Showing posts with label kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label kekeluargaan. Show all posts

23 June 2012

Santai - Cemburu seorang isteri

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu diucapkan kepada semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua dirahmati dan diberkati Allah. 

Sejak kebelakangan ni terasa sedikit kekurangan masa untuk melayari internet. Sibuk jugak nak melayan karenah dua orang anak ni. Itu pun nasib baik juga la yang bongsu tu baru berusia sebulan lebih. Tapi bila tiba masa dia nak meragam tu memang rasa macam nak nangis dibuatnya.


Terkadang tu bila memandang ke wajah anak-anak terasa macam tak percaya pulak akan diri ni dah menjadi seorang ayah kepada dua orang anak. Berbeza masa sebelum ada anak tu, asyik pandang isteri je terkadang macam tak percaya jugak diri dah menjadi suami.

Semasa isteri aku disahkan hamil anak kedua dulu tu sebenarnya ianya bukanlah ada dalam perancangan. Tapi bukan la maksudnya kami tak mensyukuri kehadiran anak kedua ni pulak, cuma kadang-kadang terfikir macam tak puas lagi nak memanjakan anak sulung tu tiba-tiba dah ada anak kedua pulak.

Mula-mula tu agak risau jugak takut-takut bila lahir anak kedua ni, anak sulung akan menjadi cemburu atau sebagainya. Namun alhamdulillah walaupun kemanjaan anak sulung aku ni kadang-kadang sukar nak diduga, dia dengan gembiranya menerima kehadiran adik baru dia tu.

Cuma pada beberapa keadaan berlaku perebutan kasih sayang antara anak sulung aku tu dengan adiknya terutama bila tiba masa nak tidur malam. Walaupun di waktu jaganya anak sulung aku ni lebih rapat dengan aku (mungkin sebab aku selalu manjakan dia) berbanding mama dia tapi bila tiba waktu nak tidur asyik nak melekat dengan mama dia je. 

Dan terkadang tu sewaktu aku atau isteri sedang mendodoikan adik dia tu, waktu tu jugak la dia nak mintak perhatian. Rasa serba salah juga dibuatnya bila dalam keadaan begitu. Harap-harap jangan bila dah besar nanti masing-masing begaduh pulak sudah la.

Dan bila dah semakin besar keluarga ni dengan tiga perempuan dalam kehidupan aku sehari-hari untuk merebut cinta dan kasih sayang aku memang agak mencabar juga persaingannya.


Dan sejak kehadiran anak kedua ni, kecemburuan isteri aku semakin menebal bila aku lebih banyak mencium anak dari mencium isteri. Hehehe..



08 June 2012

Keluarga - Bahagia dan berjaya

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati. Di hari yang mulia ni marilah kita memperbanyakkan amalan zikir dan selawat dan memohon kepada Allah agar diberikan cahaya keimanan dalam sanubari kita semua.

Bila kita membayangkan tentang kehidupan, antara elemen penting yang menjadi impian kita semua pastinya berjaya dan bahagia. Begitu juga di dalam membina keluarga, sudah tentu kejayaan dan kebahagiaan menjadi agenda utama untuk masa depan keluarga.


Terutama sekali apabila keluarga yang dibina bermula dari hidup berdua bersama pasangan, kemudiannya bertambah pula dengan kehadiran zuriat yang di nanti-nantikan. Dari situ  pun pastinya sebagai ibu bapa sudah merancang dan meletakkan satu matlamat bagi setiap anak yang lahir.

Malangnya bagi sebahagian dari kita yang hanya menjadikan keluarga yang dibina  cukup sekadar bahagia dan berjaya di dunia semata mata malah lebih mengutamakan kebahagiaan dan kejayaan dunia sebagai titik perbezaan darjat kehidupan dalam masyarakat.

Lebih lebih lagi bagi para suami yang menjadi ketua keluarga haruslah memastikan setiap ahli keluarga bawah tanggungannya bukan sahaja bahagia dan berjaya di dunia, malah biarlah hingga bahagia dan berjaya di akhirat sama.

Adakah benar tindakan kita yang kononnya sayangkan pasangan dan anak anak seraya itu kita cuma cukup sekadar sekali menegur misalnya dalam menyuruh menunaikan solat. Apakah kita fikirkan dengan sekali teguran itu sudah cukup terlaksana tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga ?

Bahagia dan berjayakah kita membina keluarga impian andainya kebahagiaan dan kejayaan itu hanya mampu kita kecapi di dunia sahaja ? Buktikanlah cinta kita terhadap keluarga yang kita bina dengan membawa mereka bersama menikmati kebahagiaan dan kejayaan hingga ke sana yang lebih kekal abadi.

Belum terlambat andai kita belum bermula. Andai sudah bermula, teruskan usaha agar jadi keluarga yang bukan sahaja berjaya dan bahagia di dunia malah bawalah kebahagiaan dan kejayaan itu sehingga akhirat sana.