Showing posts with label bangunan lama. Show all posts
Showing posts with label bangunan lama. Show all posts

17 May 2011

ipoh (siri 2)

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati sekalian. Siapa yang berkerja di hari cuti macam aku hari ni ? Kalau bercuti tu, manfaatkan la cuti yang ada ni dengan sebaik mungkin. 



Hari ni seperti yang dijanjikan minggu lepas dihari yang sama, aku nak berkongsi lagi berkenaan Ipoh. Minggu lepas baru beberapa tempat menarik je yang aku kongsikan, jadi hari ni tambah lagi bagi yang sudi nak berkongsi sama.


Ipoh ni terkenal kerana banyak terdapat bangunan lama yang masih lagi utuh berdiri disekitar bandarayanya. Walaupun ada jugak bangunan yang menerima 'rawatan' secara moden tapi keaslian binaan tu tetap dipelihara.



Kalau ada yang perasan, bandar Ipoh ni jugak banyak membintangi filem filem tempatan mahupun antarabangsa. Maksud aku menjadi lokasi penggambaran filem la. Contohnya seperti filem Anna and The King lakonan Chow Yun-fatt dan Jodie Foster, filem Embun arahan Erma Fatima, filem Sepet, Gubra, Mualaf,  Tale 'n' time arahan allahyarhamah Yasmin Ahmad dan banyak lagi. 


Dalam bidang pendidikan pulak, kat Ipoh ni pun banyak terdapat sekolah sekolah yang berabad usianya. Macam Sekolah Anderson di Jalan Ashby, Sekolah Anglo Chinese di Jalan Lahat, Sekolah St. Michael di Jalan S.P Seenivasagam. 


Kalau datang kat bandar Ipoh ni, ada satu bangunan lama berwarna biru di Jalan Sultan Idris Shah. Ianya adalah bangunan restoran dan bar FMS. Dulunya masa zaman dulu dulu la, restoran ni jadi tempat para pelombong bijih timah berkumpul bersantai. Cuma sekarang ni takde la pelombong dah. 


Antara lain tempat menarik kat sekitar Ipoh ni bagi yang suka panorama taman taman, boleh la berkunjung ke Taman Dr Seenivasagam yang terletak ditengah bandar Ipoh ni. Istimewanya Taman Dr Seenivasagam ni, ianya mempunyai sebuah taman didalamnya replika kepada taman diluar negara. Macam taman dalam taman la. 


Orang kata kalau datang Ipoh ni tak pekena limau bali tak sah. Aku yang duduk kat Ipoh ni pun tak pernah lagi makan limau bali yang dijual sekitar Ipoh ni. Sebab aku tak suka limau bali sebenarnya. Padahal setiap hari aku lalu kat depan hentian limau bali dimana terdapat banyak gerai yang menjual limau bali ni yang selalunya menjadi singgahan pelancong yang datang melawat Ipoh.


Kalau yang suka nak mencuci mata di malam hari, boleh la berkunjung ke gerbang malam yang terletak di Jalan Tahwil Azhar di tengah bandar Ipoh ni. Dibuka setiap hari kecuali hari raya bermula dari jam 7 malam dan berakhir sekitar jam 2 pagi. Ala ala Petaling Street jugak la tapi yang ni versi Ipoh punya.


Bagi peminat barangan antik atau koleksi apa apa pun, jangan lupa singgah ke Pasar Lokking. Setiap hari ahad bermula jam 8 pagi, para pengumpul dan peniaga dah mula beroperasi. Macam macam ada. Dari barang yang kecik kecik sampai la barang yang besar. Nak rim basikal tua yang dah berkarat pun ada jual kat sini.

Apa lagi yang menariknya Ipoh ni ? Kalau nak tau lagi, tunggu dihari yang sama minggu depan pulak. InsyaAllah aku nak kongsi pasal makan makan kat Ipoh ni. 


10 May 2011

Ipoh

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari selasa buat rakan rakan pengunjung semua. Dua tiga hari ni cuaca kat Ipoh sedikit menduga dan menguji kesabaran. Kalau hari tu hujan turun setiap petang membawa ke malam, sekarang ni pulak dah musim panas. Jadi, kalau keluar tu pastikan ada bawak air minuman sebaik baiknya air mineral. 


Bukan sebab apa, maklum la panas panas ni peluh banyak keluar nanti air dalam badan pun cepat je tersejat. Bila badan kurang air, tu yang boleh jadi demam tak tentu pasal pulak. Pehtu kalau boleh kurangkan aktiviti luaran yang menyebabkan kulit terdedah kepada sinaran matahari tu terlalu lama. Kalau tak kena kanser kulit, kang gelap pulak kulit tu nanti.

Hari ni aku nak berkongsi entri ni dengan rakan rakan semua pasal Ipoh. Apa yang hebat sangat Ipoh ni ? Best ke ? 


Kalau ada yang tak tau lagi tu, nama Ipoh ni sebenarnya diambil dari nama sejenis pokok yang bernama pokok 'epu' yang dulunya banyak ditemui disekitar bandar ni. Getah pokok yang beracun ni digunakan oleh masyarakat orang asli sebagai racun sumpitan mereka.


Ipoh kini bertaraf bandaraya dan merupakan bandaraya ke empat terbesar selepas Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Baharu. Terletak lebih kurang 200 kilometer ke utara dari Kuala Lumpur dan juga merupakan bandaraya pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Apa yang seronok sangat kalau datang Ipoh ni ? Aku selalu dengar kawan kawan aku cakap Ipoh tak la best sangat sebab kalau malam je 'mati'. Tu la pasal. Siapa suruh jadik batman, asyik nak keluar waktu malam je.

Sebenarnya banyak jugak tempat tempat menarik yang boleh dikunjungi sekitar bandaraya Ipoh ni lebih lebih lagi bagi pencinta fotografi. Tak percaya ? Jom kita tengok apa yang rasa rasa macam menarik tu.


Kalau kita tengok betul betul, kebanyakan bangunan yang terdapat kat bandaraya Ipoh ni masih lagi bercirikan dan mengekalkan seni rekabentuk bangunan lama. Contoh macam bangunan Dewan Majlis Bandaraya Ipoh ni, Stesen Keretapi Ipoh, Mahkamah Tinggi Ipoh dan kebanyakan bangunan kedai.


Mungkin jugak ramai yang tak menyedari kat bandar Ipoh ni terdapat sebuah masjid pertama yang dibina di bandar ni. Diberikan nama Masjid Panglima Kinta sempena menghargai jasa Dato' Panglima Kinta Mohamed Yusof pada tahun 1898. Masjid ni pulak dibina oleh Dato' Panglima Kinta sempena memperingati kematian isterinya ke rahmatullah.

Terletak ditebing Sungai Kinta dalam kawasan bandar Ipoh. Kalau nak cari memang susah sikit la sebab kedudukan masjid ni yang agak terlindung oleh bangunan kedai disebelah hadapannya. Selain dari Masjid Panglima Kinta ni, terdapat jugak Masjid Kampong Paloh (1912) dan Masjid India Muslim (1908) antara binaan warisan yang terdapat kat Ipoh ni.

Selain dari tu, kat Ipoh ni banyak terdapat rangkaian gua gua batu kapur. Tapi kebanyakannya dah diubahsuai menjadi tokong. Namun camtu, keaslian semulajadi gua batu kapur yang ada kat sekitar Ipoh masih lagi terpelihara keunikannya.


Antara gua batu kapur yang terkenal dan selalu menjadi tarikan pelancong kat Ipoh ni macam Sam Poh Tong dan Kek Look Tong. Ataupun kita boleh ke kawasan Tambun berhampiran dengan Lost World of Tambun tu terdapat kat situ 'The Banjaran'. Ianya antara rangkaian gua batu kapur yang boleh diterokai untuk mendapatkan pengalaman berharga ketika berada kat Ipoh.

Camne nak sampai kat bandar Ipoh ni ? Sekarang ni terdapat berbagai kemudahan untuk datang ke bandar Ipoh. Kalau memandu kenderaan sendiri, boleh la menggunakan kemudahan laluan lebuhraya PLUS. Terdapat jugak kemudahan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan keretapi disediakan. Selain tu jugak, anak syarikat MAS iaitu FireFlyz juga ada menyediakan kemudahan penerbangan dua kali sehari dari Singapura ke Ipoh.


Dengan kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh ni, mungkin lepas ni lebih banyak penerbangan ke Ipoh akan disediakan. Kalau bab nak makan, jangan risau. Terdapat banyak kedai kedai makanan yang boleh dipilih mengikut selera masing masing. 

Aku rasa cukup dulu untuk kali ni. InsyaAllah minggu depan di hari yang sama, kita kongsi lagi apa yang ada kat Ipoh ni sama sama.