Showing posts with label ilmu yang bermanfaat. Show all posts
Showing posts with label ilmu yang bermanfaat. Show all posts

01 June 2012

Ilmu - apa yang diamalkan ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat rakan rakan pengunjung yang dihormati. Marilah kita bersama sama memperbanyakkan berselawat dan zikir mudah mudahan kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah.

Bila membicarakan tentang ilmu, insyaAllah takde seorang manusia pun di dunia ni yang lansung tak berilmu. Salah satu kurniaan Allah yang berharga untuk kita makhluk-Nya ni adalah akal fikiran. Melalui akal fikiran juga la kita memperolehi dan mengingati ilmu.


Perlu kita sentiasa ingat, bukanlah apabila kita menuntut sehingga ke peringkat tertinggi bermaksud kita memiliki lebih ilmu dari orang lain yang mungkin hanya sempat menuntut di awal pendidikan je. Kerana ilmu yang Allah sediakan itu tersangat la luasnya hinggakan andai seluruh air lautan dijadikan dakwat untuk menulis semua ilmu, pasti takkan cukup sebelum sempat menghabiskan menulis  kesemuanya.

Dan apa yang terlebih utama ialah dengan ilmu yang kita perolehi tu, apakah yang kita amalkan dari ilmu yang kita ada tu ? Apakah dengan ilmu yang kita ada tu kita mempergunakannya ke arah kebaikan ? Atau dengan ilmu yang kita miliki tu, kita menzalimi orang lain dan diri sendiri ?


Tidak kira apa bidang sekalipun ilmu yang kita miliki andainya ianya dipergunakan untuk melakukan kebinasaan, merosakkan umat manusia ataupun merosakkan diri sendiri maka sia sia sajalah masa yang dipergunakan untuk menuntut ilmu tersebut.

Apa yang terbaik apabila dengan ilmu yang kita miliki tu dapat kita pergunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain. Walaupun ianya tidaklah banyak untuk dikongsikan tapi selama mana ilmunya memberikan manfaat kebaikan untuk orang lain insyaAllah pastinya akan mendatangkan keberkatan dunia dan akhirat.



18 May 2012

Bukan milik kita

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat meraikan hari jumaat yang mulia ni dengan memperbanyakkan selawat serta zikir dan juga ibadat mudah mudahan kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah.

Seperti yang kita maklum baru baru ni diadakan sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa guru guru yang memberikan kita semua pendidikan. Mungkin masih berkesempatan untuk aku mengucapkan "terima kasih cikgu" kerana telah berkongsikan ilmu kepada anak anak murid tak kira di mana juga anda berada.


Semalam aku sedikit rasa terharu dan teruja kerana terkena sedikit tempias hari guru ni. Aku bukanlah seorang guru formal yang berdaftar cuma sekadar seorang yang mengasihi ilmu dan suka untuk berkongsi ilmu malah masih lagi mencari cari ilmu. Sepertimana guru-guru lain yang ikhlas menaburkan ilmu yang diperolehi, sebegitu juga aku. 

Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya ; "Apabila seorang manusia itu mati, maka putuslah (pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang berterusan pahalanya) iaitu (1) Sedekah jariahnya, atau (2) Ilmunya yang memberi faedah kepada orang lain, atau (3) Anak soleh yang berdoa untuknya."

(Hadis Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Seperti halnya hari ibu tu, seharusnya kita bukan hanya mengenang jasa guru-guru kita sekali dalam setahun. Walaupun tanpa sambutan atau sebagainya, cukup sekadar kita mengingati guru yang menaburkan ilmunya kepada kita ketika mana kita berada di setiap tangga kejayaan. 


Jangan kerana kita berjaya mendapat taraf pendidikan yang tinggi membuatkan kita melupakan jasa-jasa guru yang pernah mendidik kita. Dan jangan pula kerana itu kita merasakan bahawa kitalah manusia yang memiliki segala ilmu mengalahkan orang lain.

Walaupun kita memiliki Ph.D sekalipun, jangan sesekali kita memandang rendah kepada orang lain walaupun orang itu hanya seorang kanak kanak yang masih berhingus belajar di tadika. Mungkin benar ilmu yang kita miliki mengatasi ilmu yang baru dipelajarinya tapi belum tentu ilmu yang diperolehinya tu mampu untuk kita ketahui.

Dan jangan pula kerana ilmu, kita menjadi manusia yang sombong. Ingatlah kembali kisah tentang Nabi Musa a.s yang termaktub di dalam Al Quran pada surah Al Kahfi ayat 60 - 82 dimana Allah 'mengajarkan' kepadanya supaya tidak sombong dengan ilmu yang dimiliki kerana pasti ada orang lain yang lebih berilmu kerana sesungguhnya ilmu Allah itu teramat luasnya.


Dan jangan juga kita berasa puas dengan ilmu yang kita perolehi atau berasa cukup. Pentingnya ilmu tu untuk kehidupan kita di dunia ni malah boleh menjadi bekalan untuk ke akhirat. Tidaklah Allah mengajarkan perkara lain kepada Nabi Adam a.s selepas penciptaannya kecuali ilmu pengetahuan. Begitu juga wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW tak lain adalah tentang kepentingan ilmu.

Tuntutlah ilmu hingga ke akhir hayat di dunia ni. Sebarkanlah ilmu agar bermanfaat untuk semua manusia. Hormatilah guru-guru tak kira yang mengajar kita di sekolah atau mungkin hanya seorang budak yang mengajarkan kita doa menaiki kenderaan. Hargailah ilmu yang kita miliki dengan berkongsi dengan yang lain. Ingat, ilmu itu milik Allah jua yang hanya dipinjamkan kepada kita untuk dimanfaatkan.