Showing posts with label kuala kangsar. Show all posts
Showing posts with label kuala kangsar. Show all posts

19 April 2012

Daulat Tuanku

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah petang semalam awal pulak turun hujannya. Terasa kurang panas yang berbahang sejak dua tiga hari lepas.

Bagi rakyat negeri Perak khususnya hari ni adalah hari cuti umum atas keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah yang ke 84. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas Paduka Seri Sultan Perak. 


Bersempena hari keputeraan Paduka Seri Sultan Perak yang jatuh pada hari ni, satu majlis kesyukuran DiRaja diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Majlis bacaan Yasin dan tahlil serta doa selamat akan diadakan selepas solat maghrib seterusnya selepas solat isya, jamuan makan untuk semua hadirin yang sama sama meraikan majlis kesyukuran ni insyaAllah.

Beberapa acara sambutan bersempena hari keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang sepatutnya bermula hari ni telah ditunda sehingga ke tarikh yang dimaklumkan berikutan kemangkatan anaknda DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Allahyarham YTM Raja Dato' Seri Ashman Shah pada 30 Mac yang lepas.


Kepada yang berhampiran Kuala Kangsar tu, boleh la sama sama berjemaah di Masjid Ubudiah hari ni. Aku tak dapat nak ke sana sebab isteri pun menunggu hari je ni. Risau pulak kalau nak ditinggalkan. Lagipun esok aku kena menghadiri satu sesi ujian bertulis untuk temuduga guru KAFA pulak. 



05 July 2011

kuala kangsar (siri 3)

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung. Kalau tengok berita kelmarin, antaranya pasal pilihanraya kat Thailand tu yang dimenangi oleh parti pembangkang yang diterajui oleh Yingluck Shinawatra. Adakah ianya akan menjadi penyuntik semangat pihak berkenaan di negara kita untuk meneruskan hasrat bersih mereka ? 

Yingluck Shinawatra

Lupakan pasal tu semua sebab hari ni kita nak meneruskan zoom Malaysia kita kat bandar Kuala Kangsar, Perak ni. Kalau minggu lepas kita dah melawat Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, apa kata hari ni kita terjah tempat menarik yang lain pulak.


Masih lagi di sekitar Bukit Chandan, kali ni kita berkunjung pulak ke Galeri Sultan Azlan Shah. Secara rasminya dibuka kepada umum oleh DYMM Paduka Seri Sultan Azlah Shah pada 9 Disember 2003, galeri ni menjadi salah satu tarikan pelancongan yang terdapat di bandar Kuala Kangsar untuk dikunjungi.


Galeri ni yang asalnya adalah Istana Kota yang ditinggalkan pernah dijadikan sebagai sekolah pada tahun 1957 dengan nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Kemudiannya pada tahun 1970 ianya ditukar nama kepada Sekolah Raja Perempuan Muzwin, mengambil nama sempena nama DYMM Raja Perempuan Perak ketika itu. Setelah mendapat bangunan baru pada tahun 1996, Sekolah Raja Perempuan Muzwin berpindah dan bangunan Istana Kota ni dicadangkan untuk menjadi  Galeri Sultan Azlah Shah sepertimana yang terdapat pada hari ini.


Dalam Galeri Sultan Azlan Shah ni terdapat berbagai barangan peribadi dan memorabilia milik Sultan Azlan Shah untuk tatapan umum. Selain tu, pada bangunan yang berasingan terdapat jugak unit kereta kerajaan dan peronda yang digunakan untuk mengiringi Sultan Azlan Shah memerintah. 


Kemudian kita teruskan lawatan kunjungan kita ni ke Muzium Di Raja Kuala Kangsar pulak. Lebih dikenali dengan nama Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas, ianya dahulu pernah menjadi tempat bersemayamnya DYMM Sultan Iskandar Shah dimana pada waktu tu Istana Iskandariah masih lagi dalam pembinaan.


Didirikan pada tahun 1926 oleh seorang tukang kayu melayu dari Seberang Prai, Haji Sopian dan dua anaknya mendirikan Istana ni menggunakan kayu keras diatas 60 batang tiang, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan dari kayu jenis berlian. Uniknya bangunan Istana Kenangan ni ianya dibina tanpa menggunakan sebarang paku besi. 


Rekabentuk bangunan Istana Kenangan ni melambangkan seperti sebilah pedang yang tersimpan dalam sarungnya. Bahagian tengah Istana Kenangan ni ditempatkan singgahsana manakala ditingkat bawah pula dijadikan pejabat rasmi Baginda ketika itu. 


Bangunan Istana Kenangan ni kemudiannya dijadikan Muzium Di Raja pada tahun 1986 dimana pengunjung boleh melihat beberapa barangan peninggalan bersejarah pemerintahan kesultanan Perak. 

Lepas ni nak berkunjung ke mana pulak ? InsyaAllah minggu depan di hari yang sama kita zoom lagi bandar Kuala Kangsar ni. Sementara tu, tunggu aje la.




28 June 2011

kuala kangsar (siri 2)

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung. Hujung bulan camni semuanya senyum sampai ke telinga ye. Maklum la bagi yang berkerja tu gaji dah masuk. Kalau yang belajor tu pulak mak ayah pun dah masukkan duit belanja dalam akaun. Jangan berjoli sakan pulak. Beli ikut keperluan je bila berbelanja tu. 


Macam biasa setiap hari selasa ni entri zoom Malaysia. Kalau minggu lepas kita dah kenal sikit sikit pasal Kuala Kangsar dan asal usulnya, hari ni pulak jom kita terjah apa yang menarik sangat dengan Bandar Di Raja ni.

Dengan keluasan 79.1 batu persegi, daerah Kuala Kangsar ni terbahagi kepada sembilan mukim yang terdiri dari Mukim Chegar Galah, Mukim Sayong, Mukim Lubok Merbau, Mukim Kota Lama Kiri, Mukim Senggang, Mukim Kota Lama Kanan, Mukim Kampung Buaia, Mukim Pulau Kemiri dan Mukim Sungai Siput.


Terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati sebenarnya kat Kuala Kangsar ni. Bersesuaian dengan nama Bandar Di Raja tu, bila dah sampai kat bandar Kuala Kangsar ni tak lengkap rasanya kalau tak mengunjungi Istana Iskandariah di Bukit Chandan. 


Mengambil nama sempena nama Sultan Iskandar Shah (1918-1938) yang bertanggungjawab atas pembinaan istana tempat bersemayamnya raja raja pemerintah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak semenjak siap pembinaannya pada tahun 1933.

Kedudukan tapak Istana Iskandariah ni yang terletak di tebing kiri mudik Sungai Perak di atas Bukit Chandan ni adalah bersamaan dengan tapak asal istana negara yang dibina oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I yang dibina pada tahun 1895.


Pada tahun 1984, Istana Iskandariah ni telah diperbesarkan lagi dengan penambahan dibahagian belakang istana bagi menempatkan balairong seri, dewan santapan baru dan ruang letak kereta raja raja. Bagi maklumat lanjut mengenai Istana Iskandariah, boleh la klik kat sini.

Selain dari Istana Iskandariah, tempat menarik yang boleh juga dilawati ketika berada di Bukit Chandan ni adalah Masjid Ubudiah yang terletak tak jauh dari Istana Iskandariah ni.


Masjid bersejarah ni bermula pembinaannya dengan peletakan batu asasnya oleh baginda Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I pada hari jumaat, 26 September 1913 setelah baginda bernazar sekiranya kesihatan baginda pulih selepas berehat dalam rawatan di Port Dickson.

Namun begitu, pembinaan masjid ni tertangguh agak lama kerana cetusan perang dunia pertama di Eropah telah melambatkan penghantaran batu marmar yang diimport dari Itali bagi menggantikan batu marmar yang musnah diamuk oleh gajah kepunyaan baginda Sultan dan Raja (sir) Chulan dalam satu kejadian yang bersejarah. 


Masjid Ubudiah ni siap disempurnakan dan dirasmikan oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917 setelah baginda menggantikan Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I yang mangkat pada tahun 1916.

Tu baru dua tempat menarik untuk dilawati bila sampai kat bandar Kuala Kangsar ni. Kalau nak tau tempat lain yang ada lagi, insyaAllah nantikan siri akan datang dihari yang sama. Jom kita zoom Malaysia.