Showing posts with label cinta. Show all posts
Showing posts with label cinta. Show all posts

25 May 2012

Bukti cinta mu

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati dan marilah kita bersama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah mudah mudahan kehidupan kita di dunia ni akan diberkati dan dirahmati Allah.

Bila berbicara tentang cinta, kasih dan sayang pastinya ramai dari kita yang lebih mengerti akan maksudnya. Anak anak pastinya cinta, kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa dan adik beradik. Ibu bapa pula semestinya cinta, kasih dan sayang kepada anak anak mereka. 


Namun bagaimanakah cara kita membuktikan cinta, kasih dan sayang kita tu kepada mereka ? Adakah cukup dengan hanya mengucapkan melalui kata kata ? 

Buat ibu dan bapa mahupun bakal ibu dan bapa terutama yang beragama Islam, jika benar kita menyintai, mengasihi dan menyayangi anak anak kita, usahlah kita abaikan penerapan nilai nilai syariat dalam kehidupan mereka. Pastikan mereka mematuhi rukun iman dan rukun islam sepanjang hayat mereka. Didik mereka dengan ajaran islam yang mengikut syariat sebenar.

Adakah kita rasa kita cukup memberikan mereka cinta, kasih dan sayang dengan hanya memastikan mereka berjaya di dunia semata mata ? Sudah semestinya kita sebagai ibu bapa akan merasa bangga jika anak anak kita mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburinya di dunia ni. Tapi jika kita mengabaikan kehidupan mereka di akhirat kelak, cukupkah cinta, kasih dan sayang yang kita berikan itu ?

Buat anak anak pula, jangan dipersoalkan kenapa ibu dan ayah menyuruh mendirikan solat atau mengerjakan ibadah puasa ketika umur baru meningkat 7 tahun dan belum mencapai baligh. Walaupun di sekolah diajarkan antara syarat wajib ibadah tu adalah mencapai usia baligh. Sememangnya andai tidak dilakukan tidak menjadi kesalahan bagi kita namun tidakkah kita mahu Allah memberikan 'bonus' untuk ibu dan ayah kita atas usaha kita mematuhi perintah dan suruhan Allah tu ?


Dan apabila semakin meningkat dewasa dan berlumba lumba mengejar kehidupan dunia, janganlah kita lupa untuk mengasihi kedua ibu bapa kita. Bukanlah kiriman wang setiap bulan mahupun limpahan harta boleh dijadikan bukti cinta, kasih dan sayang kita kepada mereka. Itu semua hanyalah habuan di dunia yang tidak bekekalan sifatnya.

Tiada cinta, kasih dan sayang yang lebih berharga untuk kita berikan kepada kedua ibu bapa kita selain mengharapkan cinta, kasih dan sayang itu datang dari Allah yang Maha berkuasa. Doa yang tidak putus putus dari seorang anak untuk kedua ibu bapanya sebagai bekalan berpanjangan membawa ke akhirat la antara bukti sebenar betapa kita menyintai, mengasihi dan menyayangi kedua ibu bapa kita.

Namun kiranya hidup kita sendiri pun bergelumang dengan tipu daya dunia, adakah pasti ada masa untuk kita mengangkat kedua tangan merendahkan diri di hadapan-Nya memohon agar Allah memberikan ampunan dan kasih sayang-Nya buat kedua ibu bapa kita ? Jangan pula kita rasa sudah cukup kasih sayang kita berikan kepada kedua ibu bapa kita di dunia ni dan kelak di akhirat kita menuding jari menyalahkan mereka pula kerana membiarkan kita tewas dengan segala fitnah dunia.




06 April 2012

Cinta

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari jumaat buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan dihari yang mulia ni kita semua mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah dalam apa juga yang kita lakukan.

Bila membicarakan tentang cinta, apakah persoalan utama yang sering bermain dalam minda kita ? Antara yang pasti, jalan jalan membuktikan betapa mendalamnya cinta kita tu terhadap yang kita cintai.


Bercinta atau menyintai tidak menjadi kesalahan kerana fitrahnya manusia itu lahir bersama cinta. Cuma kita sebagai pembawa cinta itu sajalah yang menentukan hala tuju dan kebenaran cinta tu sendiri. Dan yang sering kali juga kita ungkapkan bahawa cinta kepada Allah itulah cinta yang agung atau terlebih utama.

Sememangnya cinta kepada Allah itu harus ditanam dalam jiwa setiap insan dan harus juga dijadikan cinta yang utama mengatasi cinta sesama makhluk. Namun seringkali kita menjadi alpa dan leka dengan keindahan cinta sesama makhluk yang hanya sementara kita kecapi selama hidup di muka bumi yang bakal hancur musnah ni.

Betapa bersemangatnya kita melangkahkan kaki menuju ke panggung wayang, taman rekreasi atau seumpamanya demi bertemu dan menghabiskan masa dengan insan yang kita cintai. Sebaliknya terasa kekok apabila melangkahkan kaki untuk pergi mengerjakan ibadah apabila tiba waktu yang ditetapkan.


Betapa bersegeranya kita menunaikan setiap permintaan insan insan yang kita cintai hinggakan lautan api pun sanggup untuk direnangi kononnya demi membuktikan kecintaan kita tu namun lalai dan longlainya kita dalam memenuhi tuntutan dan perintah dari Allah yang menciptakan cinta tu untuk kita semua.

Marilah kita tanyakan pada diri, layakkah kita menjadi hamba Nya andai kita sendiri hidup seumpama tuan ? Kita mengakui cinta utama itu hanyalah kepada Nya yang menjadikan kita sesempurna kejadian namun sudahkah kita membuktikan kecintaan kita dengan sebenar benarnya ?

Tak salah kiranya kita menyintai sesama makhluk. Cinta kepada pasangan antara suami isteri. Cinta kepada ibu bapa. Cinta kepada anak anak. Namun jadikanlah cinta itu sebagai jambatan cinta kepada Allah dengan mempereratkan hubungan insan insan yang kita cintai tu dengan pencipta cinta tu sendiri. 


Andai kita cintakan pasangan kita, anak anak kita, ibu bapa kita, malah sesiapa saja pun yang kita cintai, bawalah diri kita dan mereka menuju keredhoan Allah. Patuhi segala suruhan dan perintah Nya bersama sama, dan jauhi segala tegahan dan larangan Nya bersama sama jugak. InsyaAllah dengan sebegitu, dapatlah kita membuktikan nilai cinta kita terhadap Allah melalui cinta kepada makhluk Nya.