14 July 2017

Jangan Meroyan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebelum ni aku ada kongsikan kisah pasal terlepas kapal terbang. Malah bila aku baca kisah-kisah yang ditularkan melalui media sosial, ramai jugak yang menyalahkan syarikat penerbangan dan tak kurang juga yang mengkritik pembawa cerita.

Aku bukan la orang yang kerap sangat menggunakan khidmat penerbangan ni tapi bila nak balik ke kampung sebelah isteri aku, nak tak nak memang kena naik kapal terbang jugak. Jadi kat sini aku nak kongsikan sikit pengalaman aku dalam menghadapi situasi bagi mengelakkan meroyan dikemudian hari.

1. Tetapkan Tarikh

Biasanya selain dari memilih tambang yang mampu untuk aku tanggung, aku mesti dah siap tetapkan tarikh. Bukan tarikh penerbangan je, tapi tarikh untuk semua urusan. Bermakna pada tarikh penerbangan tu nanti aku tak diganggu dengan urusan-urusan lain. Kalau tak, waktu tu la nak kena siapkan tugasan pejabat yang tertinggal, waktu tu la tiba-tiba ada kawan opis telefon semata-mata nak tanya kat mana letak peluru stapler. Pastikan pada tarikh tersebut, dalam fikiran tu hanya ada anda dan trip penerbangan tu je.


2. Disiplin Masa

Mengatur masa ni penting. Kena tetapkan tanpa ada perubahan. Katakan la kalau penerbangan tu dijadualkan pada jam 3 petang, aku akan pastikan aku telah berada di balai pelepasan tu paling lewat 3 jam awal dari jadual penerbangan tu. 

Ada orang tu dia fikir sebab rumah dia kat sebelah lapangan terbang tu je. Sebab tu lagi 10 minit baru terhegeh-hegeh nak daftar masuk. Kecuali la syarikat penerbangan tu Opah dia yang punya.

3. Peka Dengan Situasi

Ada orang bila sampai je kat lapangan terbang tu, tiba-tiba jadi macam rusa masuk kampung. Mungkin pertama kali nak naik kapal terbang kot. Sampai je kat lapangan terbang, disangkanya telah tersalah tempat. Mana taknya, lapangan terbang ke pusat membeli belah ni ?

Perkara pertama aku biasa buat bila sampai lapangan terbang, aku akan cari papan kenyataan maklumat penerbangan. Kenalpasti dulu nombor penerbangan, tengok kat celah mana pintu pelepasan yang dijadualkan dan kenalpasti kat mana nak daftar masuk.

4. Tenang Jangan Panik

Baru-baru ni waktu nak daftar masuk, aku diberitahu oleh kakitangan penerbangan tersebut kalau aku nak daftar masuk melalui kaunter, perlu ada bayaran tambahan bagi setiap seorang. Eh, bukan ke aku dah bayar semuanya masa buat pembelian dalam talian ?

Haa..tu pentingnya supaya jangan panik menggelabah beruk bila kena situasi macam tu. Tak salah kalau kita bertanya secara berhemah. Kalau tak nanti kita jugak yang malu-malu kucing sebab tak hadam betul-betul ketetapan yang dibuat oleh mana-mana syarikat penerbangan.


5. Jangan Lupa Tengok Jam

Kalau korang takde jam tangan, tengok je la jam kat telefon pintar korang tu. Tak pun setkan penggera. Jangan korang ingat bila dah daftar masuk tu, korang pasti akan terbang. Ya, silap percaturan, duit korang yang terbang sebab kena beli tiket lain.

Aku suka daftar masuk awal. Sebabnya kalau lambat-lambat nanti jadi kelam kabut pulak. Tambah lagi dengan 4 orang anak yang perlu dikawal sepanjang masa. Biasanya setibanya aku di lapangan terbang, aku akan bawak dulu bagasi-bagasi aku untuk dilakukan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berwajib (mengikut ketetapan lapangan terbang), bila kaunter daftar masuk dibuka, aku akan mendaftar masuk awal walaupun penerbangan tu kemungkinan ditunda jadualnya.

Lepas daftar masuk dan serahkan bagasi, baru la boleh nak santai-santai sekejap dengan anak-anak. Tapi yang penting jangan sampai lupa diri pulak.

6. Kenalpasti Pintu Pelepasan

Bila dah dapat 'boarding pass' tu, tengok nombor pintu pelepasan tu dulu. Lagi besar angkanya maknanya lagi jauh la nak kena menapak. Katakan la pintu pelepasan tu bermula dengan huruf 'A', ada harapan la kita dapat jimatkan lemak-lemak kat badan sebab tak perlu berjalan jauh. Tapi kalau la bermula dengan huruf 'Z', haa..siap sedia je la nak layan marathon kat lapangan terbang tu. Begitu jugak dengan nombor. Kalau dapat nombor '1' tu, ala-ala dekat la. Tapi kalau ko dapat '100', boleh turun 30kg jugak la.

Ada lapangan terbang agak sukar jugak nak mencari pintu pelepasan tu. Kadang-kadang tu daftar masuk kat tingkat atas, tapi pintu pelepasan kat tingkat bawah. Sebab tu kita kena kenalpasti betul-betul kat mana arah pintu pelepasan kita tu nanti. 

7. Masa Itu Emas

Daftar masuk, sudah. Daftar masuk bagasi, sudah. Boarding pass, dah dapat. Yeyy..boleh shopping jap. Kalau macam aku ni, abis kuat pun masuk restoran makanan segera je. KFC ke, McDonald's ke. Nak singgah kiosk Famos Amos pun aku main jeling dari bucu mata je. Hahaha..

Mahal kot. Tapi kalau korang kaya raya, tak salah korang nak bershopping kat lapangan terbang tu. Bila lagi ye tak ? Cuma jangan la ko layan macam ko shopping hari biasa-biasa. Duduk dalam satu butik je dah 2 jam. Satu persatu nak dibeleknya.

Ingat balik tujuan kita kat lapangan terbang tu apa. Nak membeli belah ke atau nak naik penerbangan ? Kadang-kadang tu tak beli pun, tapi suka nak membelek. Bila dah leka sangat, baru tersedar pintu pelepasan dah dibuka. Lepas tu baru la kelam kabut nak cari arah tuju. Tersesat punya pasal, orang lain semua dah masuk pesawat bila ko tak muncul-muncul secara otomatik pihak berkuasa penerbangan akan keluarkan semua bagasi ko sebab mana la tau kot-kot ada bom ke apa ke kan.

Dan bila pintu pesawat dah ditutup baru ko nak munculkan diri walaupun ko bagi alasan 30 minit ke apa ke, harap bertabah je la. Ko ingat senang ke nak bukak pintu kapal terbang tu macam bukak pintu bas.


8. Jangan Meroyan

Kalau kita ikut semua disiplin sebagai penumpang sesebuah syarikat penerbangan, insyaAllah takkan berlaku apa-apa masalah. Tak perlu nak petik 'pelanggan selalu betul'. Dalam aspek keselamatan, bukan ko sorang je pelanggan syarikat tu. Ada lagi beratus orang dalam penerbangan tu sebagai pelanggan dan mereka juga berhak untuk mendapatkan hak mereka. 

Aku rasa tak pernah lagi ada jadual penerbangan yang diawalkan oleh syarikat penerbangan. Kalau ditunda atau dilewatkan tu memang biasa la. Kalau ada jugak yang diawalkan, mungkin satu dalam sejuta kot. 

Bila dah nyata kita bersalah, terima je la. Kalau penumpang lain dalam penerbangan yang sama boleh berada dalam jadual penerbangan tu tanpa sebarang masalah, kenapa kita tak boleh ? Bermakna yang salah tu kita. Bukan syarikat penerbangan. Kecuali la ramai-ramai yang terlepas jadual tu baru la boleh meroyan.

Apa pun, bagi yang tak pernah berurusan dengan penerbangan tu tak payah la komen lebih-lebih. Kadang-kadang tu aku tengok lebih sudu dari kuah. Kalau tak tahu, jangan malu untuk bertanya sebab malu bertanya, nanti sesat jalan pula.



3 comments: