak-anak murd yang hadir seperti menyimpan tenaga yang ada kecuali ketika saat menghampiri waktu nak balik.


Mengikut perancangan mengajar aku pun, dalam masa tiga bulan ni aku kalau boleh nak siap sediakan anak-anak murid aku tu untuk menghadapi ujian akhir tahun. Bukan untuk lulus ujian semata-mata, yang lebih penting kefahaman tentang ilmu pelajaran tu paling aku utamakan.

Buat masa ni aku cuba jugak la sedaya upaya menyediakan bahan-bahan belajar untuk anak-anak murid aku tu mudah mudahan mereka mudah faham dan mampu menguasai setiap mata pelajaran tu. 


Nak menyediakan semua tu melalui bayangan dalam minda memang mudah je. Tapi nak melaksanakan dan menyiapkan tu agak mencabar jugak dengan nak melayan karenah dua anak dara kat rumah ni. Tapi bila dua-duanya tidur, memang segala kerja pun lancar je nak diselesaikan.



16 May 2012

05 May 2012

Wahai anak anak ku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Dalam keterujaan menimang cahaya mata baru ni, terasa juga beban tanggungjawab yang semakin bertambah namun amanah yang diberikan oleh Allah ini pasti tidak akan diabaikan.

Pesanan Luqman Al Hakim kepada anaknya  seperti yang termaktub di dalam Al Quran sentiasa teringat di dalam hati. Malah pesanan Nabi SAW kepada umatnya juga sentiasa bermain di minda. Anak anak itu ibarat kain yang putih bersih, maka kedua ibubapa yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama memberitahu kepadamu bahawa dunia ini penuh dengan fitnah dan pancaroba, janganlah engkau merasakan khuatir dan takut kerana kita dikurniakan Al Quran dan Hadis sebagai panduan untuk menempuhinya.


Andainya nanti papa dan mama menyuruhmu melaksanakan kewajipan solat, janganlah engkau anakku merasa terpaksa dan melaksanakannya kerana disuruh oleh papa dan mama sedangkan kewajipan itu adalah tuntutan dari Allah yang menciptakan kita semua.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama melatihmu untuk menahan lapar dan dahaga disiang hari di bulan Ramadhan, janganlah engkau anakku merasakan ianya satu bentuk kekejaman dan penderaan. Ketahuilah bahawa diluar sana terdapat insan insan lain yang bukan hanya di bulan Ramadhan terpaksa menahan lapar dan dahaga. 


Andainya nanti papa dan mama menegur cara berpakaianmu apabila engkau anakku meningkat dewasa, janganlah engkau anakku menganggap papa dan mama ketinggalan zaman. Fahamilah syariat yang telah Allah dan Nabi SAW telah titipkan buat panduan kita semua agar terpelihara kehormatan kita.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama meningkat tua, janganlah engkau anakku berasa malu untuk memeluk dan mencium kedua ibubapa mu ini dihadapan rakan rakanmu kerana sejak dari saat kelahiranmu, tiada insan lain yang lebih mengambil berat tentangmu selain dari kedua ibubapa mu jua.


Andainya nanti papa dan mama terlantar sakit, janganlah engkau anakku merasa terbeban untuk menguruskan kedua ibubapa mu. Janganlah engkau merasa jijik kiranya terpaksa membersihkan najis dari ibu bapa mu kerana papa dan mama tidak pernah sekalipun merasakan sebegitu sepanjang hayatmu.

Wahai anak anak ku,

Andainya nanti papa dan mama tidak menghantarmu ke kelas muzik seperti rakan rakan mu yang lain tetapi menghantarmu pula ke kelas agama, janganlah engkau merasa rendah diri kerana papa dan mama mahukan engkau anakku menjadi insan yang lebih mulia disisi Allah yang menjadikanmu.


Andainya nanti papa dan mama tidak mampu untuk mewariskan harta dunia yang banyak kepadamu, janganlah engkau anakku merasa menyesal dilahirkan bukan dari keluarga hartawan. Ketahuilah wahai anakku, engkau jugalah harta yang paling bernilai yang pernah papa dan mama miliki.

Wahai anak anak ku,

Andai kelak engkau anakku menjadi seorang yang berjaya apabila dewasa, janganlah engkau menyombong diri. Papa dan mama tidak akan pernah bangga dengan kejayaanmu kiranya ianya menjadikan mu manusia yang lupa diri.


Andainya nanti papa dan mama pergi menghadap Ilahi buat selamanya, janganlah engkau anakku melupakan kedua ibubapa mu. Bukan kunjungan di pusara yang papa dan mama harapkan, cukup hanya dengan doa dari mu sebagai bekalan buat papa dan mama di sana.

Wahai anak anak ku, 

Andainya nanti papa dan mama tersilap tidak menunaikan hak yang sepatutnya terhadapmu, janganlah engkau anakku memendamkan perasaan mu itu. Jangan biarkan perkara itu membuatkan api neraka bisa menjilat kedua ibu bapa mu di akhirat kelak.


Andainya nanti engkau anakku mengerti kenapa dan mengapa papa dan mama mu begitu cerewet dalam menyediakan dirimu meniti perjalanan di dunia ini, panjatkanlah kesyukuran itu kepada Allah kerana papa dan mama mu tidak sekali kali pernah ingin engkau anakku menjadi hamba Nya yang dimurkai.

InsyaAlah kemungkinan petang ni isteri dan anak aku akan dibenarkan pulang ke rumah. Dengan itu maka bermulalah episod baru dalam menjalani rutin harian nanti. Walau macam mana pun, sebenarnya aku tak sabar nak melaluinya.