Hari ni boleh aku katakan dapur rumah aku memang tak berasap lansung. Bukan sebab kayu api basah. Lagipun dapur aku menggunakan gas memasak jadi memang susah sikit la nak nampak asap asap masakan tu kecuali masakan yang ekstrim sikit.
Tengahari tadi lepas buat pemeriksaan jantung anak dalam kandungan isteri aku, kami terus makan tengahari di medan selera Megoplex sebab terasa malas pulak nak masak takut terkejar kejar nak ke masjid bersolat jumaat pulak. Maklum je la, sekarang ni 80% tugasan rumah memang aku yang uruskan. Tak sampai hati nak biarkan isteri yang tengah sarat menunggu hari tu berdiri lama lama walaupun untuk memasak.
Malam pulak memang kami jarang makan nasi. Anak aku pulak bersemangat mengajak ke McDonalds sebab nak bermain kat sana tu. Walaupun sementara nak menunggu waktu solat maghrib tadi pun dah macam nak terlena tapi bila sampai je ke restoran McDonalds tu terus je segar bijik matanya tu.
Kalau minggu lepas kami memilih menu McValue Dinner untuk aku dan isteri manakala untuk anak aku pulak diberikan Happy Meals, hari ni aku mencuba Family Dinner Box. Kos keseluruhan lebih kurang sama dengan apa yang kitorang makan minggu lepas je cuma kali ni ada penambahan dua aiskrim sundae. Memang sapu bersih keseluruhannya.




