12 July 2016

Kisah VBA3C : Dari Persepsi Seorang Suami

  Tiada Komen    
label: ,
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah masih lagi diberikan kesempatan untuk bersiaran lagi berkongsi sesuatu dari hati melalui ketukan jari-jari walaupun macam dah sekian lama 'berpencen' dari penulisan blog ni.

Masih lagi dalam mood Syawal, mudah-mudahan segala amalan kita di bulan Ramadhan yang lepas diterima Allah dan diberikan lagi kesempatan usia dan kesihatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dari-Nya, keluarga kami bertambah lagi seorang khalifah yang bakal mentadbir urusan di dunia fana ni. Wujudnya penuh rahsia, kehadirannya penuh tanda tanya. 

Kisah yang akan aku kongsikan ni mungkin akan menimbulkan kontroversi dan banyak pertanyaan. Silap banyak boleh jadi viral. Namun sekadar satu sumber pembacaan yang mungkin boleh diambil pengajaran, iktibar dan kajian.


Sebelum itu, pada yang belum mengerti apa maksud VBAC tu, ianya adalah singkatan kepada Vaginal Birth After Cesarean. Nombor 3 tu mewakili kuantiti Cesarean yang telah dijalankan.

Maka kisahnya pun bermula ...

Imbas kembali - 2008

Menimang cahaya mata yang pertama memang agak mencabar. Manakan tidak, bukan ada pengalaman pun masa ni. Cuma ada penceritaan dari orang-orang dahulu dan sedikit pengetahuan melalui pembacaan.

Namun begitu, lain padang lain belalang. Banyak mana pun penceritaan yang didengar, banyak mana pun pengetahuan yang dibaca, mengalaminya sendiri ternyata amat berbeza. 

Sewaktu isteri aku hamil anak pertama, aku yang paling teruk alahannya. Tak boleh lansung nak terhidu bau daging. Samada yang mentah atau yang sudah dimasak. Loya tekak dibuatnya. Sudah la aku waktu tu berkerja dalam bidang masakan. Nak tak nak terpaksa hadap jugak.

Masa kehamilan pertama ni semua protokol yang ditetapkan oleh KKM melalui Klinik Ibu dan Anak tu kami ikut. Dari pemeriksaan trimester pertama, datang sebulan sekali ke Klinik sampai la ke penghujung kehamilan yang nak kena datang kerap buat pemeriksaan di Klinik dan Hospital.

EDD anak pertama kami sepatutnya pada 28 Ogos 2008. Isteri aku check-in wad bersalin sehari sebelum tarikh tersebut walaupun tiada lagi tanda-tanda nak bersalin. Maklum la, waktu ni antara teruja dan tak tahu apa-apa.

28 Ogos 2008  menjelang tiba, namun dari pemeriksaan yang dilakukan oleh para Jururawat dan doktor-doktor pelatih yang ada, isteri aku masih belum bersedia untuk bersalin.

Hari demi hari berlalu sehinggalah doktor pakar kembali dari cuti hari kebangsaan pada 1 September. Bila doktor tu tengok buku catatan kehamilan isteri aku, tanpa berlengah arahan untuk membawa isteri aku ke dewan bersalin dikeluarkan.

Langkah memulakan proses bersalin pun dijalankan. Penantian yang penuh kesakitan. Dari hari siang, membawa ke tengah malam. Hingga akhirnya doktor mengambil keputusan untuk melakukan kelahiran secara pembedahan dengan alasan bayi dalam kandungan 'distress'. 

Melihatkan keadaan isteri aku yang kelemahan menahan pengalaman pertama menanggung kesakitan nak melahirkan, membuatkan aku sendiri pun hilang kekuatan. Maka itulah parut terbesar yang pertama untuk isteri aku. 

Dan kami dinasihatkan untuk menjarakkan kehamilan akan datang. 

Imbas kembali - 2012

Isteri aku kembali hamil. Rutin ke Klinik diteruskan sepertimana kehamilan pertama. Cuma untuk kali ini, lebih banyak pengharapan agar isteri aku tidak lagi perlu dibedah. 

~bersambung~



0 comments:

Post a Comment