Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah yang maha berkuasa atas segala sesuatu.
Baru baru ni aku berkesempatan melihat satu demonstrasi meningkatkan daya kerja otak untuk kanak kanak khasnya ketika berada di kediaman DSZ. Aku tak pasti la betul ke tak namanya tu tapi apa yang pasti ianya berkenaan minda la. Dengan hanya menyentuh sesuatu tanpa melihat pun dah boleh tahu ape ke bendanya atau ape yang ditulis di atasnya tu.
Tapi bukan tentang itu aku nak kongsikan hari ni. Kalau nak tahu lebih lanjut pasal perkara tu, boleh la jenguk jenguk ke http://gmcinternational.org/ supaya lebih faham apa yang aku maksudkan tu.
Imam Al Tabarani ada meriwayatkan daripada Saidina Ali r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya ;
"Didiklah anak anak kamu atas tiga perkara. (1) Cinta kepada Nabi kamu, (2) Cinta kepada kaum keluarganya, (3) Serta membaca Al Quran. Sesungguhnya, para pembaca Al Quran itu berada dalam naungan 'Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama sama para Nabi-Nya dan orang-orang suci-Nya"
Mengimbas kembali kenangan sewaktu zaman kanak kanak dulu, seawal usia 5 tahun lagi aku dah diajarkan membaca muqaddam setiap kali selepas solat maghrib oleh arwah mak aku. Faham faham aje la waktu usia macam tu memang umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri je. Tak cukup dengan tu dimasukkan pulak ke tadika Islam supaya dapat belajar asas agama.
Bila dah masuk darjah satu, masih lagi bertatih mengeja setiap mukasurat dalam muqaddam tu. Cuma kali ni arwah mak aku semakin tegas. Dengan rotan disisi, jangan harap nak mengelat. Terkadang tu dengan deraian air mata dan sedu sedan menghabiskan bacaan tapi lansung arwah mak aku tak peduli atau kasihan.
Alhamdulillah berkat kesabaran arwah mak aku mengajarkan kami adik beradik mengenal dan membaca Al Quran, sehingga sekarang pun tak jadi masalah nak membacanya. Dan bila meningkat dewasa, mengetahui pulak kelebihan dari membaca Al Quran ni membuatkan aku semakin ingin mendalami Al Quran bukan setakat untuk diri sendiri, malah untuk anak cucu cicit aku nanti jugak.
Berapa ramai ibubapa sekarang ni lebih mementingkan pelajaran akademik untuk anak anak dari pendidikan Islam. Jika anak meninggalkan solat tidak mengapa tapi jangan sekali kali meninggalkan kelas tuisyen matematik. Anak tidak kenal huruf Al Quran tak menjadi masalah asalkan anak dapat mengenali not muzik.
Andainya kita sendiri memang dibesarkan oleh ibubapa kita dengan sebegitu rupa, janganlah kita menzalimi anak anak kita pula dengan menyediakan kehidupan mereka sebegitu. Biarlah kita sahaja yang jahil namun jangan biarkan anak anak kita mewarisi kejahilan kita tu.
Andai pula kita pernah dibesarkan dengan asas Islam oleh ibubapa kita suatu masa dahulu, jangan pula kita terlalu terikut dengan arus kemodenan dan melupakan apa yang telah dididik kepada kita. Kalau kita sendiri sudah melupakan setiap didikan yang kita terima sewaktu kecil dahulu, jangan pula kita membiarkan anak anak kita hanyut tenggelam tanpa pegangan.
Hantarlah anak anak kita ke kelas tuisyen akademik, namun jangan sekali kali kita biarkan mereka mengabaikan tuntutan ibadah seperti solat khususnya. Tajamkanlah minda mereka dengan mempelajari seni muzik atau sebagainya, namun jangan pula kita karatkan hati mereka dengan keduniaan semata mata.
Jangan berasa malu apabila suatu hari nanti anak anak kita berkata, "Ajarkan saya membaca Al Quran wahai ayah dan ibu". Bacalah, pelajarilah dan hayatilah Al Quran tu bersama sama dengan mereka, mudah mudahan kehidupan kita semua akan mendapat berkat dan rahmat dari-Nya yang maha berkuasa.









