Showing posts with label bazar Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label bazar Ramadhan. Show all posts

28 July 2012

Nafsu luar biasa

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Dua tiga hari ni baru terasa suasana ramadhan. Manakan tidak, dengan cuaca terik matahari sampai asyik teringat kat minuman berais je. Tapi walaupun begitu kesabaran dalam menghadapi dan menjalani ibadah puasa bulan ramadhan ni tetap menebal.

Kebiasaannya bila tiba je bulan ramadhan ni ada satu fenomena yang sering melanda. Aku sendiri pun kadang kadang terkena jugak tempias fenomena ni. Semuanya berkisarkan nafsu luar biasa di bulan ramadhan je.


Selain dari di bulan ramadhan ni, tak pernah aku rasa bila tengok kat lori jual cendol tu memanggil untuk dibeli cendolnya. Padahal bila bulan ramadhan ni, tengok dari jauh pun terasa macam nak beli banyak banyak je cendol dia tu.

Bukan aku sorang je, malah boleh dikatakan seluruh umat Islam kat Malaysia ni. Perhatikan saja bagaimana sesaknya bazar ramadhan setiap petang. Dan perhatikan juga sesaknya jari jemari memegang juadah yang dibeli.

Berbanding waktu zaman kegemilangan remaja dulu memang aku agak tamak haloba bila berbelanja di bazar ramadhan ni. Apa saja yang kelihatan sedap pasti akan dibeli. Bila dah meningkat dewasa ni tabiat buruk tu semakin terhakis dan berjaya dikongkong.

Cuma terkadang tu teringin jugak nak menikmati juadah yang enak ketika berbuka puasa. Tak salah rasanya nak meraikan kejayaan berpuasa di siang hari bulan ramadhan dengan sedikit juadah yang enak asalkan tidak berlaku pembaziran.

Untuk semalam, aku dan isteri tercinta teringin berbuka dengan berlaukkan ikan bakar. Tiga ekor ikan kembung bakar untuk santapan isteri tercinta aku tu dan tiga ekor ikan keli bakar untuk aku. Sendiri bakar je sampai penuh berasap dalam rumah dibuatnya. 

Gila kau sampai tiga ekor sorang. Ala, bukan besar sangat pun ikan dia tu. Lagipun kami agak jarang menjamah lauk ikan ni sebab ikan agak mahal dipasaran. Sekali sekala bila beli ikan tu memang akan dijadikan hidangan terbaik. 

Hari ni pulak kami suami isteri terlajak lena. Bila sedar je rupanya sudah jam 6 pagi. Terlepas sahur. Baru je berangan nak layan bersahur nasik putih berlaukkan ikan masin berlada. 

Menu untuk berbuka hari ni, ayam panggang. Nasik yang dimasak lewat malam tadi yang kononnya untuk bersahur mungkin akan dijadikan nasi goreng cendawan buat santapan waktu berbuka nanti bersama ayam panggang tu. 






10 August 2011

kongsi

  3 Komen    
label: , , ,
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat menjalani ibadah puasa di hari rabu ni buat semua rakan rakan pengunjung yang sentiasa dirahmati Allah. Kebelakangan ni jarang jarang pulak update entri. Jangan kata nak update entri, nak menjengah laman blog rakan rakan lain pun tak berkesempatan sangat.


Maaf dipinta sebab kesibukan melanda ditambah jadual kerja yang berubah sejak masuk Ramadhan ni. Seawal jam 3 pagi dah nak kena bangun ke tempat kerja menyediakan makanan sahur dan berterusan sampai masuk waktu subuh. Kemudian sambung kerja semula dari jam 12 tengahari sampai la 9 malam. Ok, lupakan pasal tu semua. 


Kalau tengok tajuk entri hari ni mesti ada yang terfikir apa ke benda yang dimaksudkan dengan kongsi ni ? Ulasan filem kongsi ke ? Rumah kongsi ? Kongsi yang aku nak kongsikan kat entri hari ni berkaitan dengan ibadah bulan Ramadhan yang kita sedang jalani sekarang ni.


Mungkin ramai yang dah tahu dan selalu dengar pasal salah satu kita berpuasa ni adalah kerana untuk berkongsi perasaan saudara semanusia yang lain terutama yang seagama yang mana bagi mereka yang kurang berkemampuan dari kita ni. Maknanya sekurang kurangnya kita dapat merasai dan berkongsi  sedikit perasaan kelaparan yang mereka harungi. 


Setakat mana kita mampu nak menginsafi diri dengan berkongsi kelaparan ni ? Adakah cukup dengan membelai perut yang berkeroncong minta diisi atau dengan hanya tidur berehat menanti waktu berbuka sambil minda teringat ingat pada individu yang kebuluran ditempat lain ? Atau mungkin minda hanya teringat dan memikirkan juadah apa yang bakal dibeli di bazar Ramadhan untuk dilahap waktu berbuka nanti ?


Memetik maksud firman Allah dalam ayat Al Quran berkenaan kewajipan berpuasa ni, diakhiri dengan "agar kamu bertaqwa". Adakah memenuhi meja dengan berbagai juadah untuk berbuka puasa itu menunjukkan kita menjadi orang yang bertaqwa ? Adakah dengan tidur sepanjang siang menjadikan kita orang yang bertaqwa ?  

Sebenarnya tak perlu kita memandang jauh ke negara orang lain bila nak mengenangkan individu individu yang tak berkemampuan dan menghadapi kebuluran. Malah dalam negara kita sendiri pun rasanya ramai insan insan malang yang tidak bernasib baik seperti kita. 

Mungkin jiran kita sendiri ? Mungkin ada kenalan kita sendiri ? Mungkin jugak dalam kalangan sanak saudara kita sendiri yang hidupnya tidak seindah kehidupan kita yang mewah makan. Jadik pada ketika dan masa ni la seharusnya kita bermula untuk merasai keperitan hidup mereka. Bukan je setakat merasai, sebolehnya dibantu agar mereka tidak berterusan terpaksa mengikat perut.


Selain tu jugak, dalam bulan Ramadhan ni selain kita menjalani ibadah puasa dengan menahan diri dari makan dan minum disiang hari, kita jugak diwajibkan menunaikan zakat fitrah yang hanya setahun sekali je kita keluarkan duit ni. Melalui zakat ni jugak kita dapat berkongsi kegembiraan dengan asnaf asnaf zakat terutama fakir miskin dalam berbelanja menyambut hari lebaran. 


Bukan banyak pun nak kena dikeluarkan. Kalau kat negeri Perak ni, nilainya RM7 bagi setiap diri. Andai kata dalam keluarga ada 10 orang, maka jumlah zakatnya hanya RM70. Banyak ke tu ? Takkan terketar tangan nak keluarkan zakat fitrah sebanyak tu kot sedangkan nak bayar harga kain langsir baru semata mata nak menyerikan rumah sempena hari lebaran yang bernilai ratusan ringgit tak pulak ragu ragu. 


Bagi yang bujang bujangan pun jangan la mengharap bapak kat kampung je tolong bayarkan. Walaupun mungkin masih dibawah tanggungan, tak salah kalau mula belajar membayar zakat fitrah ni dengan wang belanja yang kita ada. Ala, beli tiket wayang lagi mahal dari bayar zakat fitrah ni ape. Kedekut tul la kalo tu pun nak berkira. Setahun sekali je pun nak keluarkan duit bayar zakat fitrah ni. Masuk panggung sebulan dua tiga kali tak kecoh pun.

Rasanya sampai sini dulu la perkongsian untuk hari ni. InsyaAllah bila ada kelapangan boleh la kita berkongsi lagi. Selamat menjalani ibadah puasa. Semoga segala amal kita diterima Allah. 




04 August 2011

puasa kita

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari khamis buat semua rakan rakan pengunjung yang dirindui selalu. Alhamdulillah kita masih lagi diberikan kekuatan dan kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ni dengan jayanya. Ada yang dah kantoi ke ?


Pada adik adik yang baru nak belajar berpuasa tu, kena la banyak banyak bersabar menahan lapar dan dahaga ni. Banyak pahala boleh dapat kalau sabar di bulan Ramadhan ni. 

Pada abang abang kakak kakak yang dah lama hidup tapi baru nak belajar puasa pun kena la banyak bersabar sama. Bukan boleh mati pun tak makan separuh hari. Lagipun dah berpuluh tahun hidup asyik makan je siang malam, ni baru 30 hari tak boleh makan siang takkan goyang kot ?

Kalau yang abang abang tu, muka nampak ganas mengalahkan KL Gangster tapi baru jam 10 pagi dah terkelepet macam kain lap kaki depan pintu tandas je. Abang abang adik beradik jin pulak kasi la rehat sikit paru paru tu dalam masa 30 hari ni. Nak bagus sikit tinggalkan je terus tabiat makhluk jin tu. Cukup cukup la masa kecik kecik dulu nyonyot puting gantung kat leher tu. Ni yang bawak sampai ke besor nak nyonyot puntung berasap tu takde faedahnya.

Kakak kakak pulak jangan nak mengelat lebih. Amboi amboi mementang la ada kelebihan 'bercuti' yang Allah bagi. Tapi takkan tiba tiba dalam bulan Ramadhan ni terlebih pulak cutinya. Bertambah pelik bila sepanjang bulan Ramadhan ni pulak asyik nak pakai tuala wanita je. Nak kata baru lepas bersalin, mane pulak suaminya ? 

Kakak kakak veteran pulak, dalam bulan Ramadhan ni kurang kurangkan la aktiviti bermesyuarat tu. Kalau berkumpul sambil bertazkirah atau bertadarus Al Quran beramai ramai sesama ahli mesyuarat tu bagus la. Jangan pulak bergosip sakan cerita kedai kopi pasal orang tu orang ni sudah la. Pantang je cik abang keluar berkerja, mula la berkumpul 'sok sek sok sek' itu ini. 

Bujang bujangan IPT pulak mentang mentang la mak ayah jauh dari mata, elok je lepas makan sahur tu baik punya lentang dalam selimut sampai matahari tegak atas kepala. Bukak je mata, sisa sisa lebihan sahur tadi pun boleh disumbat dalam perut. Keluar rumah nak masuk kuliah muka mengalahkan warga kebuluran tapi bila ke bazar ramadhan punya la berseri seri wajah bersemangat waja kalau boleh segala apa yang terjual kat bazar ramadhan tu nak disapunya. 

Ni belum lagi seminggu berpuasa dah nak ingat pasal raya. Silap haribulan dah siap jadual ziarah raya lagi tu. Kalau yang pakwe makwe bercintan cintun tu kononnya kaler baju nak sedondon. Masing masing tak lupa nak ingatkan jangan terlupa datang rumah pagi raya pertama. Takde pulak nak ingatkan puasa tu jangan terbocor ke apa. 

Aku ni pun banyak sangat bunyik ni lama lama nipis pulak pahala puasa kang. Hehehe..apa pun sekadar peringatan dan perkongsian bersama. Bukan nak mengata sesiapa pulak tapi sebagai contoh untuk nasihat diri dan sesiapa je yang sudi. Selamat beramal, selamat menjalani ibadah puasa semoga segala amalan kita ni diterima Allah jua adanya.