Showing posts with label panggilan telefon. Show all posts
Showing posts with label panggilan telefon. Show all posts

26 July 2012

Siaran percuma dari astro untuk aku ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Sehari dua ni aku sering kali menerima gangguan panggilan telefon dari macam macam pihak. Kelmarin dari pihak Astro yang memandai nak tawarkan perkhidmatan tontonan percuma kesemua siaran selama sebulan sampaikan sesuka hati je diubah langganan aku yang sedia ada tu.

Padahal aku baru je sambung kembali perkhidmatan astro tu yang digantung perkhidmatan sebab tak cukup bayar bil. Masa aku lambat bayar dulu tu operator khidmat pelanggan astro tu dah macam 'along'. Setiap hari telefon aku bertanyakan bila aku nak bayar sampai satu tahap aku abaikan je bila diorang telefon.


Ni pulak bila aku dah selesai bayar kesemua baki tertunggak yang penuh dengan kontroversi, pandai-pandai pulak diorang nak ubah-ubah langganan aku tu. Bayangkan la sedang aku menikmati tayangan kartun di disney channel tu tiba-tiba keluar mesej bahawa siaran tu tak termasuk dalam langganan aku.

Mana tak aku hangin separuh badan. Nasib baik la bulan Ramadhan, kalau tak mau hangin satu badan jugak la dibuatnya. 

Kronologi kejadian yang menimpa kehidupan aku dalam minggu ni memang agak menjengkelkan. Sengaja je nak menghabiskan kredit telefon aku.

Hari kedua umat Islam meraikan bulan Ramadhan, aku menghubungi pihak astro untuk penyambungan semula perkhidmatan selepas aku menyelesaikan keseluruhan baki bayaran. 

Operator yang bertugas ketika tu kedengaran agak lurus-lurus bendul sebab aku cuba berseloroh pun diingatnya ayat penyata serius. Komitmen sungguh. Tanpa prejudis dia memaklumkan perkhidmatan astro aku akan disambungkan dalam jangka masa 24 jam. 

Tiada desas desus mengenai sebarang promosi perkhidmatan malah sedikit maklumat mengelirukan yang diberikan kepada aku berkenaan dengan bayaran tetap bulanan. Disebutnya harga pakej tanpa sebarang tambahan bayaran cukai kerajaan. 

Mungkin kesilapan dipihak aku jugak sebab bila berkenaan bayaran bil apa pun aku lebih suka menggenapkan jumlahnya kepada puluhan yang tertinggi. Senang nak buat bayaran guna perbankan internet kalau macam tu. Dan lebih mudah untuk aku membuat perkiraan.

Petang kelmarin aku ada menerima panggilan telefon yang tak sempat aku sambut sebab masa tu aku sedang mengajar. Awal pagi semalam pun ada satu panggilan tidak berjawab sebab aku tidur ketika tu.

Sedang aku menaip kertas ujian untuk anak-anak murid aku sambil menonton rancangan di disney channel, tiba-tiba siarannya hilang. Tak cukup dengan tu, saluran astro movie yang aku langgan pun hilang.

Bila aku hubungi pihak astro, katanya akaun aku tu telah dirombak kepada langganan asas untuk menikmati perkhidmatan promosi percuma semua siaran selama satu bulan. Tanpa apa apa persetujuan dari aku pun.


Operator bertugas menjawab panggilan aku waktu tu ada bertanyakan samada aku ada menerima sebarang panggilan telefon sebelum itu. Apa yang dapat aku katakan hanya tentang dua panggilan yang tidak sempat aku jawab dan aku pun tak tahu panggilan tu dari siapa. 

Setelah operator bertugas tu menerangkan permasalahan yang melanda langganan perkhidmatan astro aku tu, aku cuma memintanya untuk menyambung kembali perkhidmatan aku tu seperti biasa. 

Dan sedikit pujian aku boleh berikan, seketika selepas aku menamatkan panggilan, operator bertugas astro tu menghubungi aku kembali untuk menerangkan dengan terperinci tentang segala apa yang berlaku. 

Selepas mengakui kesilapan tu memang berpunca dari pihak astro sendiri, sejuk jugak la hati aku sebagai pelanggan. Dengan lembut aku menolak tawaran perkhidmatan promosi tayangan percuma tu atas alasan aku malas nak menghubungi pihak astro kembali selepas tamat tempoh promosi semata-mata untuk menetapkan kembali langganan yang dirombak tu.

Tak sampai sejam pun selepas tu, langganan perkhidmatan aku kembali seperti biasa. Kredit telefon pun perlu ditambah semula akibat kesengalan pihak lain. Dan tak lama kemudian, aku menerima lagi panggilan. Bukan dari pihak astro, tapi panggilan dari satu pihak yang aku paling malas nak layan. 

Bukan panggilan hangit dari Hot FM tu. Kalau nak tahu panggilan dari mana, insyaAllah dalam entri lain aku akan ceritakan. Selamat berpuasa dan beribadah.