Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua dirahmati, diberkati dan diberikan hidayah dari Allah.
Kalau kita sedar sekarang ni ada satu fenomena yang melanda yang boleh la kita namakan fenomena suka bertanya hukum. Alhamdulillah perkara sebegini adalah sangat baik kerana umat Islam terutama anak anak muda zaman sekarang ni suka nak tahu hukum dalam Islam. Macam macam persoalan hukum ditanya menunjukkan satu keadaan positif hendak memahami Islam.
Siapa tak kenal dengan Ustaz Azhar Idrus sekarang ni ? Seorang guru yang begitu mudah untuk didekati oleh generasi muda mudi. Aku sendiri pun suka dengan pendekatan yang dilakukannya. Tanpa memperdulikan apa status orang yang bertanya, segala persoalan pasti akan dijawabnya.
Cuma yang aku rasa masalah sikit tu, adakah mereka yang bertanya soalan tu benar benar mahukan ilmu dari jawapan yang diberikan atau sekadar nak berseronok mendengar jawapan ? Maklum saja la dari apa yang aku perhatikan kadang kadang tu persoalan pelik pelik ditanyakan kepada Ustaz Azhar Idrus tu malah dijawabnya juga walaupun terkadang jawapannya berunsur sindiran yang dipandang sebagai lawak oleh sebahagian pembaca.
Aku teringat masa zaman aku masih belajar dulu. Ada beberapa kawan sekuliah yang sikapnya memilih guru. Alasannya cukup mudah. "pensyarah yang itu suka berjenaka". Begitu juga kalau mengikuti kuliah pengajian di masjid atau surau atau pergi mendengar syarahan agama. Bukan tajuk kuliah atau syarahan yang diteliti tapi siapakah penyampainya tu.
Kalau penyampainya tu seorang yang berperawatakan serius dan tegas, jangan harap la nak menyertai. Tapi kalau penyampainya tu dikenali dengan sikap suka berjenaka, sebelum majlis bermula pun dah diperkatakan tentang jenaka jenaka yang pernah diikutinya tu.
Jadi tu semua untuk apa ? Ilmunya atau jenakanya untuk dijadikan bahan ketawa ? Atau untuk menunjukkan kepada rakan rakan lain betapa dirinya tu seorang yang mementingkan hukum hakam sedangkan kehidupannya tunggang langgang.
Tak salah nak bertanya. Malah memang kita umat Islam diwajibkan menuntut ilmu sepanjang hayat kita di dunia ni. Lebih lebih lagi ilmu berkaitan tentang Islam. Namun begitu janganlah sampai kita yang jahil ni menjadi semakin jahil akibat sikap kita yang hanya fikir nak keseronokan je walaupun melalui jawapan persoalan agama.
Bagus juga ada yang bertanya apa hukum menyambut hari itu ini seperti sambutan hari ibu yang berlaku semalam. Memang jelas di dalam Islam tiada hari khusus meraikan ibu. Biasanya yang disoal tu pulak permasalahan umum. Cuba tanyakan masalah diri sendiri agar umum dapat pengajaran seperti contoh "Ibu saya suka pakai baju ketat, apa hukumnya ?". Ada berani ?


