Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalau suatu masa dulu kisah-kisah penangkapan kes-kes rasuah hanya banyak melibatkan orang bawahan. Mungkin kerana kesempitan hidup kerana pendapatan yang sedikit ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi membuatkan mereka mengambil jalan pintas sebegitu.
Tajuk-tajuk akhbar hari ini pula mengisahkan tentang kes penangkapan orang-orang atasan pula yang terlibat dalam kes rasuah. Bukan nak kata keterlibatan orang atasan ini adalah satu perkara baru cuma nampaknya orang-orang atasan sekarang ni perlu lebih telus dalam menjalankan amanah.
Kalau kes yang melibatkan orang bawahan, kemungkinan faktor kesempitan hidup yang mendorong mereka untuk melakukan pekerjaan yang terkutuk tersebut.
Tapi bila ianya melibatkan orang atasan, mungkin faktor kesempitan akal fikiran yang mendorong mereka untuk bergelumang dengan aktiviti yang hina itu.
Sudahlah urusannya melibatkan sesuatu yang haram. Hasil dari urusan menggunakan pangkat dan kuasa yang dimiliki itu juga sudah semestinya haram. Dan apakah hasil dari segala keharaman itu disuapkan ke mulut anak isteri dan keturunan mereka ?
Haram + Haram = Haram Jadah. Mungkin itu ungkapan yang lebih sesuai untuk perbuatan terkutuk yang mereka lakukan. Jauhilah yang haram walaupun ianya indah dan menyenangkan.
Jalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas. Biarlah ada yang diperolehi itu mencukupi asalkan ianya diberkati daripada mencari yang lebih tapi ianya dilaknati.






