Showing posts with label perkongsian ilmu. Show all posts
Showing posts with label perkongsian ilmu. Show all posts

01 November 2013

Iman kurang sempurna

  4 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan pengunjung. Kehidupan kita di atas muka bumi ALLAH ni merupakan suatu proses pembelajaran yang tidak pernah berhenti.

Baru-baru ni aku melalui satu pengalaman yang agak menyeramkan sejak bergelar pendidik. Aku kurang pasti dimana punca kesilapan atau terdapat kekhilafan dalam proses pembelajaran terdahulu.


Oleh sebab peperiksaan akhir tahun telah berakhir maka untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas tahun 4 yang aku kendalikan, aku lebihkan pada perbincangan dan pemahaman ilmu aqidah dan feqah.

Ketika aku mengupas serba sedikit tentang huraian rukun iman, hampir seluruh kelas menghafal dan mengingati enam rukun iman tersebut. Namun bila aku bertanyakan huraian satu persatu mengenai rukun iman, kisah seram pun bermula.

Memang apabila ditanya kepada kita apakah rukun iman atau rukun islam, pasti rata-rata kita mampu untuk menjawab dengan betul. Akan tetapi kiranya kita disoal misalnya apakah maksud kita percaya kepada ALLAH (rukun iman pertama), belum tentu kita dapat menghuraikan dengan betul.

Adakah kita hafal sifat wajib dan sifat mustahil bagi ALLAH ? Adakah kita memahami setiap sifat-sifat ALLAH itu ? Atau kita cuma tahu, rukun iman pertama ialah percaya kepada ALLAH tanpa mengenali ALLAH itu sendiri.

"Saya bukan nak jadi ustaz atau ustazah. Jadi tak perlu untuk saya mengetahui sampai ke tahap itu. Cukup je dengan asas pun boleh menjadikan saya orang beriman juga"


Sedangkan rumah yang kita diami pun kita menambahkan berbagai kelengkapan dan perhiasan. Kenderaan yang kita tunggangi yang sudah cukup lengkap dikeluarkan dari kilang pun kita letakkan berbagai aksesori. Malah pada tubuh badan kita sendiri pun kita tambah itu ini agar kelihatan lebih sempurna kononnya apa yang ALLAH ciptakan belum cukup bagus.

Alhamdulillah walaupun aku tak dapat nak menghuraikan kefahaman dengan lebih mendalam kepada anak-anak murid di sekolah tu namun aku sempat juga memperjelaskan kepada mereka tentang kepentingan memahami ilmu-ilmu agama dengan sedalam mungkin.

Memang zaman sekarang segalanya dihujung jari. Hinggakan nak belajar Al-Quran pun cuma dengan pen. Namun ianya tidak akan sama dengan ilmu yang kita perolehi dengan berguru secara nyata.

Belum terlewat lagi untuk kita mendalami ilmu-ilmu agama untuk bekalan kita di akhirat. Ke konsert, pusat membeli belah, panggung wayang, berdemonstrasi dan sebagainya pun kita sanggup berhimpitan dan meluangkan masa yang lama, sekali sekala tenangkan jiwa dan hati dengan duduk dalam majlis ilmu di masjid atau surau. 

Jangan biarkan iman kita kurang sempurna dengan menjadikan diri kita tidak dinaiktaraf berbanding gajet-gajet yang kita miliki yang sentiasa maju kehadapan mengalahkan kita sendiri. 




18 May 2012

Bukan milik kita

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat meraikan hari jumaat yang mulia ni dengan memperbanyakkan selawat serta zikir dan juga ibadat mudah mudahan kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah.

Seperti yang kita maklum baru baru ni diadakan sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa guru guru yang memberikan kita semua pendidikan. Mungkin masih berkesempatan untuk aku mengucapkan "terima kasih cikgu" kerana telah berkongsikan ilmu kepada anak anak murid tak kira di mana juga anda berada.


Semalam aku sedikit rasa terharu dan teruja kerana terkena sedikit tempias hari guru ni. Aku bukanlah seorang guru formal yang berdaftar cuma sekadar seorang yang mengasihi ilmu dan suka untuk berkongsi ilmu malah masih lagi mencari cari ilmu. Sepertimana guru-guru lain yang ikhlas menaburkan ilmu yang diperolehi, sebegitu juga aku. 

Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya ; "Apabila seorang manusia itu mati, maka putuslah (pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang berterusan pahalanya) iaitu (1) Sedekah jariahnya, atau (2) Ilmunya yang memberi faedah kepada orang lain, atau (3) Anak soleh yang berdoa untuknya."

(Hadis Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Seperti halnya hari ibu tu, seharusnya kita bukan hanya mengenang jasa guru-guru kita sekali dalam setahun. Walaupun tanpa sambutan atau sebagainya, cukup sekadar kita mengingati guru yang menaburkan ilmunya kepada kita ketika mana kita berada di setiap tangga kejayaan. 


Jangan kerana kita berjaya mendapat taraf pendidikan yang tinggi membuatkan kita melupakan jasa-jasa guru yang pernah mendidik kita. Dan jangan pula kerana itu kita merasakan bahawa kitalah manusia yang memiliki segala ilmu mengalahkan orang lain.

Walaupun kita memiliki Ph.D sekalipun, jangan sesekali kita memandang rendah kepada orang lain walaupun orang itu hanya seorang kanak kanak yang masih berhingus belajar di tadika. Mungkin benar ilmu yang kita miliki mengatasi ilmu yang baru dipelajarinya tapi belum tentu ilmu yang diperolehinya tu mampu untuk kita ketahui.

Dan jangan pula kerana ilmu, kita menjadi manusia yang sombong. Ingatlah kembali kisah tentang Nabi Musa a.s yang termaktub di dalam Al Quran pada surah Al Kahfi ayat 60 - 82 dimana Allah 'mengajarkan' kepadanya supaya tidak sombong dengan ilmu yang dimiliki kerana pasti ada orang lain yang lebih berilmu kerana sesungguhnya ilmu Allah itu teramat luasnya.


Dan jangan juga kita berasa puas dengan ilmu yang kita perolehi atau berasa cukup. Pentingnya ilmu tu untuk kehidupan kita di dunia ni malah boleh menjadi bekalan untuk ke akhirat. Tidaklah Allah mengajarkan perkara lain kepada Nabi Adam a.s selepas penciptaannya kecuali ilmu pengetahuan. Begitu juga wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW tak lain adalah tentang kepentingan ilmu.

Tuntutlah ilmu hingga ke akhir hayat di dunia ni. Sebarkanlah ilmu agar bermanfaat untuk semua manusia. Hormatilah guru-guru tak kira yang mengajar kita di sekolah atau mungkin hanya seorang budak yang mengajarkan kita doa menaiki kenderaan. Hargailah ilmu yang kita miliki dengan berkongsi dengan yang lain. Ingat, ilmu itu milik Allah jua yang hanya dipinjamkan kepada kita untuk dimanfaatkan. 






01 July 2011

mandi wajib

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat yang mulia buat rakan rakan pengunjung. Hari ni dah masuk bulan Sya'ban. Nabi SAW ada bersabda yang maksudnya, "Apabila masuknya bulan Sya'ban, perbaikkanlah niatmu padanya kerana kelebihan Sya'ban atas segala bulan seperti kelebihanku atas antara kamu". 


Hari ni aku nak berkongsi pasal mandi. Ada yang tak suka mandi ke ? Berapa kali sehari korang mandi ?  Apa yang kita faham pasal mandi ni ialah satu cara untuk menghilangkan kekotoran yang ada di badan. Tu mandi yang biasa tapi entri ni aku nak berkongsi pasal mandi wajib.


Aku teringat kisah seorang kenalan aku ni ketika dia menyertai satu program kursus untuk kakitangan kerajaan. Dalam satu slot ceramah keagamaan, penceramah tu dengan spontan mengemukakan satu soalan secara terbuka kepada semua peserta kursus, "Apa rukun mandi wajib ?". Menurut kenalan aku tu, takde sorang pun yang menjawab soalan tu.


Tak tau la samada kesemua peserta kursus yang rata rata semuanya dah mencapai usia akil baligh tu tergamam dengan soalan yang ditujukan atau sememangnya tak pernah mengetahui jawapannya atau mungkin tak pernah mandi wajib ?

Sebelum tu, perlu kita ketahui dulu penyebab kita wajib mandi wajib ni. Pertamanya kerana bersetubuh atau bertemunya dua khitan antara lelaki dan perempuan walaupun sekadar masuknya hasyafah dan walaupun tidak keluar air mani. Keduanya apabila keluar air mani bagi lelaki atau perempuan samada secara sengaja atau tidak sengaja (mimpi).


Penyebab ketiganya kedatangan haid bagi perempuan. Apabila telah nyata kering haidnya maka wajib mandi untuk membolehkan beribadat. Keempatnya nifas iaitu keluar darah selepas melahirkan anak. Kelimanya wiladah yakni darah yang keluar bersama ketika melahirkan anak walaupun keguguran. Keenamnya apabila seseorang itu mati dan akhir sekali apabila seorang kafir masuk memeluk islam.

Biar aku terangkan jawapannya. Rukun mandi wajib ada tiga perkara. Pertama, menghilangkan najis yang ada pada tubuh terlebih dahulu. Kedua, berniat. Dan ketiga, meratakan air ke seluruh anggota tubuh badan yang zahir.


Senang kan ? Yang pertama tu tersangat la mudahnya. Yang kedua pun sambil pejam mata pun boleh dilaksanakan. Tapi yang ketiga tu mungkin bermasalah sikit bagi sesetengah orang.

Kenapa pulak aku kata bermasalah ? Bukan susah pun nak meratakan air ke seluruh badan ye tak ? Memang la tapi perlu kita ketahui dan fahami dengan jelas kat sini, meratakan air ke seluruh badan tu maknanya setiap permukaan tubuh badan wajib basah.


Kalau yang berambut panjang tu, kena pastikan air tu sampai membasahi kulit kepala. Tu tak termasuk yang berambut dreadlock lagi. Nak tak nak kena jugak la pastikan air tu mengenai setiap inci tubuh badan tu. Bukan je rambut kat kepala, segala rambut yang tumbuh kat badan tu kena diselati menurut istilah fiqh bagi meratakan air tu bila mandi.


Kalau yang berkuku panjang pulak, kena pastikan air tu mampu sampai ke bahagian bawah kulit kuku tu. Kalau ada kotoran bawah kuku tu, korek dulu bagi bersih dan wajib pastikan air tu kena bawah kuku. Kalau yang sapu sapu cat kat kuku tu, elok la dibuang dulu cat tu supaya tidak menghalang air dari meratai keseluruhan badan.


Sebaiknya mandi wajib ni dilakukan dalam keadaan berdiri dan mencangkung supaya air yang mengalir tu mampu meratai kawasan kawasan tubuh yang berlipat. Tapi sekarang ni sebab ada pancuran atau paip maka cukup sekadar meratakan air mengalir tu dengan menggosok setiap inci tubuh badan.


Tu yang wajibnya la. Yang sunatnya ketika mandi wajib ni banyak jugak. Tapi yang penting perkara yang wajib tu harus kita ketahui sebab kalau tak sempurna mandi wajib kita tu maka segala amal ibadat kita tu nanti tak sah pulak. Apa pun semoga perkongsian ni memberi manfaat buat semua. Wallahua'lam.