Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

29 May 2012

Kenapa menunggu tua ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberikan taufiq dan hidayah dalam memperkukuhkan ketaqwaan terhadap Allah.

Kalau sebelum ni kita dah berkongsi minda berkenaan umur kita di dunia ni, insyaAllah hari ni kita sambung pula tentang usia muda kita, bagaimanakah ianya diperlakukan.


Zaman sekarang ni ramai antara kita yang berlumba lumba mengejar dunia. Bukan menjadi kesalahan pun kalau nak mengejar dunia tapi cuma perlu diingati selalu agar akhirat jangan sesekali kita lupa. 

Dalam kehidupan yang semakin meningkat taraf hidupnya ni, berbagai pelaburan yang kita nak kejar agar mendapat kesenangan hidup di usia tua. Tu pun kalau yakin mencapai usia tua la. Jangan sampai kita hanyut dengan matlamat kehidupan dunia hingga terlupa matlamat kehidupan kita di akhirat sana.

Jangan sia siakan usia muda kita dengan dunia semata mata. Kalau sanggup menghadirkan diri ke seminar seminar nak jadi jutawan dunia, takkan tak sanggup menghadirkan diri ke majlis majlis ilmu agama. 


Kalau kita sanggup melaburkan wang simpanan kita untuk menggandakannya di masa akan datang, takkan nak menghulurkan sedikit sedekah ikhlas ke tabung masjid untuk menjadi pelaburan kita di akhirat kelak pun sangat berkira.

Dan kalau di usia muda ni kita sanggup bersengkang mata berkumpul bersama rakan rakan di meja kopitiam membicarakan hal hal keduniaan, takkan nak meluangkan sedikit masa bertahajjud untuk-Nya kita berasa berat mata sedangkan masa yang kita luangkan bersama rakan rakan tu juga adalah kurniaan-Nya.

Muhasabah diri semula. Apakah yang telah kita perlakukan terhadap usia muda kita ? Adakah penuh dengan perkara kebaikan atau hanya hanyut dengan tipu daya dunia ? Adakah kita perlu menunggu di saat usia meningkat tua baru nak merubah diri ?

Sementara berkesempatan memanfaatkan roh yang dipinjamkan Allah ni, marilah kita sama sama memperbaiki diri dan orang orang yang kita cintai agar di sana nanti mudah untuk kita melepaskan diri dari soalan bocor yang telah Nabi SAW tinggalkan untuk umatnya.



28 May 2012

Bahana solat punggung terkeluar

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah. 

Entri kali ni insyaAllah kita sama sama membincangkan pasal perkara yang berlaku dalam solat. Disebabkan solat tu adalah tiang agama yang perlu kita sentiasa tegakkan, maka dalam nak menegakkan tiang agama tu kita perlu juga tahu serba sedikit perkara perkara yang terkandung dalam solat tu.


Baru baru ni ketika bersolat jemaah jumaat di masjid, pandangan mata aku tertarik pada seorang ahli jemaah selang dua saf di hadapan. Masih muda belia dan segak bergaya ibarat lelaki kacak yang sering menjadi tarikan pandangan wanita di luar sana.

Ringkas pakaian yang dikenakan. Cuma berseluar jeans levi's 501 biru dan baju T-shirt berbelang hitam dan merah. Bajunya agak kelihatan sendat, mungkin sengaja dipakai untuk memperlihatkan bentuk tubuh yang biasa biasa saja. Tu tak termasuk lagi seluar dalam boxer jenama renoma yang kelihatan ketika si dia duduk bersila.

Di rakaat terakhir solat jumaat berlansung selepas duduk antara dua sujud dan ketika hendak melaksanakan sujud terakhir sebelum tahiyat akhir, aku terpandang si dia bersujud bersama jemaah lain. Sujudnya sempurna namun ada sesuatu yang menjelikkan.

Kerana baju T-shirt yang dipakainya tu agak kecil dan seluar yang dipakai juga mungkin dilondehkan sedikit mengikut fesyen, jadi ketika bersujud maka terserlahlah sedikit alur punggungnya yang lansung tak menyelerakan walaupun cuba ditutup dengan seluar dalam boxer jenama renoma tu.


Selesai imam memberi salam, tak sempat aku nak bertegur sapa dengan lelaki kacak tersebut kerana pantas dia berdiri dan keluar dari masjid. 

Apa yang aku nak kongsikan di sini ialah tentang aurat kita ketika solat. Antara syarat sah solat tu ialah menutup aurat. Bagi lelaki auratnya diantara pusat dan lutut. Bagi perempuan pula keseluruhan anggota tubuh badan kecuali bahagian muka dan tangan (dari pergelangan tangan hingga hujung jari).

Terdapat perbincangan ulama tentang hukum terbuka aurat ketika bersolat yang mengatakan terbatal solat jika terbuka aurat kecuali dalam keadaan tidak sengaja (ditiup angin). Walaupun bagi perempuan terkeluar sedikit rambut ketika bersolat maka wajib baginya untuk mengulangi solatnya.

Jadi kalau kejadian seperti yang aku ceritakan tu, seharusnya kita yang lelaki ni lebih berhati hati dalam berpakaian. Jangan kita asyik sibuk bebel kat kaum wanita pasal etika berpakaian diorang tu tapi kita terlupa diri kita sendiri. Tak salah kalau nak bergaya seperti lelaki kacak asalkan kita tahu batasannya.

Itulah bahananya bila bersolat tapi punggung terkeluar. Jangan jadikan ibadat kita sia sia akibat kelalaian kita. Jelas di situ kiranya terbuka aurat ketika solat maka batallah solatnya. Kadang kadang tu perkara kecil camni kita pandang remeh je tapi perkara remeh macam ni la yang menjadi tunjang arah tuju kita di akhirat kelak.



25 May 2012

Bukti cinta mu

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati dan marilah kita bersama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah mudah mudahan kehidupan kita di dunia ni akan diberkati dan dirahmati Allah.

Bila berbicara tentang cinta, kasih dan sayang pastinya ramai dari kita yang lebih mengerti akan maksudnya. Anak anak pastinya cinta, kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa dan adik beradik. Ibu bapa pula semestinya cinta, kasih dan sayang kepada anak anak mereka. 


Namun bagaimanakah cara kita membuktikan cinta, kasih dan sayang kita tu kepada mereka ? Adakah cukup dengan hanya mengucapkan melalui kata kata ? 

Buat ibu dan bapa mahupun bakal ibu dan bapa terutama yang beragama Islam, jika benar kita menyintai, mengasihi dan menyayangi anak anak kita, usahlah kita abaikan penerapan nilai nilai syariat dalam kehidupan mereka. Pastikan mereka mematuhi rukun iman dan rukun islam sepanjang hayat mereka. Didik mereka dengan ajaran islam yang mengikut syariat sebenar.

Adakah kita rasa kita cukup memberikan mereka cinta, kasih dan sayang dengan hanya memastikan mereka berjaya di dunia semata mata ? Sudah semestinya kita sebagai ibu bapa akan merasa bangga jika anak anak kita mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburinya di dunia ni. Tapi jika kita mengabaikan kehidupan mereka di akhirat kelak, cukupkah cinta, kasih dan sayang yang kita berikan itu ?

Buat anak anak pula, jangan dipersoalkan kenapa ibu dan ayah menyuruh mendirikan solat atau mengerjakan ibadah puasa ketika umur baru meningkat 7 tahun dan belum mencapai baligh. Walaupun di sekolah diajarkan antara syarat wajib ibadah tu adalah mencapai usia baligh. Sememangnya andai tidak dilakukan tidak menjadi kesalahan bagi kita namun tidakkah kita mahu Allah memberikan 'bonus' untuk ibu dan ayah kita atas usaha kita mematuhi perintah dan suruhan Allah tu ?


Dan apabila semakin meningkat dewasa dan berlumba lumba mengejar kehidupan dunia, janganlah kita lupa untuk mengasihi kedua ibu bapa kita. Bukanlah kiriman wang setiap bulan mahupun limpahan harta boleh dijadikan bukti cinta, kasih dan sayang kita kepada mereka. Itu semua hanyalah habuan di dunia yang tidak bekekalan sifatnya.

Tiada cinta, kasih dan sayang yang lebih berharga untuk kita berikan kepada kedua ibu bapa kita selain mengharapkan cinta, kasih dan sayang itu datang dari Allah yang Maha berkuasa. Doa yang tidak putus putus dari seorang anak untuk kedua ibu bapanya sebagai bekalan berpanjangan membawa ke akhirat la antara bukti sebenar betapa kita menyintai, mengasihi dan menyayangi kedua ibu bapa kita.

Namun kiranya hidup kita sendiri pun bergelumang dengan tipu daya dunia, adakah pasti ada masa untuk kita mengangkat kedua tangan merendahkan diri di hadapan-Nya memohon agar Allah memberikan ampunan dan kasih sayang-Nya buat kedua ibu bapa kita ? Jangan pula kita rasa sudah cukup kasih sayang kita berikan kepada kedua ibu bapa kita di dunia ni dan kelak di akhirat kita menuding jari menyalahkan mereka pula kerana membiarkan kita tewas dengan segala fitnah dunia.




01 July 2011

mandi wajib

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat yang mulia buat rakan rakan pengunjung. Hari ni dah masuk bulan Sya'ban. Nabi SAW ada bersabda yang maksudnya, "Apabila masuknya bulan Sya'ban, perbaikkanlah niatmu padanya kerana kelebihan Sya'ban atas segala bulan seperti kelebihanku atas antara kamu". 


Hari ni aku nak berkongsi pasal mandi. Ada yang tak suka mandi ke ? Berapa kali sehari korang mandi ?  Apa yang kita faham pasal mandi ni ialah satu cara untuk menghilangkan kekotoran yang ada di badan. Tu mandi yang biasa tapi entri ni aku nak berkongsi pasal mandi wajib.


Aku teringat kisah seorang kenalan aku ni ketika dia menyertai satu program kursus untuk kakitangan kerajaan. Dalam satu slot ceramah keagamaan, penceramah tu dengan spontan mengemukakan satu soalan secara terbuka kepada semua peserta kursus, "Apa rukun mandi wajib ?". Menurut kenalan aku tu, takde sorang pun yang menjawab soalan tu.


Tak tau la samada kesemua peserta kursus yang rata rata semuanya dah mencapai usia akil baligh tu tergamam dengan soalan yang ditujukan atau sememangnya tak pernah mengetahui jawapannya atau mungkin tak pernah mandi wajib ?

Sebelum tu, perlu kita ketahui dulu penyebab kita wajib mandi wajib ni. Pertamanya kerana bersetubuh atau bertemunya dua khitan antara lelaki dan perempuan walaupun sekadar masuknya hasyafah dan walaupun tidak keluar air mani. Keduanya apabila keluar air mani bagi lelaki atau perempuan samada secara sengaja atau tidak sengaja (mimpi).


Penyebab ketiganya kedatangan haid bagi perempuan. Apabila telah nyata kering haidnya maka wajib mandi untuk membolehkan beribadat. Keempatnya nifas iaitu keluar darah selepas melahirkan anak. Kelimanya wiladah yakni darah yang keluar bersama ketika melahirkan anak walaupun keguguran. Keenamnya apabila seseorang itu mati dan akhir sekali apabila seorang kafir masuk memeluk islam.

Biar aku terangkan jawapannya. Rukun mandi wajib ada tiga perkara. Pertama, menghilangkan najis yang ada pada tubuh terlebih dahulu. Kedua, berniat. Dan ketiga, meratakan air ke seluruh anggota tubuh badan yang zahir.


Senang kan ? Yang pertama tu tersangat la mudahnya. Yang kedua pun sambil pejam mata pun boleh dilaksanakan. Tapi yang ketiga tu mungkin bermasalah sikit bagi sesetengah orang.

Kenapa pulak aku kata bermasalah ? Bukan susah pun nak meratakan air ke seluruh badan ye tak ? Memang la tapi perlu kita ketahui dan fahami dengan jelas kat sini, meratakan air ke seluruh badan tu maknanya setiap permukaan tubuh badan wajib basah.


Kalau yang berambut panjang tu, kena pastikan air tu sampai membasahi kulit kepala. Tu tak termasuk yang berambut dreadlock lagi. Nak tak nak kena jugak la pastikan air tu mengenai setiap inci tubuh badan tu. Bukan je rambut kat kepala, segala rambut yang tumbuh kat badan tu kena diselati menurut istilah fiqh bagi meratakan air tu bila mandi.


Kalau yang berkuku panjang pulak, kena pastikan air tu mampu sampai ke bahagian bawah kulit kuku tu. Kalau ada kotoran bawah kuku tu, korek dulu bagi bersih dan wajib pastikan air tu kena bawah kuku. Kalau yang sapu sapu cat kat kuku tu, elok la dibuang dulu cat tu supaya tidak menghalang air dari meratai keseluruhan badan.


Sebaiknya mandi wajib ni dilakukan dalam keadaan berdiri dan mencangkung supaya air yang mengalir tu mampu meratai kawasan kawasan tubuh yang berlipat. Tapi sekarang ni sebab ada pancuran atau paip maka cukup sekadar meratakan air mengalir tu dengan menggosok setiap inci tubuh badan.


Tu yang wajibnya la. Yang sunatnya ketika mandi wajib ni banyak jugak. Tapi yang penting perkara yang wajib tu harus kita ketahui sebab kalau tak sempurna mandi wajib kita tu maka segala amal ibadat kita tu nanti tak sah pulak. Apa pun semoga perkongsian ni memberi manfaat buat semua. Wallahua'lam.


17 June 2011

kecil tapi besar

  1 komen    
label: , ,
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung. Dua hari tak dapat nak bersiaran bukan sebab digodam oleh penggodam tapi talian internet siputband ni tersangat la tak memberansangkan. 

Bila buat iklan produk tu macam takde tandingan lansung. Dia la yang paling hebat berkuasa. Tapi hakikatnya tak seindah apa yang dilihat. Aku tak pasti la negara Malaysia ni kat tangga ke berapa tahap kelembaban kelajuan internet ni.



Lupakan la dulu pasal tu semua. Hari ni aku nak berkongsi pasal perkara yang mungkin kecil dalam fikiran tapi amat besar impaknya dalam kehidupan kita sebagai umat islam. 

Mungkin ramai yang dah tau pasal ni kot. Ada yang tak tau lagi pasal rukun solat ? Kalau ada yang dah ingat ingat lupa tu, jom kita ingatkan balik mulai hari ni sama sama dengan baik.



Yang pertama sekali berdiri tegak menghadap kiblat bagi yang berkemampuan. Bila dah nama pun tegak, maksudnya tak boleh la tersenget sana sini. Tu pun bagi yang berkemampuan. Kalau ada yang tak mampu tu, mungkin tak larat nak berdiri akibat keuzuran maka boleh la dilaksanakan dengan cara duduk atau mengiring ataupun baring.



Kedua pulak niat. Setiap perbuatan pun perlu dimulakan dengan niat tambahan pulak nak solat. Niat tu kena la betul. Kalau solat fardhu subuh kena la berniat solat fardhu subuh, jangan pulak berniat solat fardhu zohor. Niat ni pentingnya dalam hati. Kalau tak tau nak lafaz dalam bahasa arab tu, guna la apa bahasa pun yang kita tau asalkan niat solat tu bertepatan dengan waktunya.



Ketiga pulak takbiratul ihram. Yakni perbuatan mengangkat tangan separas telinga bagi lelaki dan dada bagi perempuan dan melafazkan takbir untuk memisahkan perkara lain dari perbuatan solat. 




Rukun yang keempat pulak membaca surah Al Fatihah. Pentingnya kita menguasai bacaan surah Al Fatihah ni sebab kalau cacat bacaan kita tu maka dikhuatiri tidak sah pulak solat kita tu. Sila dapatkan bantuan guru quran untuk memastikan bacaan kita tu sempurna.



Kelima pulak rukuk berserta toma'ninah. Bila rukuk ni kena pastikan kedua tapak tangan berada dikepala lutut. Kaki kena selurus mungkin dan sebolehnya belakang badan pun diluruskan jugak. 



Keenam ialah iktidal berserta toma'ninah. Iktidal ni maknanya berdiri sebentar selepas rukuk sebelum sujud. 



Rukun ketujuh pulak sujud berserta toma'ninah. Sujud ni kita kena tau anggotanya yang tujuh tu. Dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan kedua belah perut jari. 



Kemudian yang kelapan ialah duduk antara dua sujud berserta toma'ninah. Dari tadi asyik toma'ninah je ape benda tu ? Tok mak Minah ke ? Siapa tu ? Ok la, toma'ninah ni ertinya bertenang seketika dengan tidak terburu buru. Kalau masa bebudak dulu arwah mak aku selalu tegur aku solat macam ayam patuk dedak. Laju semacam je mengalahkan talian jalur lebar. 



Yang kesembilan, membaca tahiyat awal berserta selawat ke atas nabi. Duduk tahiyat awal ni serupa je macam duduk antara dua sujud tu cuma bezanya ada bacaan tahiyat tu je.



Yang kesepuluh dari rukun solat ni duduk tahiyat akhir. Duduk ala ala bersimpuh sopan sopan gitu. Kalau duduk tahiyat awal tadi punggung di atas kaki, duduk tahiyat akhir ni pulak punggungnya di atas lantai pulak.



Kesebelas pulak membaca selawat nabi dan keluarga nabi. Sebaiknya dipanjangkan bacaan tahiyat akhir ni dengan melafazkan selawat ke atas nabi Ibrahim hingga la ke akhir bacaan tahiyat tu. Sunat jugak kita berdoa selepas bacaan tahiyat ni.



Kedua belas pulak memberi salam pertama. Disunatkan kita memalingkan muka ke arah kanan ketika memberi salam ni. Salam yang kedua tu pulak sunat je, tapi macam tak lengkap pulak kalau bagi salam sekali je ye tak ?



Akhir sekali yang ketiga belas dari rukun solat ni ialah tertib. Maksudnya tertib ni kita kena la melakukan setiap perbuatan solat ni mengikut urutannya. Mana yang dahulu tu didahulukan mana yang akhir tu diakhirkan.

Jadi tu la antara perkara kecil yang besar. Kita rasa macam kecil je tapi sangat besar kesannya. Ye la kan, kewajiban kita untuk bersolat ni bukan main main. Nak tak nak kena la sempurnakan semoga ibadat solat kita sehari hari ni diterima oleh Allah Taala. 



Andai ada salah silap dalam perkongsian ni harap rakan rakan dapat la menegur untuk diperbetulkan. Aku tak la pakar sangat cuma dengan sedikit ilmu yang ada dan yang pernah dipelajari kalau tak disebarkan jadi macam pokok yang tak berbuah pulak ye tak ? InsyaAllah semoga perkongsian ni bermanfaat untuk kita semua dan semoga dimasa akan datang kita boleh berkongsi kongsi lagi ilmu yang ada sesama kita semua.