10 August 2014

Rezeki untuk dikongsi

  Tiada Komen    
label: 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah petang ni cuaca di Ipoh sejuk berikutan turunnya hujan yang agak lebat. Dalam bulan Syawal ni banyak jugak orang yang mengambil kesempatan untuk melansungkan majlis perkahwinan pada cuti hujung minggu. 

Petang tadi selepas usai solat zohor, aku memenuhi jemputan walimah seorang kenalan. Memang meriah majlisnya. Maklum saja la, perkahwinan anak pertama mereka.

Aku tak menjamah nasi pun sebab dah terasa kenyang lepas makan nasik berlaukkan kambing masak kurma di tempat kerja part-time aku pagi tadi. Cuma sempat la menjamu selera dengan semangkuk mee rebus, sepotong buah 'rock melon' dan semangkuk cendol.

Selepas bersalaman dengan tuan rumah, aku pun segera nak pulang ke rumah. Lagipun langit dah mula kelihatan nak meluahkan isinya. Malangnya bila nak hidupkan motor, tak mau pulak dia hidup. Nak kata minyak dah kering, masih ada berbaki setengah tangki.

Dari pengamatan aku sendiri, memang aku pasti puncanya mesti dari palam pencucuh yang dah tak nak keluarkan api sebab setiap kali aku cuba nak hidupkan lansung tak ada bunyi-bunyi yang menunjukkan enjinnya akan berfungsi.

Hujan pun dah mula turun waktu tu. Pening jugak kepala memikirkan entah ada atau tidak kedai membaiki motorsikal yang bukak petang hujung minggu macam ni. Dengan tawakkal aku mula menolak motor aku tu dengan harapan ada jalan penyelesaian di hujung sana.


Baru dalam 50 meter aku menolak motor, ada seorang hamba Allah yang menunggang motorsikal jugak ni menawarkan bantuan untuk menolak motor aku. Bab ni memang aku tak nafikan, kalo mat-mat motor memang boleh dibagi tabik spring. Walaupun tak kenal siapa orang tu tapi bila nampak penunggang lain dalam masalah, pasti akan cuba untuk menghulurkan bantuan.

Namun oleh kerana destinasi kami tak sama, hamba Allah tadi tu terpaksa meneruskan perjalanannya selepas membantu menolak motor aku separuh jalan. Dengan bertawakkal juga aku memulakan hayunan langkah menolak motor aku dengan harapan selamat tiba ke rumah atau menemui bengkel yang bukak dihujung minggu.

Alhamdulillah baru beberapa langkah, aku disapa oleh seorang penunggang yang bertanyakan berkenaan masalah motor aku. Katanya kalau kehabisan minyak, dia boleh tolong tolakkan hingga ke stesen minyak. 

Aku bagitau pada penunggang motor tu yang motor aku ni mungkin meragam sebab palam pencucuh. Dia menyuruh aku menolak motor aku ke kaki lima bangunan kedai.

Rupa-rupanya dia tu seorang mekanik jalanan. Aku rasa bersyukur sangat. Dan tak dinafikan memang masalahnya berpunca dari palam pencucuh motor aku tu yang dah tak mengeluarkan api.

Dengan bayaran RM25, motor aku kembali pulih. Terima kasih Encik Balan yang membantu. RM25 tu terasa mahal untuk sekadar menukar palam pencucuh ? Bagi orang lain mungkin la tapi tidak bagi aku.

Sambil Encik Balan memeriksa dan menggantikan palam pencucuh motor aku tu, kami juga ada berbual serba sedikit. Bercerita tentang anak. Menurut Encik Balan, dia memiliki enam orang anak. Dia mencari rezeki dengan menjadi mekanik jalanan hanya sebagai kerjaya sambilan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Dan petang tadi, sakunya terisi RM25 hasil usaha beliau mencari rezeki demi keluarga. Sama jugak macam aku. Aku pun ada kerja sambilan. Berusaha berkerja mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun mungkin terpaksa berkerja kuat, dan akhirnya menerima upah yang mungkin bagi orang lain terasa sedikit namun bila difikirkan itulah hasil usaha mencari rezeki yang halal untuk keluarga, di situ ada kepuasannya.

Alhamdulillah dengan izin Allah, kesulitan aku telah dipermudahkan. Ada masanya bila kita susah, kita berdoa pada Allah tapi Allah lambatkan sikit bantuannya. Ada masanya bila kita susah kita berdoa pada Allah, dengan tidak disangka-sangka bantuan itu cepat hadirnya. 

Pengajaran untuk hari ini, janganlah kita lupa untuk sentiasa bertawakkal dan berserah diri kepada Allah. Sabar dengan dugaan dan ujian walaupun terasa dugaan dan ujian itu agak menyusahkan kita. Bila menghadapi kesulitan, ingat Allah banyak-banyak bukannya memaki hamun menyumpah seranah banyak-banyak.

Bagi sesiapa yang menghadapi masalah dengan motorsikal terutamanya disekitar bandar Ipoh samada tayar pecah, kerosakan dan masalah kecil bolehkan menghubungi Encik Balan ditalian 0165367855. InsyaAllah beliau boleh membantu.




0 comments:

Post a Comment