Showing posts with label menuntut ilmu. Show all posts
Showing posts with label menuntut ilmu. Show all posts

21 July 2012

28 tahun tersalah imaginasi

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu diucapkan kepada rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. Buat rakan rakan yang beragama Islam selamat menunaikan ibadah puasa. 

Tiga hari lepas aku agak sibuk sebenarnya sebab menghadiri kursus P&P anjuran Bahagian Pendidikan, JAIPk. Selain dari berkursus mengenai kaedah menguruskan situasi dalam dan luar kelas, kaedah-kaedah untuk membina soalan ujian juga dapat dipelajari.


Sepatutnya kehadiran peserta dari lima daerah yang telah dipilih untuk mengikuti kursus P&P kali ni berjumlah 80 orang namun hanya 70% yang menghadirkan diri. 

Bagi peserta yang pertama kali mengikuti kursus P&P ni sememangnya ianya suatu yang baru. Namun bagi yang sudah pernah mengikuti kursus seumpama ini, kebanyakan yang aku dengar kehadiran mereka sekadar memenuhi kehendak sekolah.

Aku sendiri pun sebenarnya bila dipilih untuk mengikuti kursus ni mulanya berasa agak berat kerana memikirkan terpaksa meninggalkan anak anak murid kelas aku tu tanpa guru tapi bila memikirkan ianya untuk kebaikan diorang jugak, tak rugi aku mengikuti kursus sebegini.

Biarpun tajuk seminar atau kursus yang kita ikuti tu serupa dan sama tajuknya, namun bagi yang luas mindanya pasti tahu bahawa setiap pengisian yang diberi dan diterima dalam setiap seminar atau kursus tu mesti berlainan isinya.

Sedih jugak bila mendengarkan ada suara-suara yang berkata kursus sebegini hanya membuang masa, terpaksa dihadiri dan berbagai lagi pandangan berbentuk negatif. Lebih sedih lagi bila ianya keluar dari mulut seorang pendidik.


Andainya seorang pendidik pun malas untuk menuntut ilmu bagaimanakah dia hendak mendidik anak muridnya ? Ibarat kata pepatah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari. Kalau diri sendiri pun malas nak menuntut ilmu, tak hairan la kalau yang dididik tu seratus kali lebih malas dari kita.

Bercakap tentang pepatah ni, setelah hampir 28 tahun bermula pendidikan awal di tadika dulu aku mendengar bidalan "harapkan pagar, pagar makan padi" tu, mati-mati aku fikirkan dan membayangkan kawasan sawah padi yang berpagar sekelilingnya kemudian pagar itu juga merosakkan padi tu.

Siapa yang sehingga hari ni berfahaman cam aku tu ? 

Terasa sedikit kejahilan bila dari usia 6 tahun hinggalah mencecah usia 33 tahun dok membayangkan pagar yang tak berdosa tu memakan padi. Alhamdulillah melalui kursus P&P ni baru la aku mengetahui erti sebenarnya.

Rupanya apa yang dimaksudkan tu ada sejenis burung yang disebut burung pegar. Dan burung yang bernama pegar ni memang memakan padi walaupun tujuan asalnya adalah untuk ditugaskan menghalau haiwan perosak lain.


Nak salahkan cikgu bahasa melayu masa belajar kat sekolah dulu pun tak boleh jugak sebab dia lansung tak pernah bagitau pasal burung pegar ni kerana mungkin dia sendiri pun tak tau pasal maksud sebenar bidalan ni.

Cuma yang menjadi persoalan dalam minda aku ni

I )  Apa kejadahnya mengharapkan burung untuk menjaga padi ? Guna la kucing ke, ular sawa ke.

II ) Apakah pihak DBP tak bercadang untuk menukar penulisan 'pagar' tu kepada 'pegar' agar lebih mudah untuk difahami.

III)  Mushkil jugak, kenapa cikgu bahasa melayu aku dulu tak pernah bagitau pasal burung pegar ni. Dia kata maksud 'harapkan pagar, pagar makan padi' tu ialah kita mengharapkan pada orang lain tapi orang tu tak boleh diharap. Dan murid bengong cam aku ni terbayangkan pagar yang memagari sawah padi tu sedang mengunyah padi. 


p/s : Infants too young for late-night movies ? Harap-harap peristiwa yang berlaku kat Colorado tu tak berlaku kat panggung wayang di negara kita ni..









18 May 2012

Bukan milik kita

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat meraikan hari jumaat yang mulia ni dengan memperbanyakkan selawat serta zikir dan juga ibadat mudah mudahan kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah.

Seperti yang kita maklum baru baru ni diadakan sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa guru guru yang memberikan kita semua pendidikan. Mungkin masih berkesempatan untuk aku mengucapkan "terima kasih cikgu" kerana telah berkongsikan ilmu kepada anak anak murid tak kira di mana juga anda berada.


Semalam aku sedikit rasa terharu dan teruja kerana terkena sedikit tempias hari guru ni. Aku bukanlah seorang guru formal yang berdaftar cuma sekadar seorang yang mengasihi ilmu dan suka untuk berkongsi ilmu malah masih lagi mencari cari ilmu. Sepertimana guru-guru lain yang ikhlas menaburkan ilmu yang diperolehi, sebegitu juga aku. 

Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya ; "Apabila seorang manusia itu mati, maka putuslah (pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang berterusan pahalanya) iaitu (1) Sedekah jariahnya, atau (2) Ilmunya yang memberi faedah kepada orang lain, atau (3) Anak soleh yang berdoa untuknya."

(Hadis Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Seperti halnya hari ibu tu, seharusnya kita bukan hanya mengenang jasa guru-guru kita sekali dalam setahun. Walaupun tanpa sambutan atau sebagainya, cukup sekadar kita mengingati guru yang menaburkan ilmunya kepada kita ketika mana kita berada di setiap tangga kejayaan. 


Jangan kerana kita berjaya mendapat taraf pendidikan yang tinggi membuatkan kita melupakan jasa-jasa guru yang pernah mendidik kita. Dan jangan pula kerana itu kita merasakan bahawa kitalah manusia yang memiliki segala ilmu mengalahkan orang lain.

Walaupun kita memiliki Ph.D sekalipun, jangan sesekali kita memandang rendah kepada orang lain walaupun orang itu hanya seorang kanak kanak yang masih berhingus belajar di tadika. Mungkin benar ilmu yang kita miliki mengatasi ilmu yang baru dipelajarinya tapi belum tentu ilmu yang diperolehinya tu mampu untuk kita ketahui.

Dan jangan pula kerana ilmu, kita menjadi manusia yang sombong. Ingatlah kembali kisah tentang Nabi Musa a.s yang termaktub di dalam Al Quran pada surah Al Kahfi ayat 60 - 82 dimana Allah 'mengajarkan' kepadanya supaya tidak sombong dengan ilmu yang dimiliki kerana pasti ada orang lain yang lebih berilmu kerana sesungguhnya ilmu Allah itu teramat luasnya.


Dan jangan juga kita berasa puas dengan ilmu yang kita perolehi atau berasa cukup. Pentingnya ilmu tu untuk kehidupan kita di dunia ni malah boleh menjadi bekalan untuk ke akhirat. Tidaklah Allah mengajarkan perkara lain kepada Nabi Adam a.s selepas penciptaannya kecuali ilmu pengetahuan. Begitu juga wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW tak lain adalah tentang kepentingan ilmu.

Tuntutlah ilmu hingga ke akhir hayat di dunia ni. Sebarkanlah ilmu agar bermanfaat untuk semua manusia. Hormatilah guru-guru tak kira yang mengajar kita di sekolah atau mungkin hanya seorang budak yang mengajarkan kita doa menaiki kenderaan. Hargailah ilmu yang kita miliki dengan berkongsi dengan yang lain. Ingat, ilmu itu milik Allah jua yang hanya dipinjamkan kepada kita untuk dimanfaatkan. 






14 May 2012

Tak salah bertanya

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua dirahmati, diberkati dan diberikan hidayah dari Allah.

Kalau kita sedar sekarang ni ada satu fenomena yang melanda yang boleh la kita namakan fenomena suka bertanya hukum. Alhamdulillah perkara sebegini adalah sangat baik kerana umat Islam terutama anak anak muda zaman sekarang ni suka nak tahu hukum dalam Islam. Macam macam persoalan hukum ditanya menunjukkan satu keadaan positif hendak memahami Islam.


Siapa tak kenal dengan Ustaz Azhar Idrus sekarang ni ? Seorang guru yang begitu mudah untuk didekati oleh generasi muda mudi. Aku sendiri pun suka dengan pendekatan yang dilakukannya. Tanpa memperdulikan apa status orang yang bertanya, segala persoalan pasti akan dijawabnya.

Cuma yang aku rasa masalah sikit tu, adakah mereka yang bertanya soalan tu benar benar mahukan ilmu dari jawapan yang diberikan atau sekadar nak berseronok mendengar jawapan ? Maklum saja la dari apa yang aku perhatikan kadang kadang tu persoalan pelik pelik ditanyakan kepada Ustaz Azhar Idrus tu malah dijawabnya juga walaupun terkadang jawapannya berunsur sindiran yang dipandang sebagai lawak oleh sebahagian pembaca.

Aku teringat masa zaman aku masih belajar dulu. Ada beberapa kawan sekuliah yang sikapnya memilih guru. Alasannya cukup mudah. "pensyarah yang itu suka berjenaka". Begitu juga kalau mengikuti kuliah pengajian di masjid atau surau atau pergi mendengar syarahan agama. Bukan tajuk kuliah atau syarahan yang diteliti tapi siapakah penyampainya tu.


Kalau penyampainya tu seorang yang berperawatakan serius dan tegas, jangan harap la nak menyertai. Tapi kalau penyampainya tu dikenali dengan sikap suka berjenaka, sebelum majlis bermula pun dah diperkatakan tentang jenaka jenaka yang pernah diikutinya tu. 

Jadi tu semua untuk apa ? Ilmunya atau jenakanya untuk dijadikan bahan ketawa ? Atau untuk menunjukkan kepada rakan rakan lain betapa dirinya tu seorang yang mementingkan hukum hakam sedangkan kehidupannya tunggang langgang.

Tak salah nak bertanya. Malah memang kita umat Islam diwajibkan menuntut ilmu sepanjang hayat kita di dunia ni. Lebih lebih lagi ilmu berkaitan tentang Islam. Namun begitu janganlah sampai kita yang jahil ni menjadi semakin jahil akibat sikap kita yang hanya fikir nak keseronokan je walaupun melalui jawapan persoalan agama. 

Bagus juga ada yang bertanya apa hukum menyambut hari itu ini seperti sambutan hari ibu yang berlaku semalam. Memang jelas di dalam Islam tiada hari khusus meraikan ibu. Biasanya yang disoal tu pulak permasalahan umum. Cuba tanyakan masalah diri sendiri agar umum dapat pengajaran seperti contoh "Ibu saya suka pakai baju ketat, apa hukumnya ?". Ada berani ?