Showing posts with label nona roguy. Show all posts
Showing posts with label nona roguy. Show all posts

10 June 2012

Review jenama - Set selepas bersalin Nona Roguy

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat berhujung minggu buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua dirahmati dan diberkati Allah. 

Sejak semalam lagi kelihatan kenderaan memenuhi jalan raya berikutan musim cuti sekolah yang akan berakhir hari ni. Bagi rakan rakan yang memandu ke mana jua destinasi didoakan semoga selamat sampai dan sentiasalah beringat dan berhati-hati ketika memandu.


Bagi entri ulasan jenama hari ni, aku nak berkongsi pengalaman berkenaan set selepas bersalin. Sepatutnya aku nak suruh isteri aku yang jadi penulis jemputan tapi malu-malu kucing pulak dia.

Jenama yang aku nak kongsikan hari ni adalah seperti yang pernah aku kongsikan dalam entri persediaan menyambut kelahiran dulu tu. Jenama set selepas bersalin yang aku maksudkan tu ialah set selepas bersalin Nona Roguy.

Set selepas bersalin Nona Roguy ni mengandungi enam produk didalamnya. Antaranya tablet PhytoNatal, paket Akar herbanika, minyak herbanika, herbanika barut, paket uncang cuci herbanika dan serbuk herbanika lulur. Kesemuanya didatangkan khas dalam satu kotak set bersalin keluaran Nona Roguy.

Jika sewaktu anak pertama dahulu, isteri aku menggunakan set bersalin keluaran HPA. Walaupun ianya agak memuaskan juga namun kebanyakan item yang terkandung dalam set bersalin tu tidak mencukupi sehingga habis tempoh pantang. Namun itu bukanlah masalah kerana produknya boleh dibeli secara berasingan dan harganya juga tidaklah sebegitu mahal.


Bagi kelahiran anak yang kedua pula, isteri aku memilih untuk menggunakan set selepas bersalin keluaran Nona Roguy. Tidak aku nafikan bahawa harga untuk satu set selepas bersalin Nona Roguy ni agak mahal namun ianya agak berbaloi untuk digunakan.

Rasanya tidak perlu untuk aku mengulas setiap satu produk yang terkandung dalam set bersalin Nona Roguy ni. Dari pengalaman isteri aku sebagai pengguna, alhamdulillah menurutnya memang terasa perbezaan ketara jika nak dibandingkan dengan produk yang digunakan sebelum ini.

Dan katanya yang lebih penting sekali [mungkin juga bagi semua wanita] selepas menggunakan produk set bersalin Nona Roguy ni, penurunan berat badan jelas ketara. Selain tu jugak, badan terasa lebih bertenaga dan tiada masalah sembelit atau buang air kecil yang tidak lawas.

Disebabkan anak kedua aku hari tu terkena jaundis hingga terpaksa ditahan di wad hospital, mulanya rasa agak risau juga untuk isteri aku menggunakan produk set bersalin Nona Roguy ni. Tapi alhamdulillah sejak anak aku tu dibenarkan pulang dan berterusan menyusu badan dengan isteri aku, tiada masalah bagi isteri dan anak aku tu.

Dan yang paling penting sekali, set selepas bersalin Nona Roguy ni memang mencukupi untuk bekalan sepanjang tempoh berpantang. Kecuali la kalau ingin meneruskan penggunaan beberapa produk dari set bersalin ni, ianya boleh dibeli secara berasingan di stokis atau kedai kedai jamu berhampiran.

Disokong penggunaannya oleh mak mertua aku sendiri jugak, bagi produk set selepas bersalin jenama Nona Roguy ni aku dan isteri bagi 9/10 markah dari sudut keberkesanannya, 7/10 untuk harga yang ditawarkan. 




30 April 2012

Persiapan dan persediaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung. Bak kata orang, setiap kelahiran tu berbeza beza. Dan sememangnya aku tak nafikan lansung. Memang terasa perbezaannya antara anak kami yang pertama dulu dengan yang bakal lahir tak lama lagi ni insyaAllah.


Persiapan untuk isteri dan anak yang bakal lahir pun tak serupa macam anak yang pertama dulu. Mungkin masa anak yang pertama dulu tu tak berapa nak faham sangat. Namun alhamdulillah segalanya berjalan lancar jugak la.

Untuk kali ni, boleh kata banyak jugak persiapan dan persediaan awal dilakukan. Keperluan untuk anak yang bakal lahir sebahagiannya sudah sedia ada 'warisan' dari anak yang pertama dulu seperti barut, sarung tangan dan kaki, selimut, tuala, kain lampin dan beberapa pasang pakaian untuk bayi baru lahir.


Keperluan untuk isteri aku pulak mungkin kali ni agak berlainan. Antara yang akan dipraktikkan untuk kelahiran kali ni seperti produk set bersalin keluaran Nona Roguy, bantal tungku panas bermagnet dan tuala wanita berherba kegunaan selepas bersalin keluaran Susen. 

Untuk mengetahui hasilnya dari produk produk yang akan digunakan nanti, kena tunggu maklum balas dari isteri aku dulu la. InsyaAllah andainya memuaskan, tak salah rasanya untuk dikongsikan dengan rakan rakan semua.




28 April 2012

Bantal tungku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung tak kira dimana jua anda berada mudah mudahan perjalanan hidup kita hari ni diberkati dan dirahmati Allah.

Apa aktiviti hari ni ? Ikut menyertai perhimpunan Bersih 3.0 ? Kat Ipoh hari ni kalau rasa tak tau nak buat apa boleh la memeriahkan beberapa program yang diadakan sekitar Ipoh ni antaranya program Karnival Jom Heboh anjuran TV3 yang berlansung di Stadium Indera Mulia dan bagi rakan rakan tweeter pulak, boleh meramaikan program #twtupipoh yang berlansung hari ni jugak.


Aktiviti aku pulak, seawal jam 730 pagi tadi dah keluar bawak isteri tercinta buat pemeriksaan jantung untuk anak dalam kandungan yang dah terlepas tarikh. Sudah seminggu lamanya sebenarnya kami menjadi pengunjung harian Klinik Kesihatan Gunung Rapat ni lepas isteri aku melepasi tarikh jangkaan bersalin pada 22 haribulan yang lepas. 

Cuma yang bagusnya kami tak lagi perlu menunggu giliran sebab isteri aku cuma perlu diimbas perutnya untuk mengukur degupan jantung anak dalam kandungan je. Alhamdulillah meriah je degupan jantungnya setiap kali diimbas. Sama macam anak pertama yang dulu, melebihi tarikh jangkaan jugak. 


Dan menurut mak mertua aku, mungkin ada aspek keturunan sebab kebanyakan adik beradik isteri aku yang dilahirkan mak mertua aku semuanya terlebih tarikh jangkaan malah seorang abang ipar aku dilahirkan selepas 11 bulan berada dalam kandungan. 

Lepas selesai urusan di klinik, kami terus bersarapan di gerai roti canai yang terletak di Kampung Melayu. Cadangnya lepas tu nak singgah ke stokis Nona Roguy sebab isteri aku nak membeli sedikit keperluan selepas bersalin tapi sebab masih awal lagi dan kedai NR tu pun belum dibuka, kami singgah ke pasar terlebih dahulu.

Kononnya nak melihat lihat sayuran atau bahan mentah untuk dimasak kat rumah, tapi dengan perut yang masih terasa kekenyangan rasa tak berselera pulak melihat barang jualan kat Pasar Gunung Rapat tu. 

Namun camtu aktiviti kat pasar pagi ni berjaya jugak menipiskan kandungan poket aku dengan pembelian satu bantal tungku. Memang aku sendiri pun tertarik jugak sebenarnya dengan bantal tungku tu. Selain dapat digunakan oleh isteri aku selepas bersalin nanti, bantal tungku tu banyak jugak kegunaan lainnya.


Tak perlu lagi la nak bakar bakar batu lepas ni. Cuma 'cas'kan menggunakan elektrik untuk dipanaskan bantal tungkunya selama beberapa minit dan kepanasannya mampu bertahan lama hingga dua tiga jam. Mudah juga untuk dibawa malah anak aku pun mampu mengangkatnya. Harga yang ditawarkan juga mampu milik. 

Terdapat dua variasi bantal tungku yang dijual. Bagi yang biasa, harganya RM35 setiap satu set termasuk sarungnya dan wayar pengecas manakala bagi bantal tungku bermagnet pula harganya RM45 setiap satu set. Kalau nak murah lagi kena la beli borong banyak banyak. 

Selesai urusan membeli belah di pasar Gunung Rapat, barulah kami ke stokis NR bersebelahan restoran Nasi Ayam Nusantara. Bagi suami suami semua, berbelanjalah lebih sikit untuk isteri isteri kalian mengikut kemampuan. Bukan selalu pun isteri isteri kita tu nak melalui frasa selepas bersalin ni. Ada rezeki hujung bulan tu, kumpul sikit sikit atau khaskan sedikit untuk kegunaan isteri membeli keperluan selepas bersalin.


Walaupun terpejam mata jugak aku membayarkan untuk produk set selepas bersalin NR isteri aku tadi tu, tapi bila difikirkan ianya bukan untuk orang lain tapi untuk aku dan keluarga jugak, apa sangat la RM300 ye tak ? InsyaAllah rezeki Allah tu luas. Jangan takut untuk berbelanja bagi keluarga kerana sedekah yang lebih utama tu bila diberikan kepada ahli keluarga terlebih dahulu.

Esok pagi kami akan berkunjung ke klinik lagi. Menurut jangkaan doktor, andainya sehingga hujung bulan April ni masih belum ada tanda tanda hendak bersalin, 1 Mei nanti isteri aku perlu dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kemungkinan akan dipaksa bersalin jugak. Cuma harap harap untuk kali ni biarlah isteri aku dapat bersalin secara normal sebab kalau boleh kami nak ada anak sekurang kurangnya lebih dari tiga orang, baru la meriah.