Showing posts with label Hari Raya Aidil Fitri. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya Aidil Fitri. Show all posts

27 August 2012

Rumah terbuka

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan buat rakan rakan pengunjung yang sudi bertandang mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Masih lagi dalam bulan merayakan kejayaan setelah sebulan diuji penuh kesabaran dalam mempertingkatkan ibadah yang mengembalikan kita kepada fitrah taat kepada Allah.

Aku dan isteri masih belum berkesempatan melakukan puasa sunat Syawal. InsyaAllah harap-harap tak terlepas peluang untuk melakukan ibadah yang khusus hanya dalam satu bulan ni je.


Dan kebiasaan sepanjang Syawal ni terutama pada minggu-minggu awal, pastinya ramai juga yang mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka sempena meraikan hari raya Aidil Fitri.

Cuma konsep rumah terbuka tu terasa seperti kurang keterbukaannya. Boleh disebut separuh terbuka mungkin sebab biasanya tetamu yang hadir tu kebanyakannya tetamu jemputan yang dikenali sahaja.

Mungkin juga sebab tahap kesopanan yang tinggi dikalangan masyarakat kita membuatkan konsep rumah terbuka ni sedikit tertutup. Mau tak segan kalau sesuka hati nak singgah ke rumah orang yang kita tak kenal. 

Terutama kalau majlis rumah terbuka dikawasan kejiranan. Tahap kemaluan tu memang sangat ketara. Dan penganjur pulak biasanya membuka rumahnya hanya untuk jemputan terpilih je.


Cuma yang agak menghairankan tu bila berkunjung ke rumah terbuka yang dianjurkan oleh pemimpin atau orang-orang besar, hilang pulak kemaluannya tu. Agaknya mungkin sebab disitu tiada siapa yang mengenali. Lagipun boleh makan tanpa had.

Berbanding kalau nak menghadiri rumah terbuka di kejiranan, mungkin takut nanti akan dikenali pulak. Atau risau dikatakan tidak mesra jiran dan cuma hadir bila ada jamuan makan semata-mata.

Sepatutnya bagi kawasan kejiranan tu mungkin perlu disingkirkan sedikit kemaluan dan keseganan tu sebab mungkin dari acara dan majlis sebegitu dapat mengeratkan hubungan kejiranan tu sendiri.

Dan tuan rumah penganjur rumah terbuka tu pulak perlu la bersikap lebih terbuka dalam menjemput dan meraikan semua tetamu yang hadir tanpa mengira pangkat dan darjat mereka.


p/s : Teringat budaya kenduri kendara di Sabah. Biasanya membawa sampai dua hari dua malam dan ianya memang terbuka untuk sesiapa je yang nak meraikan majlis. 




20 August 2012

Duit raya

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari isnin buat semua rakan rakan pengunjung yang dikasihi mudah mudahan kita semua berada dalam rahmat dan keberkatan dari Allah.

Alhamdulillah hari ni kita dan masuk 2 Syawal. Masih lagi dalam mood gembira meraikan hari raya dengan kunjung berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai. 


Buat anak-anak pulak pastinya masih lagi teruja dengan memperolehi pemberian duit raya dari setiap rumah yang dikunjungi. Mungkin paling minimum diperolehi pun RM1. 

Cerita pasal duit raya ni, memang waktu zaman kanak-kanak la yang paling seronok untuk dikenangkan kembali. Seingat aku masa awal tahun 80-an dulu bila dapat duit raya dari sebuah rumah walaupun hanya 50 sen pun terasa banyak jumlahnya.

Pastinya dari awal pagi selepas selesai solat sunat hari raya, berkumpul dengan kawan-kawan merancang untuk melakukan perjalanan raya (yang sebenarnya rancangan mengumpul duit raya) dari rumah ke rumah.

Terutama sekali bila berada di kampung, walaupun tak pernah sekali pun menjejak kaki ke rumah yang dikunjungi tu kecuali di hari raya namun semangat berziarah tu (dan mengumpul duit raya) tetap terserlah.

Waktu tu biasanya akan ditemuduga juga la oleh tuan rumah bertanyakan empunya diri ni anak kepada siapa (andai tidak begitu dikenali). Dan itu jugak la peluang untuk mengetahui sesiapa pun.


Lima rumah terawal dalam kunjungan mungkin akan disantap juadah berat seperti ketupat dan lemang. Masuk je rumah seterusnya, hanya kuih yang diminati ataupun juadah yang jarang ditemui je bakal disentuh. Seterusnya hanya menanti tuan rumah menghulurkan sampul duit raya.

Terkadang tu hanya meneguk air minuman untuk membasahkan tekak selepas penat berkayuh basikal. Bila tuan rumah mula menghulurkan sampul duit raya, pantas je nak menuju ke rumah seterusnya.

Biasanya menjelang lewat petang baru akan pulang ke rumah dengan poket yang tebal dan perut yang kekenyangan. Kalau di hari raya pertama segak dengan baju melayu, hari kedua pastinya melaram dengan baju dan seluar baru.



18 August 2012

Mungkinkah akan bertemu lagi ?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat hari sabtu buat semua rakan rakan pengunjung yang dihormati mudah mudahan kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Ramadan semakin hampir untuk melabuhkan tirainya. Terasa tak puas pulak mengharungi bulan beribadah ni. Mungkinkah akan bertemu lagi ? Harapnya masih berkesempatan lagi untuk bertemu dengan Ramadan tahun akan datang.

Dalam kita bergembira berseronok menghitung detik untuk meraikan syawal, janganlah kita lupa pulak apa yang sudah dan telah kita lakukan sepanjang Ramadan ni.


Andainya dalam bulan Ramadan ni kita rajin membaca Al-Quran, bersedekah, bersolat sunat dan sebagainya tu, jangan pulak bila berakhir je Ramadan maka berakhir la jugak episod amalan kita tu.

Kiranya rasa tak mampu nak beramal banyak, buat je sikit-sikit asalkan jangan ditinggalkan terus ibarat acara tahunan umpamanya. Takkan kita nak jadi macam 'syaitan yang dibelenggu di bulan Ramadan' ? Bila berakhir je ramadan maka kita kembali kepada sikap yang lama.

Adakah kita hanya 'menyeksakan' diri kita selama sebulan untuk akur dengan tuntutan Ramadan ? Atau mungkin terbawa-bawa dengan fahaman ibadat setahun sekali ?

Mudah mudahan bila berakhirnya Ramadan yang tinggal berapa detik saja lagi ni bukan bermakna berakhirnya episod peningkatan amalan ibadah kita yang selama sebulan kita gigih memenuhinya.

Dan dalam kita bergembira menyambut kedatangan Syawal jangan pulak kita terlupa pada saudara seagama kita yang kurang bernasib baik seperti kita.