Showing posts with label Isu Pengguna. Show all posts
Showing posts with label Isu Pengguna. Show all posts

19 September 2014

Bagasi yang hilang

  3 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seminggu yang lalu, isteri dan anak-anak aku yang ditinggalkan sementara di kampung halaman nun jauh di Sabah telah kembali setelah menghabiskan masa hampir sebulan lebih di sana.

Kami berangkat ke Sabah pada hari syawal yang kedua bersama tiga buah bagasi yang sarat dengan pakaian. Menaiki penerbangan MAS menuju ke Kota Kinabalu dari KLIA tanpa ada sebarang masalah.

Seminggu menghabiskan cuti raya di rumah mertua, aku seorang diri kembali ke Semenanjung untuk bertugas semula. Hanya satu bagasi yang aku bawa untuk memuatkan pakaian yang perlu aku bawa pulang. Dari Kota Kinabalu menuju ke KLIA, aku menaiki pesawat MAS tanpa sebarang masalah.

Kepulangan isteri dan anak-anak aku pada minggu lepas berakhir dengan tragedi. Menaiki pesawat AirAsia dari Terminal Kota Kinabalu menuju ke KLIA2, berkesudahan dengan sesuatu yang menyedihkan.

Proses mendaftar masuk segala bagasi tidak bermasalah ketika di Terminal Kota Kinabalu. Dua bagasi bersaiz besar didaftarkan untuk naik ke pesawat menuju ke Kuala Lumpur penerbangan AK5119.

Pesawat mendarat di Kuala Lumpur tepat pada masanya. Selepas Terminal LCC ditutup dan perkhidmatan AirAsia dipaksa pindah ke KLIA2, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di KLIA2 setelah jenuh berpusing mencari lokasinya.

Ketika penumpang pesawat AK5119 mula meninggalkan Terminal KLIA2, isteri dan anak-anak aku masih menunggu di kawasan tuntutan bagasi. Daripada dua bagasi yang didaftarkan masuk ketika di Terminal Kota Kinabalu, hanya satu yang diperolehi ketika di KLIA2.


Setelah yakin tiada lagi bagasi yang tertinggal di tempat tuntutan bagasi, isteri aku membuat laporan kehilangan bagasi di pejabat urusan yang disediakan. Tiada sebarang jaminan bagasi yang hilang dapat dikembalikan. Pihak syarikat AirAsia akan membayar kos kehilangan bagasi mengikut berat bagasi yang didaftarkan itu sekiranya bagasi tidak ditemui.

Semalam aku menerima email dari pihak AirAsia yang meminta salinan butiran bank dan sedikit maklumat bagi proses tuntutan kehilangan bagasi. Maknanya mereka lebih rela mempamerkan harga kecuaian mereka dari menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

Daripada apa yang dimaklumkan, bayaran ganti rugi yang ditawarkan oleh syarikat AirAsia itu lansung tidak mampu untuk membayar kerugian yang ditanggung kami. Katakanlah setiap kilogram dibayar sejumlah RM48. Berat keseluruhan bagasi mencecah 10kilogram.

Biar aku jelaskan kerugian yang kami alami itu melebihi dari nilai yang ditawarkan tu. Harga bagasi itu sendiri sahaja sudah bernilai RM100 lebih kurang. Pakaian anak-anak, yang paling murah boleh aku nilaikan sepasang harganya pun sudah belasan ringgit. Tu belum lagi bra yang harganya mencecah hampir RM50 setiap satu.

Tapi apakan daya, itulah nilai perniagaan mereka. Nama pun tambang murah. Jadi semuanya murah-murah belaka. Dan sememangnya aku sentiasa mencurigai pengurusan bagasi dari syarikat AirAsia ni dari sejak mula menggunakan perkhidmatan mereka. Beberapa kali bagasi aku pernah dibuka dan pernah juga terkoyak. 

Tidak dinafikan mungkin kehilangan bagasi itu disebabkan faktor kami sendiri tapi tidak boleh dinafikan ianya 99% adalah kecuaian pihak syarikat AirAsia sendiri dalam menguruskan barangan milik pelanggan mereka sendiri. 

Korang pulak macam mana ? Pernah mengalami kejadian serupa ? Kalau ada jom kongsikan bersama. Pada entri lain insyaAllah aku akan kongsikan antara langkah membawa bagasi menaiki penerbangan.



27 August 2014

Pengalaman bersama khidmat pelanggan

  8 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bagi kebanyakan syarikat mesti ada menyediakan pusat khidmat pelanggan untuk menguruskan pelanggan-pelanggan yang memerlukan bantuan berkenaan produk syarikat.

Dan seharusnya bagi individu yang diamanahkan untuk menguruskan bahagian khidmat pelanggan ni sepatutnya arif untuk memberikan setiap maklumat yang diperlukan oleh pelanggan dengan tepat.

Baru-baru ini aku berurusan dengan dua perkhidmatan khidmat pelanggan dari dua syarikat penerbangan utama negara. Kisah pertama tu sebab aku terkeliru dengan terma dan syarat untuk daftar masuk melalui laman web.

Hanya dua kaedah yang aku gunakan. Hubungi khidmat pelanggan melalui 'live chat' yang disediakan syarikat dan melalui laman twitter syarikat. 

Disebabkan terpaksa menunggu agak lama untuk dilayan melalui 'live chat' yang disediakan, aku mengajukan persoalan ke laman twitter syarikat. Kebetulan pula dimasa aku sedang berbalasan 'twit', giliran untuk aku ber'live chat' pun tiba.

Persoalan yang sama aku tujukan kepada pengendali 'live chat' syarikat tersebut. Cuma yang aku rasa tak seronok apabila jawapan yang aku perolehi dari kedua-dua kaedah sangat bercanggah. Sorang kata boleh, sorang lagi kata tak boleh.

Paling aku tak gemar bila kita yang mahukan penjelasan lebih ni disuruh baca sendiri dilaman FAQ's syarikat mereka. Bukan la kita ni pelanggan kelas kambing yang bebal sangat tak baca semua tu cuma sebagai pelanggan ada kalanya memerlukan khidmat nasihat dan penerangan yang lebih dari pihak syarikat tu sendiri.

Update : Persoalan selesai melalui laman twitter syarikat tersebut. Siap dengan penjelasan lagi dibaginya agar aku tidak tertanya-tanya lagi dah.

Pengalaman kedua pulak sehingga entri ini ditulis, masih belum selesai dan masih dalam siasatan. Bagi permasalahan kedua ni disebabkan berlakunya sedikit khilaf antara urusan pembayaran dan pengesahan tiket.

Aku terpaksa menggunakan perkhidmatan panggilan disebabkan permasalahan ini berkaitan dengan wang ringgit. Pembayaran sudah dibuat tapi pengesahan tempahan tiket tiada. Siapa nak ganti duit tu kalau tiada susulan.


Satu perkara yang aku kurang berminat dengan perkhidmatan panggilan ni ialah terpaksa menunggu sangat lama. Kalau panggilan percuma tu tak mengapa juga. Seharian menunggu pun aku sanggup.

Menunggu lama tu memang dah perkara wajib bila kita menghubungi pusat khidmat pelanggan. Mahu tak mahu, kalau sesuatu permasalahan tu perlu jawapan segera memang terpaksa la menunggu panggilan berjawab.

Mesin operator pulak berkali-kali nak ulang "panggilan anda adalah penting buat kami". Mesti la penting sebab kalau tak penting buat apa nak dihubungi. Bila dah bersambung dengan individu pulak, bukan nak ada kata minta maaf kerana menunggu.

Perkara yang buat aku panas hati tu bila disuruh tunggu lagi sebab nak buat semakan. Bukan seminit. Bukan dua minit. Lebih dari 15 minit aku menunggu. Siap aku menyanyi merapu meraban macam orang gila manakala dihujung talian sunyi sepi macam takde orang.

Panggilan kedua yang aku buat ok la sikit. Talian bersambut dan dilayan. Cuma yang aku agak tak suka bila akhirnya operator tu kata, "Encik kena hubungi semula pagi esok untuk pengesahan"

Bermakna aku terpaksa menghabiskan kredit dan masa untuk permasalahan yang aku hadapi ni. Operator tu pulak siap gelak bila aku cakap,"Jadi saya perlu menunggu lama lagi la esok untuk selesaikan masalah ni ?".

Tolonglah. Kalau syarikat jual kacang kuda mungkin aku boleh terima lagi. Ni syarikat besar. Sepatutnya perlu la bersikap profesional. Bukan memudahkan pelanggan tapi lebih menyusahkan pulak. 

Aku tak pasti la polisi syarikat tu macam mana, tapi apa yang aku harapkan mana-mana syarikat yang menggunakan perkhidmatan pusat panggilan ni silalah latih pekerja-pekerja talian tu dengan lebih cekap lagi untuk membantu dan memudahkan pelanggan. Bukan menambah masalah pelanggan.

Update : Masalah selesai dan perkhidmatan panggilan pagi ini berjalan lancar dan memuaskan.




17 April 2014

P1 oh P1

  2 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bila aku cakap aku menggunakan perkhidmatan P1 Wimax untuk capaian internet di rumah agaknya ramai yang tak sabar-sabar nak suruh aku tukar kepada pembekal internet yang lain.

Sejarah aku bersama P1 ni bermula sejak tahun 2009. Ketika itu aku mengunjungi pameran I.T yang dianjurkan oleh PIKOM di Ipoh. Kebetulan pula waktu tu aku telah berjaya dihasut oleh wakil jualan P1 untuk menggunakan perkhidmatan mereka dan bermula dari situlah riwayat suka duka aku bersama P1.

Pada waktu itu sememangnya aku sedang mencari-cari penyedia perkhidmatan internet untuk aku gunakan di rumah. Dari kesemua pembekal yang ada waktu tu, cuma P1 yang menawarkan harga mampu bayar pada aku.


Walaupun dengan kuota 5Gb penggunaan pada bayaran RM49 setiap bulan waktu itu, pada aku kira boleh la sebab penggunaan pun tak kerap. Hanya untuk menyemak e-mel dan menghubungi keluarga melalui penggunaan laman sosial.

Kemudiannya aku ditawarkan pula dengan plan kuota penggunaan sebanyak 25Gb pada bayaran RM84 setiap bulan. Disebabkan anak aku yang semakin membesar dan ibunya yang gemar menonton drama-drama Korea di internet, aku pun bertukar plan.

Sepanjang aku menggunakan perkhidmatan P1, pernah juga perkhidmatan digantung akibat pembayaran tertunda yang belum dijelaskan. Memang salah aku la tu sebab tak nak bayar cuma yang rasa tidak seronok tu walaupun perkhidmatan digantung, tapi bil tetap berjalan seperti biasa.

Tentang masalah bil berjalan terus oleh P1 ni la yang membuatkan ramai yang membenci P1. Tu tak termasuk dengan sistem yang kelihatan tidak seragam dan banyak yang menyusahkan pengguna.

Belum lagi menceritakan tentang tahap kelajuan capaian internet yang dibekalkan oleh P1, memang agak menyedihkan. Hingga waktu entri ini ditaip, sudah menghampiri tiga minggu talian internet yang disediakan oleh P1 bagi penggunaan kat rumah aku ni macam lintah bulan.

Samada waktu puncak ke, waktu tak puncak ke, memang lembab dan tidak bertamadun je rasanya sistem yang disediakan oleh P1 ni. Tapi bab menuntut bayaran laju je mereka menghantar notis samada melalui e-mel mahupun khidmat pesanan ringkas.

Dan itu pun belum lagi menceritakan penderitaan dan penganiayaan terhadap pengguna-pengguna dan bekas pengguna perkhidmatan P1 yang terpaksa menanggung hutang tanpa sedar sehingga ada yang mengakibatkan nama disenarai-hitam oleh pihak kewangan.

Sebagai pengguna yang lebih banyak merasai pengalaman buruk bersama P1, aku sangat-sangat tidak mengesyorkan perkhidmatan dari P1 kecuali sekiranya selepas mereka menjadikan perkhidmatan mereka sebagai yang terbaik antara yang terbaik.



07 February 2013

Pos Laju yang tak laju

  11 Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan ALLAH memberkati dan merahmati perjalanan kehidupan kita pada hari ini.

Semalam negara kita dikejutkan dengan pemergian seorang genius ICT yang terkenal, Allahyarham Azli Paat yang kembali ke rahmatullah pada usia 46 tahun. Semoga ALLAH merahmati roh beliau. Al-fatihah.

Hari ni nak berkongsi rasa tentang perkhidmatan poslaju negara kita. Bila diberikan pilihan antara perkhidmatan kurier swasta dan kurier Pos Malaysia, mungkin ramai yang memilih kurier Pos Malaysia.


Atas alasan tidak semua tempat mempunyai pejabat kurier swasta dan ramai juga beranggapan caj yang dikenakan lebih tinggi dari perkhidmatan kurier Pos Malaysia.

Dan lagi perkhidmatan kurier swasta jarang menerima alamat penerima yang duduk di ceruk kampung. Tak seperti Pos Malaysia yang kebanyakannya sanggup meredah ke mana saja.

Rakan rakan semua boleh membaca kehebatan Pos Laju Malaysia di SINI. Memang membanggakan sebagai rakyat Malaysia apabila kita mempunyai sebuah syarikat yang berkomitmen sebegitu.

Tapi, sepertimana label yang terdapat pada bungkusan mee segera. Gambar pada bungkusan hanyalah ilustrasi, isi kandungan mungkin berlainan dari apa yang dilihat. Dan bila kehebatannya dipertikaikan, mesti ada saja alasan diutarakan. Jom kita tengok sikit kronologinya berdasarkan gambar jadual tracking shipment yang aku 'kerat' dari halaman Pos Malaysia.


4 Februari 2013, jam 11:30:00 pagi - Item yang dibeli dari pembekal sudah dimasukkan ke dalam sistem.

Untuk pengetahuan, item itu diserahkan ke pejabat Pos Laju sejak hari Jumaat, 1 Februari 2013. Tapi kononnya sekarang ni Pos Laju tiada beroperasi pada hari sabtu dan ahad maka ianya diuruskan pada hari berkerja seterusnya.

5 Februari 2013, jam 01:25:11 pagi - Item dibawa keluar dari stesen pungutan ke pusat transit untuk pengagihan kawasan serahan.

5 Februari 2013, jam 23:57:29 malam - Item dibawa keluar dari pusat transit.

6 Februari 2013, jam 07:40:42 pagi  - Item telah sampai ke pusat pemprosesan dan pengagihan Pos Laju Ipoh.

6 Februari 2013, jam 10:52:36 pagi - Item dibawa untuk serahan ke alamat penerima.

6 Februari 2013, jam 20:13:29 malam - Item didakwa tidak dapat diserahkan kerana penerima tiada di kediaman ketika proses serahan.

Bila aku bukak tracking shipment, itu adalah jawapan yang diterima melalui bacaan setelah seharian isteri aku menunggu (sebenarnya sejak 5 Februari lagi dah tunggu).

7 Februari 2013, jam 05:44:35 pagi - Item dibawa kembali ke pusat pemprosesan Pos Laju Ipoh.

7 Februari 2013, jam 10:14:02 pagi - Item dibawa untuk serahan ke alamat penerima.


Dan pada jam 12:11 tengahari tadi, aku cuba menghubungi Pusat Pos Laju Ipoh untuk mengetahui status bungkusan yang sepatutnya aku terima semalam.

Berikut antara intipati perbualan aku dengan Operator Pos Laju yang bertugas ketika aku menghubungi Pejabat Pos Laju Ipoh tadi.

Aku : Selamat tengahari, saya nak check status bungkusan boleh ? Sebab mengikut data dari tracking shipment Pos Malaysia, semalam ada penghantaran tapi kononnya tiada penerima di rumah sedangkan sejak kelmarin lagi kami menunggu bungkusan yang dikirimkan melalui Pos Laju.

Operator Pos Laju : Boleh saya dapatkan tracking number encik ?

Aku : EM35*****08MY

Operator Pos Laju : Sebentar ye encik. (beberapa saat kemudian) Bungkusan encik memang sudah dibawa semalam TAPI SEBAB BANYAK SANGAT BUNGKUSAN LAIN YANG PERLU DISERAHKAN BERIKUTAN CHINESE NEW YEAR.

Agak agak boleh terima tak alasan semacam ni ? Banyak sangat tu sampai tak tertangan ? Chinese new year jugak dipersalahkan ? Tiada juga perkataan "maaf" yang disebut oleh operator itu atas kesalahan yang dilakukan oleh syarikat tempat dia berkerja.

Kita membayar kos perkhidmatan penghantaran barang mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pos Malaysia, tapi apa alasan Pos Malaysia untuk tidak memberikan perkhidmatan yang berkualiti mengikut garis panduan kerja Pos Malaysia ?

Mohon pencerahan andai ada kesilapan dalam perkongsian aku hari ni. Kalau ada wakil Pos Malaysia atau mungkin Pengarah Jabatan Pos Malaysia sudi menjawab untuk menjadi makluman kami pelanggan semua ni lebih bagus.